Gambar-gambar dan rakaman-rakaman yang kami terima menunjukkan kegiatan-kegiatan harian para pengutip sampah yang bergantung hidup pada pusat kitar semula di tempat letak kereta Borneo Development Corporation (BDC) milik beliau!
Kegiatan-kegiatan seperti itu dapat kita tontoni setiap hari yang hanya 150 meter jaraknya dari pejabat setiausaha politiknya, Abdul Karim Hamza, yang juga menikmati pekerjaan sebagai Pengerusi BDC itu.
Semasa Taib Mahmud yang telah menggunakan perhimpunan BN-nya (yang diadakan di bangunan baru Borneo Convention Centre Kuching, yang telah beliau biaya, bina dan uruskan secara korup) untuk membidas “para pembohong dan pengecut”, yang telah dengan berani mengkritik berulang-kali akan dasar-dasar ‘kemajuan dan pembangunannya’, Sarawak Report juga berpeluang memperolehi rakaman-rakaman petikan temubual dan juga gambar-gambar.
Sarawak adalah negeri yang terkaya di Malaysia dengan kependudukannya yang rendah. Berbilion-bilion ringgit telah diperolehi dari hutan dan sumber minyak dan kesemua kekayaan ini telah dicerminkan di dalam rumah-rumah mewah milik keluarga Taib dan juga rakan-rakan niaga mereka. Namun, adalah jelas perkongsian kekayaan ini dengan rakyatnya bukanlah sebahagian dari dasar ‘kemajuan dan pembangunan’, di mana Taib secara lantangnya enggan memohon maaf.
Kami mendapati kebanyakan pengutip sampah ini, yang menunggu kehadiran pemandu-pemandu kenderaan yang akan datang untuk menghantar sampah mereka untuk dikitarkan semula di kemudahan berkenaan, datangnya dari Skim Penempatan Semula Stampin – yang mana mereka pernah dijanjikan masa depan yang cerah oleh BN, tetapi seperti kebiasaannya, janji-janji itu tidak pernah (dan tidak akan) menjadi kenyataan.
Di kawasan Skim Penempatan Semula itu sebuah plot tanah yang kecil berharga RM10,000 dan jika seseorang penduduk tidak dapat membayar balik harganya, maka dia tidak akan diberikan geran ke atas tanah itu, walaupun dia juga terpaksa mencari sumber lain untuk membina sebuah rumah.
Kawasan berpaya berkenaan perlu ditambak tanah agar ianya menjadi sesuai untuk membina rumah, dan ini memerlukan RM8,000 lagi, yang membuatkan proses mendiami penempatan semula lebih sukar untuk dicapai. Kebanyakan penduduk ini adalah bergaji rendah, atau langsung tanpa gaji dan berharapan tipis untuk melangsaikan bayaran balik.
Semasa Ketua Menteri meneruskan lebih banyak pemusnahan ke atas negeri ini untuk projek perindustrian meganya di bawah program ‘pembangunan’ SCORE, seramai setengah juta orang tempatan mengalami ancaman ditempatkan semula, dan mereka sepatutnya menilai laporan ini yang dibentangkan di sini.
Very important person?Memanglah masalah ini nampak kecil, remeh dan kurang penting, yang telah membelengu ribuan orang tempatan yang telah ditempatkan semula untuk memberi ruang kepada ‘pembangunan’, tetapi Taib Mahmud tetap tidak mempedulikan itu semua, dan beliau terus kelihatan gah ketika tiba di pusat perhimpunan BCCK itu dengan kereta mewahnya, Rolls Royce.
Tambahan pula anak beliau, Rahman Taib, seorang ahli politik, yang pernah diwar-war untuk menjadi pengganti beliau, tidak dapat menghadirkan diri ke perhimpunan itu kerana diketahui sibuk bermain luncur salji (seperti yang diposnya di dalam laman sosial Facebooknya).
Namun Sarawak Report merasakan mereka harus melaporkan kisah-kisah kesengsaraan hidup para pengutip sampah, lebih-lebih lagi sepanjang minggu sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa ini.
Semua orang terlibat – kaum wanita juga tak ketinggalan berhempas-pulas untuk menyara hidup
Kami merasakan siasatan perlu kami jalankan ke atas para pengutip sampah, khasnya kaum wanita yang duduk sepanjang hari menunggu di tempat kitar semula di sekitar Kuching.
Nuratiqah binti Abdullah menceritakan kepada kami bahawa beliau yang berusia 34 tahun dan mempunyai tiga orang anak berusia 8, 9 dan 15 tahun. Keluarganya menduduki kawasan penempatan semula itu tetapi tanpa lesen menduduki sementara (TOL). Lantaran itu dia tidak mendapat akses kepada keperluan asas seperti bekalan elektrik dan air. Pada waktu malam pula, rumahnya hanya diterangi sebutir mentol yang dijana menggunakan bateri kenderaan.
Sebahagian rumahnya telah rosak akibat kebakaran 3 minggu lalu. Pakaian seragam sekolah anak-anaknya habis terbakar. Suaminya tiada pekerjaan dan kadang-kala menyertainya ti tempat kitar semula sampah. Bapa mertuanya yang uzur tinggal bersama mereka. Dia menerima bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap bulan.
Nanong binti Sidek berusia 37 tahun. Dia sekeluarga menduduki kawasan penempatan semula berkenaan. Tanggungannya adalah seorang anak lelaki 12 tahun dan seorang anak perempuan 9 tahun, yang telah melayakkannya menerima bantuan kebajikan untuk anak-anak sebanyak RM200 sebulan. Suaminya telah menceraikannya 4 tahun lalu.
Tiga sekeluarga ini tinggal bersama bapanya, yang mengidap penyakit kencing manis dan masalah jantung. Pada mulanya Nanong bekerja sebagai pelayan di kedai kopi, tetapi dia terpaksa berhenti kerana tidak tahan dengan tengkingan majikannya. Dia telah mengutip sampah sejak 2008.
Kiat anak Resat berusia 69 tahun. Dia juga menduduki Kampung Stutong Baru yang merupakan sebahagian dari Skim Penempatan Semula Stampin itu. Skim penempatan itu mempunyai 1154 buah lot tanah kesemuanya. Pada mulanya Kiat bekerja di tapak-tapak binaan selama 6 tahun, tetapi sejak 4 tahun kebelakangan ini dia beralih kepada kerja mengutip sampah.
Suaminya bergerak menggunakan kerusi roda setelah diserang strok, di mana mereka sekeluarga menerima hanya RM60 sebulan selama 2 tahun sehingga dihentikan. Kiat mempunyai 5 orang anak dewasa; 3 anak lelakinya tiada pekerjaan yang tetap (salah seorang dari mereka adalah kaki botol), 2 orang anak perempuannya telahpun berumahtangga dan bekeluarga dan mampu menghulurkan bantuan yang kecil sahaja.
Berhampiran dengan pusat kitar semula berkenaan terdapat salah sebuah kawasan perumahan mewah di Kuching. Apartmen Village Grove milik Abu Bekir. Bekir adalah salah seorang anak Taib yang tinggal hanyalah 300 meter jauhnya dari situ, dan setiap hari Bekir akan melalui para pengutip sampah itu.
Kekayaan Abu Bekir yang mengkagumkan bukan sesuatu yang datang dari hasil usahanya dan titik peluh sendiri, kerana kekayaan itu datangnya dari pemberian secara tertutup kontrak-kontrak dan konsesi-konsesi daripada bapanya.
Namun Taib jelas diketahui tidak berminat untuk bermurah-hati kepada kaum ibu dan wanita-wanita yang melalui hidup susah dalam skim penempatan semulanya itu. Mereka dikehendaki membayar sejumlah wang yang di luar kemampuan mereka bagi membolehkan mereka menduduki skim tersebut yang diiklankan oleh BN sebagai peluang yang baik untuk golongan yang miskin.
Betty anak Gelangyan berusia 22 tahun dan merupakan ‘ahli’ baru dalam kumpulan berkenaan. Dia juga datang dari Kampung Stutong Baru. Ibunya berusia 43 tahun sudah tidak mampu mencari nafkah kerana mengidap sawan, yang mana telah melayakkan keluarga itu menerima bantuan kebajikan sebanyak RM70 sebulan selama 2 tahun tetapi kini telah dihentikan.
Betty bekerja di sebuah kedai kopi dengan gaji RM400 sebulan untuk menyara keluarganya dan membiayai persekolahan adiknya yang berusia 19 tahun. Sebagai menambah pendapatannya Betty mengutip sampah di pusat kitar semula itu.
Menurut suatu sumber yang memberitahu kami, golongan wanita juga menukarkan barang-barang yang mereka kutip dengan bahan makanan seperti beras dari kawasan-kawasan berdekatan, atau dengan kedai-kedai runcit, walaupun ada juga barang-barang yang mereka kutip itu mereka simpan.
Kebanyakan dari mereka ini datang ke pusat kitaran semula BDC menggunakan bas, jaraknya sejaug 5 km dari Kampung Stutong Baru. Kami percaya, ini bukanlah ‘kemajuan dan pembangunan’ seperti yang dikatakan oleh Taib semasa beliau berucap semasa melancarkan ‘penentangan sehabis-habisan’ terhadap pihak pembangkang. Golongan pengutip sampah ini tetap mengharapkan pembahagian kekayaan sama-rata di seluruh Sarawak.
Hipni bin Bahdi, berusia 35 tahun, datang dari Kampung Tabuan Hilir. Dia mempunyai 4 orang anak; 12 tahun, 6 tahun, 4 tahun dan yang bongsu, 3 tahun. Anaknya yang ketiga mengalami terencat akal. Akibat masalah berkenaan anak malang berusia 6 tahun itu meninggal dunia pada bulan April tahun lalu.
Hipni menerima bantuan kebajikan sebanyak RM300 sebulan sebagai elaun anak-anaknya. Selain isterinya (34 tahun), Hipni juga menyara ibunya yang berusia 64 tahun dan saudaranya yang berusia 28 tahun yang mengidap penyakit jantung berlubang. Di sebelah malamnya Hipni menjual satay dengan pendapatan sekitar RM25 semalam. Selain mengutip sampah di pusat kitar semula di BDC Stampin, dia juga mengutip sampah di pusat-pusat kitar semula di 3 buah tempat yang lain kerana dia boelh menggunakan motosikalnya; Kenyalang, Tabuan Laru dan Batu 3.
Orang-orang yang kami laporkan di atas merupakan sebahagian kecil rakyat Sarawak yang tersisih dari 30 tahun arus ‘kemajuan dan pembangunan’ yang sering dilaung-laungkan oleh BN. Di Sarawak kini ada lebih kurang 10,000 penduduk setinggan dan ramai lagi yang menduduki skim-skim penempatan semula yang hilang tanah pusaka mereka bagi memberi laluan kepada ‘kemajuan dan pembangunan’. Hampir kesemua mereka kini merasakan bahawa hidup di kawasan penempatan semula amatlah tinggi kosnya dan sukar dan kerajaan pula menuntut perbelanjaan yang besar, tanpa menjanjikan pekerjaan untuk mereka bagi membiayai kehidupan di penempatan baru mereka itu.
Beginilah ertinya demokrasi!
Jika Taib sekali lagi dibenarkan kembali berkuasa dan mula melaksanakan SCORE, maka berpuluh-puluh ribu orang Sarawak akan berhadapan dengan nasib malang yang sedang dialami oleh golongan setinggan dan penduduk skim penempatan semula seperti yang kami laporkan di atas. Namun, kerana BN gagal mendaftarkan sepertiga dari orang-orang ini di kawasan-kawasan yang dimaksudkan itu, maka orang-orang tersebut tidak berpeluang mengundi! !
Dalam salah satu intipati ucapannya Taib telah mengajuk kata hikmat demokrasi yang dipelopori oleh Abraham Lincoln, “Kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat”. Sebenarnya, setiap orang Sarawak kini sedar, Sarawak diperintah oleh keluarga Taib dan untuk keluarga Taib dan orang lain tidak akan berpeluang bersama-sama mereka!
Petikan sarawakreport.org