Ikuti Blog ini

Calon Ikhwan FJP dahului pilihan raya Presiden Mesir


(Dr Syed Azman berdiri di depan barisan rakyat Mesir yang sedang berpesta mengundi buat pertama kalinya)

Hari ini merupakan hari kedua  Pilihanraya Presiden Mesir. Setakat ini ianya berjalan dengan penuh tenang dan aman dengan undi luar memberikan kemenangan kepada calon Ikhwan dari FJP.

Adalah dijangkakan proses pembuangan undi buat lebih 50 juta rakyat Mesir akan terus berjalan lancar bagi memilih Presiden Mesir pertama kali setelah kejayaan revolusi 25 Januari yang yang telah menumbangkan rejim Hosni Mubarak.

Pada hari kedua ini saya berada bersama beberapa pemerhati pilihanraya telah melawat tempat membuang undi di kawasan Asyar yang terletak di pinggir Kota Kairo.

Proses pengundian yang berjalan selama 2 hari kini semakin menjelaskan pertembungan  sengit antara calon dari gerakan Islam dengan calon yang ditaja dari saki-baki pimpinan rejim Mubarak.

Seramai 13 senarai calon yang bertanding tetapi empat calon yang paling popular setakat ialah Dr Mohammad Morsy dari parti FJP Ikhwan Muslimin, Dr Mon’im Aboul Futuh yang juga merupakan bekas pimpinan Ikhwan Mesir dan dua calon tajaan saki-baki rejim Mubarak iaitu ‘Amru Musa dan Shafik.

Bekas Presiden Amerika, Jimmy Carter dan pemerhati antarabangsa dari Carter Center  kini berada di Mesir untuk menyaksikan pilihanraya bersejarah ini, sepertimana beliau juga ke Gaza untuk menyaksikan Pilihanraya Parlimen Palestin pada 25 Januari 2006 yang berakhir dengan kemenangan HAMAS.

Setakat ini proses undian berjalan lancar dimana setiap pengundi di wajibkan ‘celup jari’ bagi meengelakkan ‘pengundi hantu’ dan penipuan.

Sementara itu hakim-hakim yang diikitiraf telah dilantik bagi menyelia proses pengundian di tempat-tempat mengundi.

Bagi menjaga keamanan dan keselamatan setiap tempat pengundian, puluhan ribu yang terdiri dari kalangan anggota tentera dan polis telah dikerahkan untuk berkawal dalam tempoh dua hari ini.

Bagi lebih menjamin ketelusan dan mengelakkan sebarang penipuan, Parlimen Mesir baru-baru ini telah mengeluarkan ketetapan bahawa hendaklah dibuat kiraan undi tempat undian itu sendiri, sambil diperhatikan oleh seorang hakim dan wakil-wakil calon yng bertanding.

Salinan keputusan di peti undi tersebut diberi kepada setiap wakil calon dengan ditandatangani sendiri oleh seorang hakim yang memang menyelia peti undi disepanjang tempoh pengundian.

Inilah catatan awal perjalan pilihanraya yang sedang berjalan sekarang ini.

Bagi keputusan pilihanraya Presiden bagi rakyat Mesir yang menetap di luar negara, Dr. Mohamad Mursi dari FJP telah mendapat tempat pertama dengan lebih 37% undi dan Dr Abd Mun’im mendapat tempat kedua dengaan 27% undi.

Calon-calon lain tidak mendapat undi yang banyak dalam pemilihan ini. Pencapaian awal Dr. Mursi ini mungkin menjadi indikator positif kepada calon Ikhwan Muslimin dalam menentukan keputusan penuh pilihanraya Presiden Mesir yang sedang berjalan ini.

Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS. Hubungi beliau melalui Twitter: @syedazman   e-mail: syedazmans@yahoo.co.uk
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .