KEPALA BATAS — Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS akan terus memperjuangkan dasar Islam yang sempurna dan bukan yang dipotong-potong selain meneruskan semangat perjuangan tokoh terdahulu.
PAS menegaskan pendirian ini ketika ia bersiap sedia bersama rakannya dalam Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan berhadapan dengan isu kontroversi hukum hudud yang muncul semula.
Bercakap pada majlis perasmian Kongres Sambutan 60 tahun PAS di Dewan Millenium di sini, Hadi (gambar) menegaskan parti itu perlu meneruskan perjuangan Islam dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunah.
“PAS adalah sebuah parti Islam, parti politik Islam yang terawal ditubuhkan di Asia Tenggara sebagai kesinambungan dari kedatangan Islam yang sempurna dan bukan yang dipotong-potong atau dikerat... pendakwa yang membawa Islam ke nusantara bukan sahaja mengislamkan rakyat tetapi termasuk mengislamkan pemimpin, pemerintah dan ketua negara.
“Kemunculan PAS adalah tuntutan al-Quran dan as-Sunnah yang tidak mati dengan wafatnya Rasulullah, kita menyambung perjuangan Islam seperti yang dinyatakan Allah dalam al-Quran,” kata Presiden PAS.
Menurut beliau, PAS diwujudkan untuk mengembalikan kedaulatan Islam dan menyelamat umat Islam dalam dunia yang berideologi manusia.
“Kebangkitan PAS sebagai sebuah gerakan Islam adalah selaras dengan gerakan pembaharuan yang akan wujud sepanjang zaman yang mengatakan cahaya Islam tidak boleh dipadamkan, mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan hembusan mulut mereka seperti mereka padamkan cahaya pelita.
“Kelahiran PAS adalah hasil gerakan pembaharuan, PAS adalah rangkaian gerakan Islam... tujuan utama penubuhan PAS adalah mengembalikan kedaulatan Islam dan menyelamatkan manusia khusus pada zaman ini selepas kegagalan ideologi manusia termasuk bukan sahaja keruntuhan moral, keruntuhan nilai kemanusiaan dan sebagainya,” katanya.
Tegas Hadi, PAS akan tetap memperjuangkan dasar Islam dan tidak akan sesekali mengubah prinsip asas itu.
“PAS adalah parti yang bertunjangkan dengan tunjang yang teguh dan kuat, tidak tidak akan hanyut walaupun dijajah.
“PAS mempunyai acuan sendiri yang ditunjukkan Allah dan diajar oleh nabi, kita perlu faham dan PAS mahu mengembalikan umat Islam berdemokrasi yang mengambil roh Islam,” katanya.
Hadi juga menambah, PAS merupakan sebuah parti yang terbuka walaupun terpaksa berdepan di atas padang yang tidak sama rata dengan Umno.
“Kita parti boleh menerima menang, boleh menerima kalah... ini sikap terbuka kita, ada kalangan yang bebal menuduh kita menyeleweng dari perjuangan, PAS telah menghadapi pelbagai cabaran ketika menyampai pegangan PAS bahawa Islam adalah pegangan hidup yang tidak diterima Umno.
“Umno tidak mudah menyerahkan kuasa, mereka anggap pemerintah bukan amanah tetapi adalah untuk kroni... rasuah, Umno telah mencalarkan wajah Islam kepada bukan Islam,” katanya.
Hadi menambah, dengan pengalaman dan cabaran yang dilalui PAS sejak ia ditubuhkan, ahli parti harus berpegang kuat dasar perjuangan dan jangan sesekali “menebuk” asas itu.
“Marilah kita menyambung perjuangan PAS yang diasaskan pada 1951, jangan kita tebuk asas ini. Marilah kita mengenang pemimpin terdahulu daripada kita kerana kita adalah penyambung perjuangan... mudah-mudahan kita dapat lakukan apa yang dinyatakan oleh Allah.
“Ada yang telah meninggalkan kita, ada yang menunggu giliran, namun tidak mengubah janji-janji mereka... kita juga jangan mengubah janji kita,” katanya.