Ikuti Blog ini

Jerit serah PM, pembangkang memorandum di Parlimen hari ini

KUALA LUMPUR: Hasrat kesemua 130 orang yang menyertai program Rakyat Pengayuh Perubahan anjuran kumpulan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) untuk masuk ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang tengah hari ini tidak kesampaian apabila hanya 12 daripada mereka yang dibenarkan masuk.

Bagaimanapun, kumpulan yang diketuai oleh Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D. Jeyakumar dan Ahli Parlimen Pokok Sena tidak dibenarkan berbasikal masuk ke Dewan Serbaguna di sini seperti yang dirancang, sebaliknya hanya dibenarkan berjalan kaki.

Mereka tiba di dewan tersebut pada jam 11.50 pagi dan disambut oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Lim Kit Siang (Ipoh Timur), Saifudin Nasution (Machang), Abdullah Sani (Kuala Langat), R. Sivarasa (Subang), Tian Chua (Batu) dan Salahuddin Ayub (Kubang Kerian).

Mereka kini sedang berkumpul di dewan itu sementara menunggu kedatangan wakil Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.

Sementara itu, kesemua basikal mereka kini telah dipunggah masuk ke dalam trak polis.

Berikutan rancangan kumpulan Jerit ini, pintu masuk Parlimen telah mula dikawal ketat sejak jam 7 pagi untuk tujuan keselamatan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis, Tan Sri Ismail Omar ketika dihubungi berkata, pihaknya akan bertindak jika berlaku "apa-apa perkara".

"Kita tengok dulu. Bagi kami peluang untuk bekerja," kata beliau yang enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, menurut jurucakap Bilik Gerakan, Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, Sarjan Othman Ahmad ketika dihubungi, kawalan trafik sempena program Jerit itu hanya dilakukan di pintu masuk ke Parlimen tanpa melibatkan jalan-jalan lain.

"Pemantauan hanya dilakukan di pintu masuk Parlimen yang berhampiran Jalan Mahameru manakala kawalan trafik di jalan-jalan lain adalah seperti biasa," katanya ketika dihubungi.

Kumpulan yang menyertai program Rakyat Pengayuh Perubahan anjuran Jerit ini telah menjadi tumpuan sejak sebulan lalu.

Difahamkan, ia adalah satu program yang dipimpin dan digerakkan oleh jawatankuasa pekerja dan masyarakat yang mahukan perubahan.

Ia bertujuan membawa mesej kesedaran tentang isu-isu semasa yang memberi tekanan kepada kehidupan rakyat dan membawa perubahan.

Semalam, seramai 120 peserta program itu telah menyerahkan satu memorandum mengandungi enam tuntutan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Ia sebahagian daripada rancangan kumpulan itu menyerahkan memorandum kepada kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sejak sebulan lalu.

Polis telah pun menahan 57 orang termasuk 28 remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun ditahan polis kerana progrma itu di sekitar Sungai Choh, Rawang, Isnin lalu.

Antara yang ditahan adalah ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nie daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr, D. Jeyakumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .