KEMAMAN
– Sekurang-kurangya enam puluh peratus warga Malaysia berketurunan Cina
akan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum
yang ke-13 akan datang, yang akan membawa kemenangan kepada Pakatan
rakyat dan menguasai Putrajaya.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Simpang Pulai, Perak, Chan Ming Kai ketika berucap pada majlis
ceramah Himpunan Selamat Tinggal Umno yang diadakan di Dataran Tok Guru,
Geliga semalam Rabu 23 Mei.
Anggota Angkatan Muda Keadilan itu
berkata demikian setelah beliau melihat sokongan masyarakat Cina kepada
perhimpunan Bersih 3.0 dan jelajah yang dilakukannya ke seluruh
negeri-negeri di Semenanjung.
“Lebih 50% dari ratusan ribu yang hadir memberikan sokongan kepada Bersih 3.0 adalah orang-orang Cina terutamanya golongan muda,
“selepas
saya menjelajah kepada negeri-negeri dari Perlis hingga ke Johor dan
sekarang ke Terengganu, ini lah saat dan peluangnya kita membuat
perubahan menyokong mana-mana calon Pakatan Rakyat,”ujarnya.
Sehubungan
itu, Penolong Setiausaha PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat menyeru
supaya ahli-ahli Umno meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan menyokong
PAS serta Pakatan Rakyat.
Katanya, Umno dan BN bukan parti yang boleh membela nasib rakyat, bahkan ahli-ahli Umno sendiri turut menerima nasib yang buruk.
“hari ini telah menyaksikan, kerajaan Umno dan Barisan Nasional tidak mampu membela nasib rakyat, hatta ahli-ahli Umno sendiri,
“kejadian
menyodok dan memusnahkan tempat pembaikian kapal (dock) milik ahli Umno
dibawah jambatan sungai Kemaman bukti yang cukup jelas,”ujarnya ketika
ditemui selepas ceramah tersebut.
Menurut
Haji Hanafiah yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Chukai,
pemilik ‘dock’ terbabit telah bertemu dengan beliau dalam Majlis Makan
Malam bersama Masyarakat Cina yang diadakan pada sebelah petangnya [Gambar kanan].
Sementara
itu, Ahli Parlimen DAP Rasah Anthony Loke Siew Fok mengesahkan parti
itu tidak akan meletakkan calonnya untuk brtanding di negeri Terengganu
pada pilihanraya akan datang.
Beliau yang turut menyampaikan
ceramah dalam majlis tersebut menegaskan slogan DAP Ganti PAS adalah
propaganda Umno dan Barisan Nasional yang takut kehilangan kuasa.
“Dia
(Umno) kata kalau Umno kalah Pakatan Rakyat menang, maka orang Umno
akan kehilangan kuasa politik orang Melayu akan hilang
segala-galanya…….ini cakap-cakap yang bodoh,
“kerana kalau Umno
kalah bukannya orang Melayu yang kalah, yang hilang kuasa adalah Umno……
kalau di Terengganu kalau Umno kalah yang akan jadi Menteri Besar
kemungkinan adalah Haji Wahid Endut bukan Lim Kit Siang,
“bukannya DAP kerana DAP tidak bertanding di negeri Terengganu,”jelasnya yang juga Anggota Jawatankuasa Pusat DAP.
Turut
hadir dan berucap dalam kedua-dua majlis, Makan malam bersama
masyarakat Cina dan ceramah sempena Himpunan Selamat tinggal Umno
semalam adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu Haji Mohd Abdul Wahid Endut. -BO