Ikuti Blog ini

Isteri Datuk Kamarudin meninggal dunia

KELANA JAYA, 11 Nov: Isteri Datuk Kamarudin Jaffar, Datin Kamariah Kamarudin meninggal dunia jam 6 pagi ini selepas sekian lama melawan kanser.

Datin Kamariah meninggal di rumahnya di No 2, Jalan SS 7/4, Kelana Jaya, di hadapan anak-anaknya kerana suami beliau, Datuk Kamarudin, anggota Parlimen Tumpat yang juga AJK PAS Pusat masih dalam perjalanan pulang dari Qatar.

(Gambar: Anak bongsu Datuk Kamarudin tiba dari asrama disambut abang dan kakaknya)

Beliau bergegas pulang ke Malaysia selepas mengetahui isterinya tidak sihat malam tadi. Kamarudin, bekas Setiausaha Agung PAS, dijangka akan sampai ke KLIA tengahari ini.

Allahyarhamah Datin Kamariah, 50-an, telah sekian lama menghidap kanser usus dan sedang menerima rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) termasuk kimoterapi.

Suami beliaulah, walaupun dalam keadaan sibuk, sentiasa berada di sisinya termasuk berada bersama beliau setiap kali mendapatkan rawatan kimoterapi di SJMC.

Menjelang Mutamar PAS Jun lalu, Kamarudin telah memberitahu pucuk pimpinan PAS agar tidak lagi melantik beliau menjadi setiausaha agung. Alasan yang diberikan adalah untuk membolehkan beliau mempunyai lebih banyak masa dengan isterinya itu.

Datuk Kamarudin juga adalah Pengarah Urusan Harakah sehingga kini. Beliau mempunyai empat anak, dua lelaki dan dua perempuan, sepanjang perkongsian hidupnya dengan Allahyarhamah.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah kepada Datuk Kamarudin Jaffar di atas pemergian isterinya, Datin Kamariah Kamarudin pagi tadi.

"Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada YB Datuk Kamarudin Jaafar di atas pemergian isteri beliau, Datin Kamariah Kamarudin, ke rahmatullah pagi ini 11 November 2009.

(Gambar: Presiden PAS dan timbalannya antara yang memberikan penghormatan terakhir)

"Sudah tentu pemergiaan isteri beliau ini bukan sahaja dirasai oleh Datuk Kamarudin Jaafar, tetapi juga seluruh anggota keluarga yang senantiasa bersabar dengan ujian dari Allah ini.

"Semoga Datuk Kamarudin Jaafar bersabar dengan ketentuan Allah ini. Kita juga mendoakan agar roh isteri beliau itu berada dalam rahmat dan keampunan Allah SWT," katanya dalam satu kenyataan.

Jenazah Allahyarhamah Datin Kamariah akan disembahyangkan di Masjid Nurul Yakin, SS7 Kelana Jaya dan akan dikebumikan di Bukit Kiara selepas solat Asar.

Seluruh warga PAS, kakitangan Harakah dan Harakahdaily serta anak-anak syarikat mengucapkan takziah kepada Datuk Kamarudin dan keluarga. Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan solehah.

Sehingga jam tiga petang, kelihatan pemimpin pelbagai peringkat mula berhimpun di perkarangan rumah Kamaruddin.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang datang bersama timbalannya, Nasharudin Mat Isa serta beberapa wakil rakyat lagi

Turut hadir kemudian adalah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid, Ahli Parlimen Gombak Mohd Azmin Ali, Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adun Batu Caves, Amirudin Shaari.

Sekitar jam 3.30 petang, Kamaruddin sampai ke kediamananya dari Qatar dan disambut dengan ucapan takziah oleh banyak pihak.

Beliau memeluk anak-anaknya dan terus melihat buat kali terakhir jenazah isterinya.

Selepas menatap wajah Almarhumah Kamariah, jenazah dibawa ke masjid sebelum dikebumikan selepas solat Asar petang tadi.

Alfatihah

Jom Cari Perbezaan Yang Tersembunyi Dalam Gambar!

Boleh dikatakan kebanyakkan Media menyiarkan kisah tentang seorang lelaki warga emas yang sanggup menikam hingga mati isterinya kerana tidak mahu menceraikan Isterinya yang baru dikahwini baru setahun itu..

Gambar yang disiarkan adalah sama.. Cuma cuba korang perhatikan perbezaan antara gambar yang ada dalam Utusan dengan Berita Harian dan Harian Metro....


Gambar yang disiarkan Utusan


Gambar dari Berita Harian


Gambar dari Harian Metro

Utusan telah memadamkan logo BN yang terdapat pada payung itu, tetapi Berita Harian dan Harian Metro tidak!

Dipadamkan.. mungkin kerana lelaki warga emas itu berkopiah putih ke?

SULTAN TIADA KUASA MEMECAT NIZAR


OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

“ Tunjukkan mana-mana peruntukkan di dalam Perlembagaan Perak yang memberi kuasa kepada Y.M Sultan Perak untuk memecat Nizar sebagai Menteri Besar ( MB ) Perak yang sah”. Itulah intipati hujah pasukan peguam Nizar semasa berhujah di Mahkamah Persekutuan , Putrajaya pada 5 November yang lalu.


Peguam Zambry dan Peguam Negara berhujah bahawa Zambry adalah MB yang sah kerana beliau telah dilantik oleh Y.M Sultan Perak di bawah Perkara 16 ( 2 ) Perlembagaan Negeri Perak. Peguam Nizar pula berhujah sebelum Zambry boleh mendakwa dia adalah MB Perak yang sah beliau perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa jawatan MB yang disandang oleh Nizar telah dikosongkan ataupun Nizar telah dipecat secara sah berdasarkan Perlembagaan Negeri Perak.

Sepertimana yang dikatakan oleh Harley CJ ( Borneo ) di dalam kes Stephen Kalang Ningkan v Tun Abang Haji Openg and Tawi Sli ( 1966 ) 2 MLJ 187 , terdapat dua keadaan di mana Governor ( atau Sultan ) mempunyai bidibicara iaitu (a) dalam isu pelantikan MB dan ( b ) enggan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) .

Harley CJ seterusnya berkata “ As regards to ( a ) , nobody could be so foolish to suggest that a Governor could appoint a second Chief Minister while there was still one in office..” ( Terjemahan : “Berkenaan ( a ) , tiada orang yang terlalu bodoh untuk mencadangkan bahawa Governor boleh melantik MB yang kedua jika MB yang pertama masih memegang jawatan tersebut.” )

Apa yang jelas sehingga 5 November 2009 Zambry masih tidak dapat membuktikan bahawa kerusi MB yang Nizar pegang telah dikosongkan atau Nizar telah dipecat secara sah oleh Sultan Perak.

Peguam Zambry dan Peguam Negara berhujah bahawa memandangkan Nizar telah memohon secara betulis pada 5.2.2009 kepada Sultan bagi pembubaran DUN Perak di bawah Artikel 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak dan memandangkan Sultan enggan menggunakan budibicaranya untuk membubar DUN Perak maka Nizar dan barisan exconya hendaklah meletakkan jawatan berdasarkan peruntukkan itu.

Peguam Zambry dan Peguam Negara juga berhujah bahawa di dalam surat Nizar kepada Sultan bertarikh 5.2.2009 itu Nizar mengatakan jumlah kerusi BN dan PR adalah sama banyak iaitu masing-masing 28 kerusi kerana kerusi tiga ADUN yang melompat telah diisytiharkan kosong oleh Speaker. Peguam Zambry dan Peguam Negara berhujah jika pun jumlah kerusi BN dan PR adalah sama iaitu 28 Nizar masih lagi tewas jika undi tidak percaya diadakan kerana kerusi PR sebanyak 28 itu termasuk kerusi speaker maka jika undian dibuat speaker tidak boleh mengundi maka PR hanya boleh dapat 27 undi sahaja.

Peguam Nizar menjawab sebelum Artikel 16 ( 6 ) hendak digunakan oleh Zambry mestilah terlebih dahulu dibuktikan bahawa Nizar telah kehilangan kepercayaan oleh Adun –Adun dan bagi menentukan hal tersebut perlu diadakah sidang dewan bagi para Adun membawa undi tidak percaya kepada Nizar. Di dalam kes ini adalah jelas tiada sebarang undi tidak percaya telah diambil dari mana-mana sidang Dun. Oleh itu prasyarat Perkara 16 ( 6 ) tidak dipenuhi di dalam kes ini.

Peguam Nizar juga berhujah bahawa berdasarkan sejarah negara ini undi tidak percaya yang dibuat di dalam sidang dewan pernah berlaku di dalam kes di Trengganu pada tahun 1961. Pada tahun 1959, PAS berjaya membentuk Kerajaan di Trengganu dan MB yang dilantik adalah Y.B Daud Samad. Pada 26/10/1961 Ketua Penerangan Umno Tuan Syed Jaafar Albar telah mengumumkan bahawa Perikatan telah menjadi parti majoriti kerana 3 orang Adun PAS dan 3 orang Adun Parti Negara telah melompat menyertai Umno.

Pada 30/10/1961 undi tidak percaya dibuat di dalam Dun Trengganu ke atas MB , Daud Samad. Selepas undi tidak percaya Daud Samad telah meminta Sultan Trengganu membubarkan Dun Trengganu namun Sultan enggan berbuat demikian. Sultan kemudiannya melantik Ibrahim Fikri dari Perikatan sebagai MB yang baru.

Jelas Sultan hanya bertindak selepas undi tidak percaya dibuat di dalam sidang dewan.

Mengenai hujah Zambry bahawa Nizar masih lagi tewas jika undi tidak percaya diadakan kerana kerusi PR sebanyak 28 itu termasuk kerusi speaker dan memandangkan speaker tidak boleh mengundi maka Nizar akan kalah jika undi dibuat peguam Nizar menjawab seperti berikut : Ya, benar speaker , Sivakumar tidak boleh mengundi tetapi jika benar-benar ada sidang Dun untuk diambil undi tidak percaya kepada Nizar apakah yang menghalang untuk Sivakumar meletak jawatan speaker dan menjadi ADUN biasa dan seterusnya mengundi. Tidakkah waktu itu kedudukan PR dan BN adalah 28 : 28. Sudah tentu jika BN terlalu bodoh melantik Adun mereka sebagai speaker sebagai ganti Sivakumar maka kerusi BN akan berkurang sebanyk 27 dan PR pula mempunyai 28 kerusi.

Peguam Nizar juga berhujah apabila Nizar enggan meletakkan jawatan adakah Sultan ada kuasa memecat beliau. Peguam Zambry dan Peguam Negara kata Sultan ada kuasa. . Peguam Nizar menjawab sila tunjukkan peruntukkan mana yang memberi kuasa itu. Peguam Zambry kata meskipun tiada peruntukkan khusus Sultan dianggap mempunyain kuasa itu ( deemed to have such a power ).

Peguam Nizar menjawab mestilah ada satu peruntukkan anggapan ( deeming provision ) di dalam Perlembagaan Perak sebelum Sultan dianggap mempunyai kuasa itu.

Sebagai contoh hujah peguam Nizar terdapat peruntukkan anggapan di bawah Perkara 19 ( 1 ) di Bahagian 2 Perlembagaan Perak bahawa Sultan dianggap telah mengosongkan jawatannya jika baginda tidak hadir dalam tempoh yang lama di dalam sidang Dewan Negara dan ketidakhadiran untuk tempoh yang lama itu tanpa alasan yang mencukui atau alasan yang munasabah. Jelas sebelum jawatan Sultan itu boleh dinggap dikosongkan Perlembagaan Perak secara jelas memperuntukkan peruntukkan berkenaan anggapan tersebut.

Hal yang sama tidak berlaku di dalam kes pengosongan jawatan MB. Tiada peruntukkan yang menyatakan bahawa jika MB enggan meletakkan jawatan kerusi MB dianggap telah kosong. Tanpa peruntukkan penting itu bagaimanakah Mahkamah boleh membuat anggapan sepertimana yang dihujahkan oleh Peguam Zambry dan Peguam Negara.

Peguam Nizar menyatakan Perlembagaan Perak dengan secara jelas menyatakan di dalam Perkara 16 ( 7 ) Perlembagaan Perak bahawa tidak seperti mana exco yang dilantik atas kerelaann Sultan ( at his pleasure ) jawatan MB tidak dipegang atas kerelaan Sultan. Oleh itu tidak timbul Sultan boleh memecat Nizar sebagai MB Perak yang sah.

Hujah telah diberikan terpulanglah kepada lima orang Hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan. Bagi 5 orang hakim itu saya ingin menukilkan nasihat Hakim Israel iaitu Ehud J yang menyatakan “ Apabila para hakim duduk untuk menghakimi, hakikatnya merekalah yang sedang dihakimi.” Ya, rakyat sedang menghakimi 5 orang hakim tersebut.

http://peguampas.blogspot.com

Pembangunan Yang Merugikan Rakyat

E-mail Print PDF

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita13/buletin%204.JPGBESUT – Orang ramai menggesa pihak berkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan penyiasatan keatas semua projek yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu terutamanya semasa diterajui bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Ia adalah kerana, selain dianggap membazir, projek-projek tersebut mengalami banyak ‘kerosakkan’ walaupun baru di siapkan dan merupakan kerugian kepada harta rakyat.

Projek-projek pembangunan yang dibiayai ’dana khas’ dan ’wang ehsan’ merupakan yang paling banyak mengalami kecacatan rosak dan runtuh.

Kerosakan besar yang berlaku adalah seperti runtuhnya atap Stadium Sultan Zainal Abidin, Pusat Akuatik Batu Burok yang bocor, siling lapangan terbang Sultan Mahmud yang tanggal, runtuhnya menara komunikasi di Tembila, Besut dan runtuhnya bumbung masjid di Kerteh.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita13/buletin%209.JPGManakala semakan Buletinonline mendapati, rata-rata masjid-masjid yang di bina pada zaman Idris mengalami kerosakan sebaik sahaja siap dan mula digunapakai.

Antaranya adalah masjid Kristal yang mengalami kebocoran, masjid Hadhari, masjid Kampung Lingai, Batu Rakit dan masjid Kampung Bintang, Setiu.

Manakala dalam kawasan Dewan Undangan Jerteh sendiri dimana Idris adalah wakil rakyatnya, pelbagai projek yang tidak munasabah yang dilaksanakan menjadi terbengkalai dan rosak.

Antaranya pembinaan pasar besar Jerteh atau Jerteh Souq, bangunan Taman Selera di sisi jambatan Jerteh dan taman rekreasi ditebing sungai Jerteh berhampiran masjid Hadhari.

Sebanyak enam buah wakaf di taman rekreasi Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dibina menjadi lanskap bagi sebuah Masjid Hadhari disini, rosak ditenggelami airkerana dibina dalam lembah di tebing sungai Jerteh.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita13/buletin%208.JPGBuletinonline dimaklumkan, Taman Rekreasi JPS dibina oleh Majlis Daerah Besut dengan kos lebih RM100 ribu.

Seorang penduduk, Abdullah Mat Zin, 45, hairan bagaimana pembangunan sebuah Taman Rekreasi JPS yang dibina di tebing Sungai Jertih diluluskan.

Ini kerana, katanya taman tersebut dibina terlalu rendah serta berada di bawah paras aliran air sungai berkenaan.

“Saya rasa pelik macam mana pihak kerajaan boleh lulus buat Taman Rekreasi JPS ini. Mereka (kerajaan) buat di tempat rendah dan mudah ditenggelami air Sungai Jertih.

“Jika air pasang atau hujan lebat sikit pun boleh tenggelam wakaf-wakaf serta Taman Rekreasi JPS itu,” jelasnya.

Beliau mahukan pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat.


http://www.buletinonline.net/images/stories/berita13/buletin%206.JPGSelain Abdullah, seorang pesara kerajaan Mohamad Said, 63, berkata pembinaan wakaf dan taman rekreasi di tebing sungai Jerteh menjadi ‘bahan ketawa’ orang Jerteh.

“Semua orang tahu, pada setiap tahun ketika musim hujan, air sungai Jerteh akan melimpah dan banjir akan berlaku,

”pembinaan wakaf dan taman rekreasi tersebut, benar-benar tidak masuk akal,”katanya ketika ditemui.

Beliau dimaklumkan pembinaan enam buah wakaf yang kini ditenggelami air Sungai Jertih tersebut mencecah harga RM20,000 sebuah.

Polis berpakaian biasa ganggu DS Nizar berucap


Bukit Gantang: Bertempat di Simpang Halt semalam telah diadakan satu program bersama masyarakat India dan penyampaian sumbangan kepada beberapa penerima dikalangan masyarakat india yang serba kekurangan.Turut serta dalam Majlis tersebut ialah Tuan Akram dan juga rakan-rakan Beliau yang hadir mewakili Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Larut yang mana Persatuan ini juga turut berbesar hati memberikan sumbangan keperluan kepada penduduk setempat.Acara cabutan bertuah juga turut diadakan.

Selepas itu Dato Seri Nizar mengadakan lawatan Ziarah ke Sekolah Al-Mulkan di Matang.Beliau hadir bagi bertanya khabar dan bertanyakan perkembangan terkini pembinaan bilik darjah bagi keselesaan pelajar-pelajar disana.

Dato Seri kemudian hadir bagi bersama-sama dengan jemaah menunaikan solat maghrib di Surau Al-Munawwarah,Kemunting.Beliau juga turut menyampaikan Tazkirah Maghrib disana.Antara isi penyampaian Beliau ialah Beliau mengajak semua yang hadir untuk kembali kepada satu fitrah yang asal iaitu sentiasa membesarkan kekuasaan Allah swt dan jangan sekali-kali meletakan segala pujian kepada manusia.Beliau juga turut mengingatkan kepada semua untuk tidak sekali-kali mensyirikan Allah swt dalam apa jua keadaan.

Selepas itu Dato Seri hadir dalam satu program ceramah di Kemunting.Sewaktu perjalanan kesana kami diberitahu bahawa satu sekatan jalan raya bagi menghalang Majlis tersebut telah dibuat dan ketika Dato Seri sedang berucap sekumpulan anggota Polis tidak beruniform hadir dan menyuruh agar ceramah tersebut dihentikan.Walau bagaimanapun ia tetap diteruskan sehinggalah Dato Seri habis berucap dan Beliau ke lokasi terakhir di Selama.

Royalti - Kelantan akan hantar 2 surat kepada kerajaan pusat



Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi akan menghantar satu surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar satu rundingan diadakan supaya kerajaan pusat menukar pemberian wang ehsan kepada royalti.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa ketika memaklumkan perkara itu optimis Najib akan membayar royalti berkenaan setelah berunding dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata, isu tiga batu nautika untuk melayakkan negeri pengeluar mendapat royalti adalah satu hujah yang tidak berasas kerana syarat itu tidak termaktub dalam Akta Petroleum 1974.

“Beliau akan sentuh semula mengenai royalti dan satu hujah yang digunakan (ialah ) ialah tiga batu nautika yang tidak ada dalam mana-mana undang-undang. Kalau kita tengok undang-undang negara kita, yang ada hanyalah dua belas batu nautika. Tapi akta petroleum mengatasi segala undang-undang,” katanya.

Mengikut Perjanjian tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petrolium yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh PETRONAS ataupun ejensi-ejensi ataupun kontrektor-kontrektornya.

Tegasnya, kerajaan negeri bukan sekadar ingin menuntut wang yang sememangnya menjadi hak rakyatn Kelantan namun apa yang lebih penting adalah ketelusan kerajaan persekutuan dalam membela kebajikan rakyat.Sehubungan itu, beliau menegaskan, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan tuntutan ke atas royalty demi keadilan rakyat Malaysia.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan memperhebat kempen mengenai isu ini bagi memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai hak mereka.

Dr Asri sedia berceramah di Kelantan


KOTA BHARU, 9 Nov: Bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin bersedia menyampaikan kuliah pada mana-mana majlis Ilmu di Kelantan termasuk pada kuliah tetap Tuan Guru Nik Abdul Aziz setiap Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di pejabat Menteri Besar Kelantan, Kota Darul Naim pagi tadi.

“Saya sanggup menjadi penceramah di Kelantan jika dijemput termasuk di Medan Ilmu.

"Walapun jaraknya agak jauh, namun tiada masalah bagi saya,” ujar beliau.

Dr. Asri ditahan oleh JAIS pada lewat malam 1 November lalu ketika sedang menyampaikan kuliah di sebuah banglow di Selangor kerana didakwa megajar tanpa tauliah.

Sewaktu penahanannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Nik Aziz antara individu yang mempertikaikan motif penahanan Dr Asri.

Dalam pada itu bekas mufti terbabit juga merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Johor kerana memberi kebenaran kepadanya meneruskan kuliah di negeri tersebut.

“Ini menggambarkan keterbukaan intelektual kerajaan Johor dan diharapkan dapat dilakukan sama negeri-negeri lain,” katanya.

Kuliah Jumaat di Medan Ilmu merupakan kuliah tetap Menteri Besar Kelantan yang turut dihadiri ribuan rakyat dari seluruh negeri kelantan dan dari luar.

Dr Mohd Asri juga berkata, Kelantan sejak dari dahulu lagi mengamalkan keterbukaan di mana beliau pernah dijemput menyampaikan ceramah agama di negeri ini.

Oleh itu beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan kerana memahami suasana yang beliau alami.

Beliau juga sebelum ini pernah menziarahi Tuan Guru Nik Abdul Aziz selepas keluar dari Intitut Jantung Negara.

DS Anwar rakam terima kasih, puji cara PAS selesai masalah


GEORGETOWN, 9 Nov: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berterima kasih dan memuji PAS kerana terus meletakkan komitmen memperkasa Pakatan Rakyat.

Berucap pada Konvensyen PKR Pulau Pinang semalam, Anwar kagum dengan sikap PAS yang matang membuat keputusan dan pandai menjaga setiakawan.

"PAS ternyata sebuah parti yang komited dengan Pakatan Rakyat, matang dan bijak menangani permasalahan yang timbul.

"Saya juga berterima kasih dengan kepimpinanya yang sedaya upaya memperkemaskan pemuafakatan yang sedia ada demi perjuangan memartabatkan Negara berkebajikan, " tegasnya.

Kepimpinan PKR katanya wajar mengambil tauladan sikap dan kebijaksanaan kepimpinan PAS agar parti itu terus kuat untuk masa hadapan.

Anwar turut memuji sikap ahli PAS yang berdisiplin tinggi, bersungguh-sungguh, sanggup berjuang bila-bila masa dan pandai membaca strategi musuh.

"Itulah kelebihan PAS, ia mampu mendidik ahli dengan displin yang tinggi, memupuk kesungguhan, istiqamah dalam perjuangan dan lainya. Ia adalah berkat kematangan kepimpinan parti yang mengutamakan perjuangan, " tambahnya.

Bagi memantapkan Pakatan Rakyat, beliau turut menasihatkan agar semua pihak dalam pakatan tidak mengeluarkan kenyataan bercanggah antara satu sama lain kerana ia memberi ruang untuk musuh menyerang pakatan.

Sebaliknya mengeratkan jalinan permaufakatan untuk membuktikan bahawa Pakatan Rakyatt mampu menandingi BN yang kini semakin lemah dan sedang mengalami penyakit kronik yang sukar diubati.

Kepada kepimpinan Pakatan Rakyat di lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan dinasihatkan agar mengukuhkan perpaduan dan sering turun padang bertemu rakyat dengan mewujudkan program bersama mereka dan jangan bersikap ego atau sombong.

"Kita baru nak mula bertapak khusunya di pantai barat semenanjung mesti kerja kuat dan kepada kepimpinan PKR diingatkan tambahkan ahli serta perkuatkan jentera di akar umbi, " kata Anwar.

Sementara itu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Datuk Johari Abdul mahu semua parti dalam pakatan berusaha bersungguh sungguh ke arah persediaan menuju putrajaya.

"Untuk memenuhi hasrat kita ke Putrajaya apa yang penting ialah usaha gigih ke arah itu disamping mencipta kesungguhan ahli dan jentera di akar umbi.

"Kegigihan itu harus dilaksanakan oleh semua parti gabungan dalam Pakatan Rakyat, " tegas beliau seterusnya.

Cara PAS membawa diri ke alaf baru "Selamat Maju Jaya Pas"



SETELAH BERAKHIRNYA apa yang dipanggil Seminar Memperkasakan Parti semalam, PAS kini nampaknya berazam untuk memperbaiki dirinya demi untuk menjadi sebuah 'parti untuk semua'.

Natijah ini sebenarnya terserlah daripada awal lagi. Soal capai atau tidak itu soal lain. Mari kita lihat kemungkinan-kemungkinannya ke arah itu.

Pertama, belum pernah dalam sejarah parti itu, satu seminar untuk melihat kelemahan diri diadakan dalam suasana yang begitu terbuka sebagaimana yang ditunjukkan melalui seminar itu.

Saya katakan terbuka kerana seminar itu turut dihadiri wakil-wakil media tanpa ada unsur-unsur saringan terlebih dahulu.

Kedua, PAS menjemput dua orang ahli akademik yang dari segi keanggotaannya tiada kaitan langsung dengan mereka untuk membentangkan kertas kerja mengenai kemajuan dan kelemahan PAS walaupun kehadiran Aziz Bari lebih kepada untuk menjawab atau mempertahankan tulisan beliau sehingga mengundang kepada kontroversi kritikan pedas Nik Aziz Nik Mat yang selepas itu pula mendorong kepada terhasilnya seminar berkenaan.

PAS yang seperti ini tidak akan kelihatan di era 1980an mahupun 1990an.

Malah PAS diera 1980an masih dengan slogan 'Bakar Wartawan' atau 'bakar suratkhabar'.

Tapi kali ini, PAS bukan sahaja membuka pintunya kepada kritikan luar malah mengizinkan pihak media mendengar kandungan kritikan tersebut.

Jadi cara PAS membawa dirinya ke alaf baru ini serta keputusan sebulat suara bagi meluluskan lima resolusi yang dicapai pada seminar berkenaan pada dasarnya menggambarkan bahawa segala kekalutan yang berlaku dalam PAS sejak akhir-akhir ini berjaya diselesaikan secara terbuka dan melalui kaedah musyawarah.

Pendek kata, PAS ingin menunjukkan kepada dunia bahawa ia benar-benar serius dalam menawarkan alternatif kepada rakyat Malaysia melalui dasar-dasar keterbukaan yang sedang ditunjukkannya masa kini.

Syabas PAS dan moga-moga apa yang ditunjukkannya ini tidak bermaksud satu gimik politik.

Bagaimanapun, apa yang diperkatakan ini hanyalah satu sudut pandang dari kacamata orang luar.

Seperkara lagi yang kelihatannya agak nyata hasil daripada seminar itu ialah betapa para perwakilan ke Seminar itu tidak lagi bersedia untuk duduk berbincang secara serius dengan UMNO berhubung kerajaan perpaduan.

Peluang mengikuti keseluruhan perjalan seminar berkenaan semalam menimbulkan satu persepsi bahawa pada dasarnya pemimpin dan ahli peringkat akar umbi sememangnya menolak idea kerjasama tersebut.

Rata-rata perwakilan yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan melahirkan persepsi yang negatif ke atas apa jua usaha sama ada yang tersirat mahupun tersurat berhubung cubaan menjalinkan kerjasama dengan Umno dan BN.

Dan menyedari akan sentimen inilah maka diakhir seminar itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terpaksa untuk kali yang terakhirnya menegaskan bahawa isu kerajaan perpaduan sudah berakhir dan parti itu menetapkan pendirian bahawa PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat 'dalam ribut mahupun dalam tenang'.

Malah Abdul Hadi juga memberi jaminan bahawa selepas berakhirnya seminar politik yang pertama kali dianjurkan itu, tidak akan ada lagi mana-mana pemimpin atau ahli parti itu yang akan membangkitkan lagi isu berkenaan yang dianggap telah menjadi punca berlakunya konflik dalaman PAS.

"Tak mungkin dibangkitkan lagi (isu kerajaan perpaduan), ia dah tutup... ini pendirian PAS, pendirian Pakatan Rakyat," katanya dalam sidang media di Markas Tarbiyah Pusat parti itu di Taman Melewar di sini sejurus selepas selesainya seminar berkenaan.

Nampaknya dari sudut ini, ketetapan PAS sudah jelas bahawa mereka menolak secara total sebarang kerjasama dengan Umno dan BN dan berikrar akan terus bersama Pakatan Rakyat yang turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Dan PAS tidak mahu lagi isu ini menghantui mereka dan menghambat mereka buat selama-lamanya. Ia perlu dihentikan sekarang sebelum perpecahan terus berlaku di kalangan mereka sendiri. Hadi menyedari risiko politik itu dan beliau akur dengan kehendak akar umbi.

Namun begitu pada sudut yang lain pula, seminar itu turut memperlihatkan bahawa keputusan untuk 'menutup buku perpaduan' dengan UMNO tidak juga bermakna mereka memberi 'blank cheque' kepada pucuk pimpinan melakukan apa sahaja dengan Pakatan Rakyat.

Ini kerana masih terdapat suara-suara yang mempertikaikan batas kerjasama yang terjalin antara PAS dan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Secara rawak memang dapat dirumuskan bahawa ada dikalangan ahli PAS sendiri tidak merestui jika PAS bergabung secara rasmi bersama Pakatan Rakyat apatah lagi menggunakan satu simbol parti mewakili pakatan itu.

Jika inilah sentimennya, usaha ke arah membentuk satu pakatan sepertimana BN yang kini sedang diusahakan oleh Zaid Ibrahim bukanlah satu pelayaran yang mudah.

Ini dapat dilihat daripada gesaan para peserta seminar yang mendesak agar pucuk pimpinan parti menggariskan batas persempadanan kerjasama yang hendak dijalinkan itu jika ianya menjadi realiti.

Malah gesaan sedemikian juga selari dengan hasil kajian yang dibentangkan oleh ahli akademik, Dr Abu Hassan Hasbullah yang hadir sebagai salah seorang ahli panel seminar itu.

Menerusi kajiannya yang bertajuk "Kajian Mikro Kepercayaan Politik di Malaysia Dari Persepsi Pola Kepercayaan Untuk PRU ke 13 akan datang", Abu Hassan berkata sebilangan besar responden di kalangan golongan muda mahu PAS bertindak sebagai ahli bersekutu sahaja.

Dan Abdul Hadi dalam responnya kepada soal membentuk pakatan pembangkang yang lebih terikat sebagai satu pasukan menegaskan PAS sebagai satu badan politik mahu tidak mahu perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam Pakatan Rakyat untuk memimpin rakyat ke arah perubahan.

Pada masa yang sama, Hadi berkata, persefahaman yang akan diwujudkan itu akan dilakukan tanpa mengorbankan dasar yang diperjuangkan PAS.

Dalam erti kata yang lain, ada sedikit kusyen politik di situ. Maknanya Hadi berhati-hati. Jika pakatan yang hendak dibentuk itu tidak jadi realiti ia bukan disebabkan oleh ketidaksepakatan pembangkang tetapi kerana PAS sejak awal-awal lagi telah berdiri teguh bahawa ia tidak bersedia mengadaikan dasarnya hanya kerana keperluan sebuah pakatan sepertimana BN.

PAS juga menurutnya adalah sebuah parti yang mampu untuk berdiri di atas kaki sendiri. Tapi kenyataan ini lebih menjurus kepada ego Hadi dan ego PAS. Tidak lebih dari itu.

Tetapi apabila ego itu berlalu, maka Hadi pun terus berkata; "PAS bukan sahaja perlu memperkukuhkan kekuatan bagi memenangi undi di kalangan pengundi Islam namun dalam masa yang sama perlu lebih berusaha untuk meraih undi penyokong bukan Islam."

Soal keperluan kepada undi bukan Islam itu bukan ego tapi Hadi yang kembali berpijak kepada dunia realiti.

"Dalam masa yang sama kita hendaklah mendapatkan undi bukan Islam sebanyak mungkin kerana inilah pendekatan politik yang sebenarnya, asalkan kita mempelihara, akidah dan menjaga sempadan," katanya.

Dan berpijak di bumi yang nyata ini akhirnya diterjemahkan dalam bentuk resolusi yang dicapai semalam iaitu untuk meningkatkan sokongan bukan Muslim dengan bertindak aktif menubuhkan Kelab Penyokong Pas di kawasan masing-masing serta membuat pelan tindakan antaranya menguatkan kempen nasional bertemakan 'PAS Untuk Semua'.

Walaupun pada akhirnya tidak semua yang akan setuju dengan dasar PAS tetapi keazamannya untuk menjadi parti untuk semua adalah satu langkah yang berani; --- berani kerana berazam untuk menjadi parti untuk semua tanpa bersedia mengorbankan dasarnya.

Selamat Maju Jaya PAS...

Royalti Jadi Ehsan; Perbuatan Khianat dan Jahat

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita13/dato%27wan.JPGKUALA TERENGGANU – Perbuatan mengubah pembayaran royalti minyak kepada wang ehsan yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional kepada negeri Terengganu dan Kelantan adalah satu pengkhianatan yang jahat.

Penasihat Lajnah Guaman dan Undang-undang PAS Terengganu, Dato’ Wan Mutalib Embong berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh DUN Alor Limbat disebuah restoran dekat sini semalam.

”Sepertimana apa yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Najib di Parlimen dua hari lepas,

”dia (Najib) kata, kita dah buat keputusan supaya hasil minyak yang dapat di perairan Kelantan itu di beri kepada rakyat Kelantan, tetapi cara dia kata, seperti mana kita beri kepada Terengganu iaitulah melalui wang ehsan,

”ini pengkhianatan dan jahat yang paling jahat!,”katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh DUN Alor Limbat disebuah restoran dekat sini semalam.

Menurutnya, Dato’ Seri Najib juga sehingga kini tidak mengotakan janjinya untuk memulangkan royalti minyak Terengganu, sewaktu berkempen dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Katanya pemberian royalti bukan hak peribadi Najib, namun soal pemberian royalti adalah undang-undang menurut Akta Pembangunan Petroleum 1973.

”Bukan soal bagi (beri royalti), bukan soal hak ’tok’ dia, bukannya hak ’bapak’ dia, ini undang-undang, dalam undang-undang Akta Pembangunan Petroleum 1973,”tegasnya.

Menurutnya, akta tersebut memperuntukkan setiap penyerahan hasil minyak kepada kerajaan pusat mestilah dibalas dengan pemberian royalti sebanyak 5% dan perkataan ’lima peratus’ itu ditulis dengan terang dan jelas.





GEMPAR: Sejadah Berdiri Ketika Usrah

Gombak - Fenomena sejadah berdiri berlaku ketika usrah Pemuda PAS Batu Caves malam tadi.

Kejadian tersebut menggemparkan seluruh ahli usrah berkenaan yang masing-masing sedang khusyuk mendengar pengisian usrah.

Kedudukan sejadah tersebut betul-betul menghadap kiblat di tempat usrah, yang dirahsiakan lokasinya bagi mengelakkan salah tanggap masyarakat.

Dua sejadah terbabit menyerupai kedudukan orang yang sedang duduk bersimpuh.

Ia disedari oleh salah seorang ahli usrah kira-kira jam 11 malam sewaktu usrah sedang berlangsung.

Beliau menyedari perkara itu berlaku kerana beliaulah yang mem”berdiri”kan sejadah berkenaan.

Kejadian ini memberi iktibar kepada seluruh ahli usrah tersebut dan juga seluruh ahli PAS agar hadir ke usrah kerana jika sejadah pun boleh menghadiri usrah, apatah lagi manusia terutama ahli-ahli PAS.

Presiden PAS arah guna IT lawan persepsi buruk

SHAH ALAM : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta PAS menggunakan IT sepenuhnya untuk melawan segala tohmahan sehingga melahirkan persepsi buruk terhadap PAS.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis perasmian sambutan 10 Tahun Jabatan IT PAS Pusat.

"Kita memang tersekat untuk masuk dalam semua rumah rakyat negara ini, tetapi saya yakin ICT boleh melakukannya," kata Abdul Hadi dalam ucapannya itu.

Untuk melaksanakannya, beliau meminta kajian, penyelidikan dan inovasi dibuat untuk membolehkan perkara ini dilaksanakan.

"Kita mesti mendahului lawan kita dalam hal ini walaupun kita kekurangan jentera, petugas dan sebagainya," kata beliau.

Dalam ucapannya itu juga, Abdul Hadi menyelar pihak-pihak yang menggunakan IT sekarang untuk menyebarkan maklumat salah sehingga menimbulkan fitnah.

"Kena ingat, fitnah ini besar dosanya," katanya.

Turut hadir dalam majlis sambutan ini adalah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Arahan Abdul Hadi ini diadakan sehari selepas seminar memperkasakan PAS yang banyak mendapat imput baru untuk memperkasakan parti Islam itu.

Saranan Abdul Hadi dilihat selaras dengan usaha Lajnah Penerangan PAS Pusat yang sedang berusaha menganjurkan Konvensyen Blogger PAS dalam masa terdekat.

Ianya mempunyai tujuan serupa iaitu membentuk kumpulan blogger PAS bagi menangkis fitnah di alam maya.

Selain itu ianya juga diharap mampu berdepan serangan 'cyber trooper' parti lawan.

Resolusi Seminar Memperkasakan PAS

Seminar Politik Memperkasakan Parti menyedari dan memahami bahawa:

1. PAS dan Pakatan telah melepasi ujian setahun setengah mengurus pemerintahan empat buah negeri dalam penggal parlimen ke-12 ini.

Baik-buruk, kejayaan-kegagalan negeri-negeri Pakatan ini telah mula mendapat perhatian umum. Pengiktirafan kejayaan telah pun diktiraf seperti Laporan Ketua Audit Negara 2008.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita13/seminar11.jpg2. PAS dan Pakatan mutakhir ini terperangkap dalam kemelut-kemelut yang merosakkan imej dan tanggapan umum terhadap kredibiliti dan kesepaduan Muafakat Politik ini. Benar media BN jahat memainkan isu-isu ini, tetapi PAS/Pakatan wajar menginsafi bahawa punca-sumber laporan-laporan tidak wajar kita salahkan pihak lain sebab kita juga bertanggungjawab.

3. PAS dan Pakatan sangat-sangat berhajatkan untuk terus memperbaikki "Persepsi" rakyat dan pengundi bahawa Muafakat Politik Pakatan adalah mantap dan matang, bersedia memikul tugasan menjadi Pemerintahan di peringkat Persekutuan bagi membawa Negara ini ke garis prestasi yang lebih berdayasaing, makmur dan sejahtera. Keutuhan dan kemantapan ukhuwwah dalam saff yang menjadi asset dan anasir kekuatan utama dalam jamaah dan parti telah sedikit terjejas dalam pergolakan mutakhir ini.

Seminar Politik Memperkasa Parti dengan ini merakamkan bahawa:

1. Peri-pentingnya PAS menyerlahkan keupayaan satu kepimpinan parti yang bijak, kompeten dan matang dalam mengurus perbedaan dalam parti dalam semangat musyawwarah memlalui mekanisme parti secara berkesan.

2. Pimpinan tertinggi parti wajar melaksanakan tugasan utama pimpinan sebagai 'ta alluf al-quluub' yakni mempertautkan ahli-ahli dalam saff yang kukuh.

3. PAS wajar mengingatkan kepada kepimpinan negeri yang memerintah kerajaan negeri, ahli-ahli EXCOnya yang menganggotai kerajaan negeri-negeri Pakatan yang lain supaya senantiasa memelihara semangat muafakat politik Pakatan dengan tidak melakukan sesuatu yang boleh dipersepsi sebagai menjejaskan dan memudharatkan keutuhan kerajaan negeri.

4. PAS wajar segera mempertegaskan kepada semua peringkat keahlian dari kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi bahawa telah dikunci (dengan ketat) segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda "Kerajaan Perpaduan".

Seminar Politik Memperkasakan Parti mengesyorkan pimpinan tertinggi parti untuk:

1. Terus memperkukuhkan Pakatan dan meningkatkan persiapan untuk mengahadapi PRU ke-13 dengan sentiasa proaktif dalam memudahkan Pakatan melaksanakan serta menguruskan urusan kerajaan-kerajaan Pakatan dengan penuh keikhlasaan serta semangat setiakawan yang tinggi.

2. Kepimpinan Kawasan yang memilikki penduduk-pengundi bukan-Islam yang ramai supaya bertindak dengan lebih agresif untuk mengaktifkan Kelab-kelab Penyokong PAS di kawasan masing-masing.

3. Memantapkan rumusan pendirian-pendirian parti berdasarkan maklumat dan penyelidikan (informasi), kemudian menurunkan dan menyalurkan kesemua ini dalam pengarahan yang jelas dan berkesan sehingga ke akar umbi keahlian parti di semua kawasan dan cawangan di seluruh negara.

4. Membuat pengarahan yang jelas kepada Dewan Pemuda dan Nisa’ dengan KPIsnya, supaya segmen pengundi muda yang sedikit terjejas terhadap PAS mutakhir ini, dikembalikan keyakinan dan sokongan mereka kepada PAS.
Juga dipertegaskan pentingnya untuk memugarkan kegiatan Unit ‘Amal dengan mempraktikkan modul yang telah sedia ada.

5. Membuat satu "Pelan Tindakan" bagi menghadapi PRU ke-13, bagi memperkukuhkan sokongan yang sedia ada di kalangan orang Islam-Melayu dan memuatkan satu ‘Roadshow Nasional’ bagi menerangkan tema “Pas For All” atau PAS untuk Semua” bagi melebarkan tapak sokongan merentasi semua agama, kaum dan budaya.

Resolusi Seminar Politik Memperkasakan Parti
7 November 2009, 19 Zulkaedah 1430H.

TG Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi jamin isu kerajaan perpaduan tidak dibangkit lagi

http://minda-kembara.com/v2008/wp-content/gallery/foto-galeri/tg-hj-hadi.jpg

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan isu kerajaan perpaduan tidak akan dibangkitkan lagi oleh pemimpin dan ahli parti itu.

Beliau berkata selepas Seminar Memperkasakan Parti anjuran parti itu hari ini berakhit, kesemua perwakilan yang hadir kekal dengan pendirian untuk tidak membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya akan memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Tak mungkin dibangkitkan lagi (isu kerajaan perpaduan), ia dah tutup... ini pendirian PAS, pendirian Pakatan Rakyat," katanya dalam sidang media di Markas Tarbiyah Pusat parti itu di Taman Melewar di sini hari ini.

Abdul Hadi menegaskan isu kerajaan perpaduan tidak timbul lagi dalam PAS.

Ditanya pandangannya sekiranya Umno masih berminat untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan PAS, beliau berkata parti itu akan bersama parti yang sudah lemah.

"Kita dah tutup, kita tak perlu bersama dengan bahtera yang sudah lemah.

"Kalau mereka masih berminat itu hanya nak tutup masalah dalaman sendiri," katanya.

SIDANG MEDIA TUAN GURU PRESIDEN




PAS teruskan komitmen kukuhkan Pakatan Rakyat

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita13/AZIZspot.jpgKUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa parti itu akan meneruskan komitmen mereka bagi memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam Pakatan Rakyat untuk memimpin rakyat ke arah perubahan.

"Ingin saya tegaskan untuk kesekian kalinya bagi kita terus bersama Pakatan Rakyat.

"Hubungan yang kita bina bersama Pakatan Rakyat ini adalah bertitik tolak dari asas persamaan iaitu semua pihak bersetuju untuk memerangi penyelewengan rasuah dan sebagainya," katanya dalam ucaptama sempena Seminar Memperkasakan Parti di sini, hari ini.

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, persefahaman yang wujud itu dilakukan tanpa mengorbankan dasar yang diperjuangkan PAS.

"PAS bergerak di atas sifatnya sebagai sebuah parti dakwah, hubungan yang terbentuk ini kuat tapi fleksibel.

"Bukan hubungan yang kuat, kukuh tapi tidak fleksibel atau rapuh. Strategi bersama ini berjaya menyekat BN (Barisan Nasional) sehingga kini mereka berhadapan dengan keretakan sebagaimana yang kita saksikan sekarang ini," katanya sebagaimana dilaporkan mStar Online

Tambah Abdul Hadi, PAS perlu memperkukuhkan kekuatan bagi memenangi undi di kalangan pengundi Islam namun dalam masa yang sama berusaha untuk meraih undi penyokong bukan Islam.

"PAS hendaklah membina dan memperkukuhkan lagi kekuatannya di atas asas pencapaian pengundi Islam yang menjadi tonggak sebenar perjuangan Islam.

"Tapi dalam masa yang sama hendaklah mendapatkan undi bukan Islam sebanyak mungkin kerana inilah pendekatan politik yang sebenarnya, asalkan kita mempelihara, akidah dan menjaga sempadan," katanya.

Menurut Abdul Hadi lagi, PAS perlu mengamalkan dasar keterbukaan dan seterusnya menjalinkan hubungan dengan semua pihak yang boleh membawa kepada kemenangan Islam.

Selain itu dalam ucapannya juga, Abdul Hadi menyeru kepada lebih 1,000 ahli yang menghadiri seminar hari ini supaya bersikap lebih matang dalam menerima setiap kritikan kepada PAS dengan hati terbuka.

"Apabila PAS mendapat perhatian umum, ramai peminat yang akan memberikan komen-komen.
"Ada yang manis, ada pahit, jadi kita kena menjadi parti yang matang menilai antara keritikan untuk kekuatan," katanya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .