| |
Laporan polis telah dibuat oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Terengganu, Fariz Musa pada jam 1.24 petang manakala laporan kepada pihak BPR dibuat oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah pada jam 3.00 petang. Kedua-dua laporan tersebut dibuat ekoran kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said semasa menjawab soalan lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu mendedahkan kegiatan pembalakan haram dan pencerobohan hutan simpan yang tidak dapat dikawal. Menurut Ahmad ada pegawai dari Jabatan Perhutan Negeri Terengganu yang terlibat dengan kes tersebut sehingga laporan yang dibuat oleh beliau sendiri tidak diambil tindakan. Kedua-dua laporan oleh AMK dan DPPNT meminta pihak polis dan BPR mengambil tindakan segera menyiasat Ahmad kerana menyembunyikan dan melindungi pegawai berkenaan kerana tidak mengambil tindakan walaupun pegawai tersebut gagal mengambil tindkan sewajarnya. Laporan yang dibuat berdasarkan berita yang dikeluarkan oleh akhbar Sinar Harian itu juga memohon pihak polis dan BPR menyiasat dan mendakwa ‘individu’ yang terlibat dengan pembalakan haram dan penebangan hutan simpan sebagaimana yang didakwa oleh Ahmad. |