Ikuti Blog ini

Bukit Gantang : TG Nik Aziz lancar jentera pilihanraya

YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat, telah melancarkan gerak kerja bagi Jentera Pilihan Raya PAS Kelantan bertempat di Pejabat Majlis Tindakan Dun Kuala Sepetang Parliman Bukit Gantang pada 8 Mac lalu.

Kuala Sepetang adalah salah satu Dun yang dipertanggungjawabkan kepada PAS Kelantan untuk berperanan dalam PRK Bukit Gantang kali ini.

Lebih 1000 orang petugas dan warga tempatan hadir ke majlis tersebut yang bermula pada jam 5 petang dan berakhir pada jam 6.45 petang.

Majlis ini di meriahkan lagi dengan kehadiran kaum India dan Cina yang begitu bersemangat untuk menyokong PAS. Mereka berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat nanti.

Tok Guru dalam ucapannya menyentuh soal isu hak istimewa bumiputera yang tidak bertepatan dengan hakikat sebenar apa yang berlaku di kalangan rakyat di bawah. Bagi beliau, bukan bumiputera sahaja yang susah dan hidup melarat akan tetapi kaum-kaum lainpun terlibat sama.

Jadi tambah beliau, hak istimewa bumiputera tidak akan menyelesaikan masalah kemiskinan kalaulah kaum-kaum lain juga turut terpinggir dalam pelaksanaan program tersebut.

Beliau juga turut menyarankan supaya hak istimewa bumiputera diubah kepada hak istimewa orang-orang miskin kerana merekalah yang berhak mendapat keistimewaan itu bukannya pemimpin-pemimpin Melayu yang sudah kaya raya.

Turut berucap dalam majlis tersebut ialah Haji Abdul Fatah Haron, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Dato Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Ketua Penyelaras Pasukan Pembantu Kelantan, Ustaz Misbahul Munir Masduki wakil Ketua Pengarah Operasi PRK Bukit Gantang dan Ustaz Nordin Jaafar, Yang DiPertua Pas Bukit Gantang.

Jentera Pilihan Raya PAS Kelantan telah mula menempatkan petugasnya bermula 1 mac lagi. Petugas-petugas ini telah dijadulkan kerja-kerja mereka sehinggalah kepada hari pembuangan undi pada 7 mac nanti.

Sambutan kehadiran para petugas PAS Kelantan cukup menggalakkan dan mendapat kerjasama sepenuhnya dari penduduk kampung.

Menurut Abdul Fatah, beberapa siri gerak gempur akan diadakan sehinggalah kepada hari penamaan calon.

Di samping itu juga tambah beliau, beberapa siri pertemuan dengan ahli-ahli Umno yang tidak berpuashati dengan cara pemimpin mereka menangani masalah dalaman Umno dan negeri juga sedang dipergiatkan.

Beliau juga turut merasa terharu di atas sambutan orang-orang bukan Islam terhadap gerak kerja yang dilakukan secara bersama dengan mereka.

“Mereka bersungguh-sungguh mahukan Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PAS menang besar dalam PRK ini” tambah beliau lagi.

Setakat ini, Umno masih “sejuk” mungkin menunggu siapa calon mereka. Difahamkan pemilihan calon menimbulkan masalah kepada BN kerana ada dua kumpulan yang berpengaruh sedang melobi iaitu kumpulan Timbalan Ketua Bahagian dan kumpulan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian yang kalah semasa mencabar Ketua Bahagian dalam pemilihan yang lalu.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .