Ikuti Blog ini

Audit: PAS kemuka petisyen kepada Agong

KUALA LUMPUR : PAS akan mengemukakan satu petisyen kepada Majlis Raja-Raja dan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pembaziran dan salah urus kewangan negara seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, petisyen itu merupakan suara bantahan dari rakyat yang akan dikumpul melalui satu laman web yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

"Kita akan lancarkan petisyen dalam internet...dalam tempoh seminggu dua lagi.

"Kita akan kumpul nama-nama rakyat dan bawa kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata petisyen itu bagi memberi maklum kepada Tuanku dan bagaimana baginda boleh bertindak atas bidang kuasa baginda untuk menasihatkan kerajaan.

"Audit ni macam buku laporan murid sekolah la. Kalau tengok banyak merah tentu mak ayah kecewa. Sama la dengan rakyat yang kecewa dengan prestasi kerajaan dalam laporan audit itu.

"Sebab itu perlu ada satu tindakan dari Yang Dipertuan Agung. Pendedahan ini sangat berat," katanya merujuk kepada kepincangan pengurusan wang negara yang didedahkan oleh laporan audit itu.

Ditanya tuntutan petisyen itu sampai ke tahap mana, Mahfuz berkata sehingga "PM lepaskan jawatan, kerana ini satu kegagalan seorang PM".

"Kalau dalam syarikat korporat, jika berlaku kerugian, CEO mesti bertanggungjawab dan perlu melepaskan jawatan tukar orang lain," tambahnya. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .