Ikuti Blog ini

Kes Altantuya: Tulisan RPK gambarkan Nasir Safar terbabit?



KUALA LUMPUR, 6 Feb: Belum pun reda isu Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar menggelarkan imigran awal berbangsa Cina dan India di Malaya sebagai ‘pelacur’ dan ‘pengemis’ beberapa hari lalu, pengendali blog Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK) semalam seolah-olah mendakwa Nasir terbabit dalam kes pembunuhan gadis Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Ya, lelaki di dalam Proton Saga biru itu adalah Nasir Safar. Namun pihak polis yang mengambil keterangan Bala menafikannya dan mengatakan bahawa lelaki berkenaan adalah penduduk kawasan itu dan bukannya Nasir Safar.

"Bagaimanakah polis tahu akan perkara ini tanpa melakukan siasatan lanjut dan tanpa mengambil keterangan daripada Nasir Safar?" dipetik dari tulisan RPK yang berjudul Nasir Safar, si 'Lelaki Misteri' pada hari Altantuya meninggal dunia.

Dakwaan RPK itu merujuk pada Perkara 30 dari teks Akuan Bersumpah oleh Balasubramaniam a/l Perumal iaitu Penyiasat Peribadi bagi kes pembunuhan mendiang Altantuya.

"Azilah bertanya kepada saya adakah wanita itu Aminah dan saya menjawab, 'Ya'. Dia kemudiannya beredar dan membuat beberapa panggilan dengan menggunakan telefon bimbitnya. Sepuluh minit kemudian, sebuah Proton Saga biru yang dipandu oleh seorang lelaki Melayu melalui kawasan itu dengan perlahan-lahan. Tingkap bahagian pemandu terbuka dan pemandu itu memandang ke arah kami," dipetik dari blog RPK.

Sehubungan itu, RPK turut mempersoalkan keterlibatan bekas Pegawai Khas bagi Datuk Seri Najib Tun Razak di tempat mendiang Altantuya Shaariibuu diletupkan dengan menggunakan C4.

Pendedahan tersebut, menurut dakwaan RPK sekaligus menjawab dakwaannya sebelum ini; salah seorang daripada dua bekas pembantu peribadi atau aide-de-camp (ADC) kepada Najib, iaitu Musa Safri terbabit membunuh Altantuya.

"Dengan pendedahan ini, maka dua daripada kakitangan Najib terlibat dalam pembunuhan Altantuya, yang mana seorang lagi adalah ADC-nya, Musa Safri yang tidak tidak pernah dipanggil untuk memberikan keterangan semasa perbicaraan pembunuhan Altantuya," dipetik dari tulisan RPK.

Menurut dakwaan RPK lagi, pendedahan tersebut juga sekaligus menjawab dakwaannya sebelum ini berhubung posisi sebenar ADC kepada isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansur; iaitu Norhayati Hassan.

"Anda masih ingat pada Norhayati Hassan, iaitu ADC Rosmah? Bukankah dia dan suaminya, Abdul Aziz Buyong juga terlibat dalam pembunuhan itu? Pegawai senior mereka dalam angkatan tentera mengesahkan bahawa dia telah melatih pasangan suami isteri itu tentang cara mengendalikan C4. Adakah itu suatu kebetulan, bukti berdasarkan keadaan (circumstantial), ataupun mungkin hanya pembohongan yang diuar-uarkan oleh RPK dan Malaysia Today?" soal RPK.

Dalam tulisan RPK, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tujuan Nasir memandu kereta perlahan-lahan di tempat kejadian sekadar mahu memastikan Altantuyaa ditangkap sahaja.

"Mula-mula sekali, nama ADC Najib, Musa Safri muncul. Selepas tu, timbul pula nama ADC Rosmah, Norhayati Hassan dan suaminya, Abdul Aziz Buyong. Nah, sekarang pula, nama Nasir Safar pula disebut-sebut sebagai orang yang memandu kereta secara perlahan-lahan di depan rumah Razak Baginda. Mungkin dia nak pastikan bahawa Altantuya, ‘si pengacau’ tu, ditangkap," jelas.

Bagaimana pun, dilaporkan Nasir sehingga hari ini tidak dipanggil untuk membantu siasatan dan mengenal pasti pembunuh sebenar mendiang Altantuya Shaariibuu.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .