
Majlis makan malam di Kampung Baru Kuala Sepetang - sebuah perkampungan nelayan di DUN Kuala Sepetang di parlimen Bukit Gantang - kini menjadi bahan perbualan.
Majlis tersebut diserikan dengan konsert tiga gadis manis berimej seksi selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dan calon BN selesai menyampai ucapan meminta hadirin menyokong BN dalam pilihanraya kecil parlimen itu.
Tiga artis Cina berseluar pendek dan singlet biru itu menari dan menyanyi lagu rancak sewaktu Zahid sedang mengadakan sidang media di depan pentas tersebut.

Dalam sidang akhbar, beliau ditanya mengenai keberkesanan pendekatan nyanyian dan tarian bagi menarik pengundi Cina.
Beliau, yang juga ahli parlimen Bagan Datoh, menegaskan bahawa ia "harus dihormati kerana ia sebahagian daripada budaya Cina."

"Di kawasan saya ada 20 peratus pengundi Cina, saya juga pergi ke tokong Cina dan menghadiri majlis pengkebumian orang Cina.
"Saya tahu bagaimana hendak menghormati keluarga orang Cina dan orang mudanya," tegas Zahid, yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Perak.