Ikuti Blog ini

Mat Sabu 'Tak Kisah' Jika Tidak Terpilih Sebagai Calon

ALOR STAR - Naib Presiden PAS Mohamed Sabu hari ini berkata beliau tidak kecewa jika tidak terpilih sekali lagi sebagai calon parti itu dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Katanya, apa yang lebih penting ialah calon yang bertanding pada pilihan raya kecil parlimen itu kelak adalah dari PAS.

"Nama calon belum umum lagi dan presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dah maklum calon PAS akan diumum pada 1 Januari ini dan kita tunggu la, tapi jika saya tak terpilih pun tak apa".

"Saya tak kisah kerana yang penting calon adalah dari PAS dan kita sokong siapa sahaja dari PAS", kata beliau kepada Bernama di sini.

Pilihan raya kecil parlimen itu diadakan pada 17 Januari depan ekoran penyandangnya Datuk Razali Ismail meninggal dunia pada 28 November lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, calon Barisan Nasional (BN) Razali, mengalahkan Mohamed yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu dengan majoriti 648 undi.

Nama Mat Sabu sebagai calon PAS disebut oleh Menteri Besar Kelantan yang juga penasihat Dewan Ulama PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mahu naib presiden PAS itu diberi peluang bertanding di kawasan parlimen yang sama.

Mohamed berkata, kenyataan Nik Aziz itu sebenarnya adalah pandangan peribadi beliau dan kuasa untuk memilih calon adalah diputuskan oleh mesyuarat yang dipengerusikan oleh presiden.

Semalam Abdul Hadi berkata, PAS telah mengenalpasti bakal calon dari parti itu yang merupakan seorang profesional dan disukai rakyat.

Katanya, bagaimanapun PAS akan mengumumkan nama calon itu pada 1 Januari depan iaitu lima hari sebelum hari penamaan calon.

Desas-desus mengatakan kenyataan Hadi seolah-olah merujuk kepada calon tempatan dan Mat Sabu bukan calon pilihan.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .