Ikuti Blog ini

Tayangan Video Seks - Apa Kata TG Nik Aziz?

Kota Bharu - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perbuatan menayangkan rakaman video seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin pembangkang bersama seorang pelacur warga China di sebuah hotel kepada pihak media sebagai perbuatan tidak bermoral.

Mursyidul Am Pas itu berkata, lebih memalukan apabila perbuatan itu didalangi tiga 'individu bergelar' dan pernah menjadi pemimpin sebuah kerajaan negeri.

Katanya, beliau berasa amat malu untuk membaca berita mengenai pendedahan skandal terbabit ­kerana ia dilaporkan oleh ­semua media massa di negara ini.

“Saya berasa malu, berasa seolah-olah berada di negara lain. Saya tak tahu kenapa pemimpin yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam menjadi individu yang tidak bermoral.

“Kita orang Melayu sudahlah duit tak ada, ilmu tak ada, moral pula hancur. Mana lagi bahagian yang bangsa lain boleh tertarik dengan kita?" katanya kepada pemberita selepas ­menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Nik Aziz berkata, pemimpin atau tokoh yang mempunyai gelaran sepatutnya menunjukkan tauladan yang baik, bukan mempamerkan keaiban orang lain.

“Mereka ini diberikan gelaran sedemikian rupa dengan harapan boleh membimbing rakyat, tapi apa yang berlaku adalah ­sebaliknya.

“Kalau pemimpin sanggup buat macam ini, rakyat apa lagi. Seks ini benda yang aib tetapi tiba-tiba ia dipertontonkan kepada umum, macam tak ada ­agama,”
katanya.

Isnin lalu, rakaman video aksi seks yang dikatakan membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri ­Anwar Ibrahim dipertontonkan kepada editor kanan dan wartawan di Carcosa Seri Negara.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim ­Tamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim (kumpulan Datuk T) mengakui terlibat dalam pendedahan video terbabit.



Mustahil Anwar terlibat

KUALA TERENGGANU – “Mustahil Anwar terlibat video salah laku seks memandangkan saya bersama beliau pada petang hari kejadian,” demikian kata Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Dungun, Abd Rahman Yusof.

Beliau berkata demi-kian ketika mempersoalkan video salah laku seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Abd Rahman menganggap isu yang kononnya dibongkar satu kumpulan diketuai Datuk ‘T’ itu hanyalah fitnah sambil menyifatkannya melampau dan melebihi had.

Pada 21 Februari lalu, saya ada di rumah Anwar kerana terlibat dengan mesyuarat staf bagi tujuan pengurusan program pada bulan itu dan Mac ini. Jadi bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku, sedangkan kami bersama,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Seorang individu menggelari dirinya Datuk ‘T’ mendedahkan kepada media didakwa rakaman video salah laku seks pemimpin tertinggi PKR di hotel.

Rakaman berdurasi 21 minit itu menunjukkan individu terbabit mengadakan hubungan seks dengan pelacur asing, dirakam pada 21 Februari lalu.

Abd Rahman turut khuatir sekiranya semakin ramai orang Islam di negara ini ‘difasikkan’ berikutan fitnah yang dilempar terhadap Anwar.

Beliau turut difahamkan bahawa video itu hanya merakam individu dikatakan Anwar dari pandangan tepi, selain bentuk badan tidak menunjukkan bahawa ia adalah Anwar.

“Saya bimbang orang ramai yang percaya dan menyebarkan perkara sedemikian boleh termasuk golongan fasik,” katanya. -SH
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .