(Tuan Guru Nik Aziz mencuba sukan memanah anjuran Yik)
KOTA BHARU: Tindakan Kerajaan Pusat yang masih membisu tentang permohonan Kelantan untuk mendapatkan lesen stesyen radio sendiri disifatkan sebagai pemikiran lapuk.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri memohon surat untuk mendapatkan kebenaran itu ketika Allahyarham Datuk Mohamed Rahmat menjadi Menteri Penerangan lagi.
Katanya, tindakan berdiam diri tanpa sebarang jawapan itu tidak wajar dilakukan oleh Kerajaan Pusat sehingga sekarang.
“Tindakan ini masih berfikiran kekampungan dan amat tidak wajar dilakukan oleh menteri-menteri di peringkat pusat.
“Mereka menganggap seolah Malaysia ini milik nenek moyang mereka, ini suatu kecelakaan yang menimpa pemikiran orang Melayu,”ujarnya.
Berikutan kegagalan kerajaan Pusat menyediakan ruang itu, kerajaan negeri katanya telah melancarkan radio sendiri RTV melalui saluran internet.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis perasmian Sukan Memanah Peringkat sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) di Maahad Muhammadi.
Turut hadir anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood dan Datuk Mohd Amar Abdullah serta pengetua-pengetua sekolah agama Yik.
Tambahnya, radio dan televisyen ini akan digunakan sebaiknya oleh kerajaan negeri untuk menyiarkan program serta aktiviti kerajaan negeri.
Sempena majlis ini, Tuan Guru menunjukkan kebolehan memanah.
Sebanyak Sembilan buah sekolah Yik menerima peralatan memanah dari Tuan Guru. -Hrkh