|     KUALA LUMPUR, 24 Sept:  Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri   Muihamad Nizar Jamaludin  mendakwa Tun Dr Mahathir dikuasai otak   perkauman manakala Nuzul Izzah  Anwar pula mencabarnya  berdebat ekoran  dakwaan beliau Melayu akan  hilang kuasa jika Pakatan Rakyat  memerintah.
  "Oleh itu, dengan  matlamat untuk bertukar pendapat, demi mewujudkan 'Malaysia Yang Lebih  Baik Untuk Semua Rakyat', saya dengan rendah hati membuat tawaran untuk  berdebat dengan Tun Dr Mahathir supaya 'kebimbangan' Melayu - yang  pastinya tidak melibatkan keseluruhan masyarakat - yang disebut itu  dapat dijelaskan, sama ada kerana Takut Melayu Hilang Kuasa atau Hilang  Harta?" kata Nurul Izzah dalam satu kenyataannya.
  Bagi bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin (gambar), kenyataan Mahathir itu satu kenyataan bersifat perkauman.
  Beliau memberi jaminan, yang akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat menang adalah Umno bukannya Melayu.
  "Umno  pasti hilang kuasa dan suara jika PR memerintah negeri-negeri dan  pusat. Tun Mahathir kata Melayu hilang kuasa dan suara. Ini kenyataan  rasis dan hasutan," kata beliau dalam twitternya.
  Media hari ini  menyiarkan kenyataan Mahathir yang mendakwa kuasa politik Melayu akan  hilang sekiranya Pakatan Rakyat yang digelarnya parti pembangkang  mendapat kuasa sebagai di Perak sebelum dirampas oleh Barisan Nasional.
  Beliau mendakwa, walaupun menteri besarnya Melayu dari PAS iaitu Muhamad Nizar tetapi kerajaan itu dikuasai oleh DAP.
  Nizar berkata, kenyataan sebegini adalah jelas dari otak perkauman Mahathir.
  "PAS bertindak secara Islam untuk mendapatkan dari Umno yang perkauman untuk menyelematkan Malaysia," kata Nizar.
  Bagi  Nurul Izzah pula,  kenyataan Mahathir itu tidak bertanggungjawab dan  merupakan sebahagian usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara.
  Selain  penggunaan isu perkauman, Umno juga memakai satu-satunya pendekatan  yang mereka mahir, iaitu 'Politik Ketakutan'. 'Politik ketakutan'  menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai alat untuk  penipuan yang penuh terdesak, katanya.
   Menurut Nurul Izzah (gambar),  masyarakat Melayu diindoktrinasi melalui pelbagai cara termasuk  penggunaan NGO untuk berlakon sebagai mangsa dengan tujuan untuk  mengeliru dan membantutkan seluruh anggota masyarakat supaya kekal  terpasung fikirannya dan emosinya baik oleh kerajaan penjajah dan kini  melalui penggantinya, Umno.
  Beliau dipercayai merujuk kepada  Pergerakan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim  Ali yang mana Mahathir adalah penasihatnya.
  "Matlamat ini tidak  lain dan tidak bukan untuk mengekalkan dominasi politik oleh sekelompok  kecil elit Melayu yang rapat dengan pusat kuasa, melalui rasuah, salah  guna kuasa dan secara berterusan mengabaikan perlembagaan.
  "Malang  sekali kerana tindakan mereka ini dibantu oleh MCA, MIC, Gerakan dan  parti komponen BN lain yang terus membisu dan membuang tanggungjawab  yang sepatutnya digalas.
  "Kita perlu melawan usaha-usaha ini  dengan menekankan 'Politik Berlandaskan Harapan dan Kebebasan' yang akan  mengubah Minda Melayu daripada kebimbangan palsu tentang kehilangan  identiti dan pembangunan ekonomi kepada daya positif yang akhirnya  mencipta masyarakat yang penuh keyakinan dan tidak lagi terkongkong,"  kata beliau dalam kenyataannya. -Hrkh
 
  |