Ikuti Blog ini

PAS demo depan pejabat NST Jumaat ini

(Laporan NST yang mendakwa 'Nik Aziz bapa kafir')

KUALA LUMPUR: Selepas amaran demi amaran dan bantahan demi bantahan tidak dihirau, Pemuda PAS akan mengadakan demo di perkarangan pejabat akhbar NST Jumaat ini ekoran dakwaan 'Nik Aziz bapa kafir'.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam kenyataannya berkata, demo itu akan diadakan sebaik sahaja selesai solat Jumaat.

"Solat Jumaat beramai-ramai di Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar," dan selepas itu mereka akan berarak ke pejabat NST.

Menurut Khairul Faizi, Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan isu “Nik Aziz is Father Of Kafir" yang dikeluarkan oleh akhbar Nes Straits Times sebagai satu penghinaan kepada PAS serta perjuangannya.

Sebelum ini, katanya, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga telah mengambil satu tindak balas segera iaitu berjumpa dengan pihak New Straits Times bagi menyatakan bantahan serta meminta pihak mereka untuk menarik semula kenyataan tersebut.

Maklum balas yang diterima, pihak New Straits Times enggan menarik balik kenyataan tersebut bahkan tidak mahu memohon maaf di atas fitnah yang ditabur oleh pihak mereka ke atas Mursyidul Am PAS dan juga Menteri Besar Kelantan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga, katanya, telah mengarahkan untuk diadakan satu demonstrasi bantahan di peringkat negeri-negeri pada minggu lepas untuk membantah tindakan akhbar tersebut.

"Sehingga kini, Dewan Pemuda PAS Malaysia masih lagi tidak mendengar apa-apa kenyataan daripada pihak New Straits Times untuk memohon maaf atau menarik semula kenyataan tersebut," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan satu lagi demonstasi bantahan di peringkat Pusat yang akan diadakan pada hari Jumaat bertarikh 25 Mei 2012 selepas solat Jumaat bertempat di hadapan pejabat Balai Berita New Straits Times Press [M] Berhad, Bangsar.

Setiap ahli PAS, katanya, diminta untuk hadir bagi menyatakan bantahan terhadap kebiadapan kenyataan New Straits Times iaitu “Nik Aziz is Father of Kafir”  dan juga kedegilan mereka untuk memohon maaf. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .