
Ketika ditanya, Noh mengakui bahawa projek berkenaan telah diberikan kepada anggota keluarga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Ya, apa salahnya kalau dia meniaga dan dia bukan kerja direct nego (rundingan terus)?" soal Noh kembali ketika ditanya mengenai projek yang menurutnya telah dianugerahkan melalui "tender terbuka" itu.
Ditanya lanjut dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini, Noh bagaimanapun bersetuju bahawa projek berkenaan telah diberikan secara tender terhad.
"Cara pemilihan syarikat yang dipilih untuk program National Feedlot ini bukan diberi secara rundingan terus. Semasa dibuka projek ini, ada enam syarikat buat persembahan kepada pihak jawatankuasa," katanya.
Daripada enam syarikat berkenaan, jawatankuasa kementerian pada 2006 telah memilih Agro Science Industries Sdn Bhd dan sebuah syarikat Australia, Lambert Malaysia Sdn Bhd.

Ditanya dalam sidang media, Noh berkata sukar untuk mengambil tindakan ke atas Lambert kerana kerajaan tidak menandatangani apa-apa perjanjian dengan syarikat berkenaan.
Kementerian juga sedang membincangkan untuk menawarkan tanah pajakan seluas 500 ekar yang ditinggalkan oleh Lambert itu kepada syarikat lain.
Tegasnya, projek feedlot berkenaan bukanlah satu projek gagal kerana syarikat Agro Science telah berjaya membekalkan sejumlah 8,016 ekor lembu sepanjang tempoh 2008 hingga 2010 seperti yang disasarkan.
Bagaimanapun, kerajaan masih belum membayar sejumlah RM6.48 juta daripada jumlah geran sebanyak RM13 juta.

NFC juga enggan mengulas dakwaan PKR bahawa projek tersebut hanya memenuhi 0.6 peratus daripada permintaan kerajaan dan jauh ketinggalan daripada sasaran 40 peratus dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. -M'kini