Ikuti Blog ini

Peminat FB Tok Guru Nik Aziz kini 664,000



KOTA BHARU: Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa terharu di atas sambutan menggalakkan terhadap laman sosialnya (Facebook - FB) yang kini mempunyai capaian lebih 664,000.

Menteri Besar berkata, laman sosial tersebut dijadikan sebagai bahan rujukan semua pihak kerana banyak maklumat terkini dimuatkan dalam Facebook.

“Saya amat gembira kerana melalui Facebook ini rakyat di seluruh negara mendapat maklumat tepat dan cepat, maklumlah kalau nak harapkan media lain tu agak sukarlah sikit,” katanya ketika merasmikan pelancaran Rangkaian TV Kelantan(RTV) di Dewan Teratai hari ini.

RTV dibangunkan Jabatan Teknologi Maklumat Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan.

Beliau juga berkata, penyebaran bahan fitnah yang semakin berleluasa sekarang merupakan perbuatan kurang bermoral.

Malangnya kata beliau media tradisional pula menyiarkan berita mengenai fitnah di muka hadapan akhbar mereka bagi menarik perhatian lebih ramai pembaca.

Oleh itu beliau berharap pelancaran RTV yang dimiliki kerajaan negeri dapat mengelakkan sebarang penyebaran berita yang berunsur fitnah.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, RTV dilahirkan selepas usaha kerajaan negeri sejak 22 tahun lalu untuk memiliki siaran TV sendiri tidak diberi kelulusan kerajaan pusat.

“Kerajaan negeri telah mengambil inisiatif menggunakan perkembangan teknologi maklumat untuk menyediakan rangkaian TV sendiri.

“Perkembangan internet membolehkan kerajaan Kelantan mewujudkan satu kumpulan kerja untuk membangunkan penyiaran TV melalui internet yang dikenali sebagai RTV,” ujar beliau.

Turut hadir Speaker Dun Kelantan, Dato’ Nasuruddin Daud, wakil-wakil rakyat, ketua jajahan dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Muhammad Fadzli juga berkata kerajaan negeri turut menyediakan alat khas (recorder) di setiap kawasan Dun untuk menyalurkan maklumat semasa kepada rakyat.

“Melalui alat tersebut orang ramai boleh menonton RTV secara jelas dan boleh mendapat maklumat terkini lebih cepat,” ujarnya. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .