Ikuti Blog ini
Palang, Kawat Berduri Tidak Menepati Spesifikasi Perintah Majistret - Latheefa ,Rabu, Mei 23, 2012 at 23.5.12,
Palang dan kawat berduri yang dipasang bagi menghalang peserta BERSIH 3.0 daripada memasuki Dataran Merdeka tidak menepati spefikasi yang ditetapkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Biro Guaman PKR Latheefa Koya, penghalang dan kawat berduri itu jauh daripada batasan yang ditetapkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir dua hari sebelum berlangsungnya perhimpunan gergasi itu pada 28 April lalu.
“Mahkamah sudah mengeluarkan satu perintah bahawa kononnya terdapat larangan di kawasan tertentu dengan radius tertentu dan mengatakan itu adalah kawasan larangan,
“Tetapi kita belum dapat kepastian kenapa palang penghalang yang diletakan oleh polis jauh menjangkau luar dari batasan yang dibenarkan dalam perintah tersebut,” kata Latheefa apabila dihubungi TVSelangor.
Latheefa mewakili Ketua PKR Cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin yang dituduh melanggar perintah Mahkamah Majistret dalam himpunan itu.
Badrul Hisham bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan presiden PKR Azmin Ali dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta pagi tadi.
Latheefa berkata halangan yang diletakkan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada hari itu tidak menepati sempadan kawasan larangan yang ditetapkan majistret.
“Majistret ada memberitahu jalan-jalan yang dikatakan kawasan tidak boleh dimasuki.”
Pada 26 April Majistret Zaki Asyraf Zubir, melarang perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan yang bersempadan dengan Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Kelab.
“Tetapi palang penghalang dan dawai duri yang diletakkan jauh menjangkau larangan tersebut, Jadi macamana mereka kata dia (Badrul Hisham) langgar perintah?”
Selain dari melanggar perintah mahkamah, Anwar, Azmin dan Badrul Hisham didakwa di bawah Seksyen 4(2) (c) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana menyertai protes jalanan.
Ketiga-tiga mereke telah dikenakan RM500 sebagai ikat jamin bagi tuduhan kedua dan bon peribadi bagi tuduhan pertama.
Sebut semula kes ditetapkan pada 2 Julai akan datang.