Isteri saudagar permata dari Chennai, India, mendiang Allal Kathan Muthu Raja, 34, akan menyerahkan bukti perbualan telefon antaranya dengan suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, selain seorang lelaki yang mendakwa pegawai polis kepada Bukit Aman, hari ini.
Rakaman perbualan telefon antara S Usharani, 24, dengan suspek dan lelaki misteri yang mendakwa dirinya polis berpangkat Asisten Superintendan yang meminta RM1 juta bagi pembebasan suaminya dibuat pada 28 Januari dan 23 Februari lalu.
Usharani ketika ditemui di pejabat Ahli Parlimen Kapar, S Manikawasagan mendakwa, perbualannya dengan suspek berlaku kira-kira dua minit sebelum panggilan terputus.
“Saya akan serahkan esok kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman. Sehingga ini, saya tidak percaya suami saya sudah mati, walaupun polis sudah sahkan,” katanya.
Pada sidang media itu, dia memperdengarkan perbualan kira-kira dua minit antaranya dengan suspek utama serta perbualan dengan seorang lelaki yang mendakwa polis yang meminta wang untuk penyelesaian kerana suaminya ditahan di balai polis atas kesalahan dadah.
Usharani mendakwa, selepas kehilangan suaminya pada Januari lalu, dia cuba menghubungi peguam dan ahli keluarganya tapi gagal, selain nombor telefon dimatikan.
“Selepas bercakap dengannya, dia mendakwa tidak pernah berjumpa dengan suami saya dan tak tahu dia di mana.
“Saya keliru dengan apa yang diberitahunya kerana pada kira-kira jam 10 malam, 18 Januari lalu, sejurus suami tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dia mengatakan dijemput lelaki itu dan adiknya serta menuju ke Banting.
“Tapi pada keesokannya, saya cuba menghubunginya tetapi gagal sebelum membuat pengaduan di Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia,” katanya menambah turut meminta bantuan daripada Interpol berhubung kehilangan suaminya.
Beliau bersama beberapa peguam sekali lagi ke Banting meninjau kawasan itu sebelum pulang ke India, Ahad ini.
Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, kehilangan Allal Kathan Muthu Raja disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan bukan sebagai kes orang hilang.
Menurutnya, polis percaya lelaki itu menjadi mangsa pembunuhan yang kemungkinan dilakukan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya.
“Berdasarkan pengakuan isteri mangsa, saya mengesahkan mangsa dibunuh. Ia hasil daripada petunjuk dan keterangan dikumpul,” katanya.
Allal Kathan Muthu Raja mempunyai perniagaan hartanah, restoran, kewangan dan barang kemas dipercayai menjalinkan hubungan perniagaan dengan suspek serta adiknya sejak 10 tahun lalu dan suspek beberapa kali menemui mangsa di India.-GB