Ikuti Blog ini

NAJIB KATA TIDAK, SPR KATA ADA?

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menafikan dakwaan PAS bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersekongkol untuk menyediakan 'pengundi hantu' menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Beliau sekeras-kerasnya menolak dakwaan PAS yang dibuat pagi ini.

"Tiada pengundi hantu", kata beliau selepas merasmikan Seminar kesedaran Alam Sekitar di sini hari ini.

Kata beliau, pembangkang tidak pernah mengatakan tentang kewujudan pengundi hantu jika mereka memenangi mana-mana pilihan raya.

Ketika ditanya tentang dakwaan PAS bahawa Pejabat Pendaftaran Negara Terengganu dibuka sehingga 10 malam, Najib berkata: "tidak, tidak, tidak." [sumber asal]

Manakala [Bernama] pula melaporkan :

SPR Dan JPN Lanjut Waktu Operasi Untuk Kuala Terengganu

Tempoh operasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dilanjutkan sehingga ke sebelah malam sejak 21 Disember lepas untuk memudahkan pengundi bagi pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu menyemak maklumat mengenai daftar pemilih serta tempat mengundi.

Pengarah Pilihan Raya Terengganu Mohd Noor Daud berkata operasi biasa SPR dari 8 pagi sehingga 5 petang dilanjutkan sehingga ke pukul 12 tengah malam bagi tujuan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi di kawasan itu.

Beliau berkata SPR menerima lebih 200 panggilan dari pengundi kawasan itu yang ingin menyemak status pendaftaran pemilih mereka sejak tempoh operasinya dilanjutkan.

Sementara itu, jurucakap JPN Terengganu pula berkata pihaknya melanjutkan operasi sehingga ke pukul 10 malam bagi memudahkan SPR membuat semakan terhadap daftar pemilih.

"Kami masih beroperasi seperti biasa iaitu dari 8 pagi hingga 5 petang. Pukul 5 petang hingga 10 malam itu untuk kami 'standby' bagi memudahkan SPR menyemak daftar pemilih seseorang selepas menerima panggilan pengundi yang ingin menyemaknya," katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat keraguan mengenai daftar pemilih, SPR akan meminta JPN menyemak dari segi tarikh lahir, nama, alamat dan nombor kad pengenalan individu tersebut secara online.

Mengenai dakwaan bahawa jabatan itu akan mengeluarkan Mykad sementara menggunakan nama orang yang sudah meninggal dunia untuk pilihan raya kecil itu, katanya jabatan itu tidak mengeluarkan sebarang pengenalan diri dengan sewenang-wenangnya.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali dalam satu persidangan media sebelum ini mendakwa SPR dan JPN bersekongkol untuk mewujudkan pengundi hantu dengan menggunakan nama mereka yang sudah meninggal dunia pada hari pengundian nanti.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .