Ikuti Blog ini
Dr Maza, Gua semua takmau ikut lu... ,Selasa, November 01, 2011 at 1.11.11,
""Salam Palestin,
Apabila salah seorang daripada kami, rakan-rakan di dalam Dewan Pemuda PAS Malaysia, menyentuh mengenai teguran Dr Mohd Asri Zainul Abidin agar kami jangan tiru Taliban ketika merujuk kepada desakan Dewan Pemuda PAS agar kerajaan menghalang konsert seorang ikon gay dunia yang akan berlangsung di negara kita tidak lama lagi, salah seorang daripada kami menjawab secara berseloroh, tapi penuh makna bagi saya.
“Asri sedang berusaha gigih mengikis gelaran ‘Wahabiyah’ yang banyak membantutkan pengaruhnya daripada melebar di dalam masyarakat. Beliau tidak mahu gelaran yang menjadi bebanan itu terus menghantui usaha pemasakan pemikiran tajdidnya yang dikira terbaik untuk mengubah bangsa Melayu ke tahap memahami Islam yang lebih komprehensif dan progresif.”
“Aku fikir dengan melabel pemuda PAS yang kebanyakan mereka adalah seusia dan seangkatan dengannya dalam pengajian dulu – termasuk ketua pemuda PAS – sebagai Taliban, maka masyarakat yang sering melihatnya sebagai ‘keras’ akan terpesona dan melihat betapa Asri telah banyak berubah dan kendur.” Begitu sahabat saya itu berkonklusi.
Taliban dan Wahabi dalam masyarakat kita sering digambarkan sebagai watak-watak keras yang sukar diterima dalam masyarakat kita. Taliban dengan watak janggut panjang dan serban besarnya dan wahabi dengan watak jubah Saudianya. Kebetulan pula, ketua pemuda PAS suka berserban dan serbannya pula lebih besar daripada serban Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi. Ketalibanannya sedikit di belakang rakannya, ustaz Norazli Taliban.
Saya terkekeh-kekeh mendengar seloroh sahabat saya. “Gua tak ikut enta la,” jawab saya, enggan terheret jauh kepada perkara yang saya tak fikir Dr Asri akan ke situ pula semasa memberi komen terhadap pemuda PAS.
Tetapi, ia adalah satu isu yang melanda gerakan dakwah di dalam negara kita. Satu anjakan yang menarik apabila pemikiran wasathiyah atau sederhana mula menyerap masuk ke dalam gerakan dakwah atas usaha pelbagai pihak di medan dakwah. Ia seperti menjadi perlumbaan sesama sendiri untuk menjadi juara wasathiyah, seperti telah terbina satu keyakinan bahawa wasathiyah adalah ‘mazhab’ Islam terbaik untuk zaman kebangkitan Islam ini. Mana-mana yang ketinggalan dan terpencil daripada perlumbaan ini, maka ia bukan pejuang Islam. Begitu dahsyatnya ‘kegilaan’ kepada dakwah wasathiyah yang semakin bertapak dan berjaya di timur tengah hari ini, termasuk di dalam dunia politik baru di sana.
Saya mungkin salah seorang yang dihinggapi pemikiran ini. Saya, sepertilah orang lain, peminat tegar Dr Yusuf Qaradhawi dan pemikiran wasathiyahnya. Setahun dua ini, saya tergilakan pula buku-buku Dr Muhammad ‘Imarah dari Mesir. Tiga hari lepas, semasa makan tengahari bersama mantan mursyid am Ikhwan Muslimin Mesir, Syeikh Muhammad Mahdi ‘Akif, saya sempat memohon pandangannya mengenai Dr Muhammad ‘Imarah. Syeikh memuji melangit beliau dan menganggapnya sebagai seorang penulis Islam yang agung di negara Mesir. Saya begitu gembira kerana dengan itu, tak perlulah lagi saya risau dan terpaksa mengikis buang pemikirannya yang mula mengalir masuk ke otak hijau saya ini jika ia adalah pemikiran relatif taliban atau Wahabiah!
Dr Asri pula mestilah lebih wasathiah daripada saya. Saya hijau putih dan dia pula aneka warna dan mestilah aneka warna itu lebih menarik. Itu belum lagi dikira gelaran akademiknya, apatah pengaruhnya yang besar di dalam masyarakat. Beliau pernah suatu ketika menjadi ‘Mawi’ dalam dunia dakwah sebelum kini diambil alih secara lebih dahsyat oleh ikon baru anak muda, ustaz Azhar Edrus yang lebih versatil.
Ketika orang lain sudah berada di langit biru, saya baru bertatih- tatih jadi pelakon tambahan! Adduh, gua ikut enta, bro! Penangan Ahmad Idham punya ‘Hantu Bonceng’ telah membantu membuka pintu baru kepada gerak kerja dakwah Dewan Pemuda PAS untuk berlumba memaut anak muda kita menuju kehidupan berugama yang lebih bermakna. Ahmad Idham kini adalah kawan saya. Siapa mampu menduga kerja tuhan, bro!?
Apapun, kemabukan dakwah wasathiyah di sebalik kebaikannya, telah mencetuskan wabak baru dalam dunia dakwah iaitu keterlampauan dalam berwasathiyah. Dulu Islam Liberal adalah nama senjata baru untuk gerakan memalsukan Islam di zaman moden, tetapi kini, saya, sepertilah yang lain, mula merasai liberalisasi wasathiyah yang bahaya.
Saya namakannya, liberalisasi dakwah wasathiyah. Saya tak pasti, adakah saya akan mengulasnya nanti secara mendalam. Saya lebih suka jika Dr Asri memulakannya, kecuali ianya tidak penting di sisinya. Apalah pemuda PAS, hantu bonceng pun ambil kira!
Dr Asri, saya sering memujinya di hadapan pemuda PAS. Setengahnya sampai berkerut, mengapa saya memujinya sedangkan mereka mahu saya menghentamnya. Saya jawab, buat apa hentam orang yang bantu saya hentam umno? Tumpukan pada musuh yang pasti.
Sekadar nasihat, Dr Asri patut lebih cermat. Mengkritik itu bagus buat orang berilmu. Kritiklah kerana semua orang tahu anda ahli dalam kritik. Tetapi bila melabel, khususnya buat kawan, pilihlah label yang tidak menyakitkan. Saya fikir anda menghafal al Hujurat. Jangan fikir orang Taliban tak marah bila anda menghina mereka sebagaimana jangan orang memikir anda tak marah dilabel buruk sebagai Wahabiah. Jika anda di depan saya, saya terus bagi penumbuk di mulut, biar pecah berdarah gusi itu. Sebelum anda mengesatnya, saya akan berkata, “Inilah cara Taliban berterima kasih!”
Mengkritik adalah kebebasan dan hak orang berilmu. Membebel pula adalah senjata orang perempuan. Dari kecil ibu saya mendidik saya dengan membebel. Ayah hanya mendehem. Bebel dan dehem membina saya dan kita semua. Jika Asri mahu mengkritik, itu haknya yang disukai ahli ilmu. Tetapi Asri kadang-kadang membebel. Geli geman juga saya mahu serius menasihatinya agar elakkan membebel. Jangan diambil senjata perempuan. Tak manis orang lelaki digelar pembebel.
Saya belum menulis mengenai isu konsert gay antarabangsa itu. Jika sempat saya akan segera menulisnya, insya Allah. Saya sokong kerajaan mesti menghalangnya. Pemuda PAS bukan hanya mahu menghalang anak muda Islam daripada pergi ke Genting. Itu kecil la Bro Asri. Pemuda PAS mahu menghalang kerajaan daripada membawa masuk budaya gay terlaknat itu. Ini baru pemuda PAS!.
http://nikabduh.wordpress.com"