Ikuti Blog ini

PAS cabar SPR laksana dakwat kekal


KUALA LUMPUR, 24 Dis - PAS mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuktikan ketelusan SPR dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu Januari ini dengan melaksanakan penggunaan dakwat kekal.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar ketika dihubungi, berkata "inilah waktu yang tepat untuk kerajaan melaksanakan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu bagi membuktikan kononnya perjalanan pilihan raya di negara ini berjalan dengan adil dan bersih".

Tahun lalu, SPR bersetuju melaksanakan langkah tersebut dalam pilihanraya umum ke-12 tetapi kemudian membatalkannya empat hari menjelang hari pengundian atas alasan keselamatan.

Beliau menyifatkan tindakan SPR membatalkan cadangan menggunakan tanda dakwat kekal di kuku atau jari tangan pengundi pada pilihan raya umum Mac lepas mempunyai kaitan yang tidak terpisah dengan 'pengundi hantu'.

Kira-kira RM2.9 juta dibelanjakan untuk membeli 48,000 botol dakwat tidak mudah padam dari India tetapi penggunaannya dibatalkan kerana bimbang wujud unsur sabotaj seperti yang telah dikesan oleh polis.

"Tidak ada salahnya SPR menggunakan dakwat kekal dalam proses mengundi, memandangkan dakwat tersebut telah pun dibeli sewaktu pilihan raya ke 12 yang lepas," tambah beliau.

Mahfuz menyifatkan semua cakap-cakap mengenai penyeludupan dakwat kekal dari negara jiran itu adalah siri-siri pembohongan yang sengaja direka dan dirancang untuk menipu rakyat.

"Alasan untuk membatalkan penggunaan dakwat "tidak masuk akal" kerana prosedur pembelian dakwat itu amat ketat,

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menunjukkan dengan jelas ia memang tidak mahu menggunakan tanda dakwat itu kerana takut kepada pilihan raya yang adil dan bersih," katanya ketika dihubungi.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .