Judin teraniaya: Rekod hitam 120 tahun JKR
PAS menuntut Kementerian Kerja Raya memberikan alasan munasabah kepada umum berhubung perpindahan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Seri Ir Dr Judin Abd Karim, ke satu jawatan yang lebih rendah, baru-baru ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata penjelasan itu diperlukan memandangkan rekod perkhidmatan Judin dikatakan bersih, amanah dan bertanggungjawab selama menjalankan tugas beliau di JKR.
Beliau yang melahirkan rasa kesal dengan perpindahan tersebut, berkata kementerian sewajarnya berasa bangga memiliki pegawai yang bertanggungjawab dan berintegriti dalam melaksanakan tugas, bukan bertindak sebaliknya dengan memindahkan beliau ke jabatan yang lebih kecil.
Mulai 1 Mei lalu, Judin dilantik sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Meskipun mendapat bantahan awam dan protes senyap kakitangan JKR, kerajaan tetap berkeras "menghukum" Judin yang dikenali sebagai pegawai kanan berintegriti tinggi.
"Saya difahamkan, Judin bersikap tegas memastikan setiap prosedur berkaitan tender kerajaan dipatuhi oleh kontraktor. Dalam kes kontroversi pembinaan Istana Negara (yang menelan belanja di luar jangka), beberapa keputusan Judin, termasuk untuk menamatkan khidmat kontraktor utama yang mempunyai prestasi buruk, menjadi punca beliau disingkirkan," dakwa beliau.
Tambah Mahfuz, tindakan kementerian itu turut bertentangan dengan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada 2004 bagi meningkatkan integriti penjawat awam apabila berlaku peminggiran terhadap pegawai yang berintegriti seperti Judin.
Katanya, perpindahan itu menimbulkan pelbagai persoalan tentang kemungkinan berlaku pertembungan penyalahgunaan kuasa di peringkat kementerian untuk meminggirkan sesiapa pegawai yang tidak sealiran dengan 'pihak tertentu'.
Selain kesal dengan tindakan kementerian tersebut, kekesalan Mahfuz turut dilemparkan terhadap Ketua Setiausaha Negara (KSN) apabila tidak mempertahankan Judin, sedangkan beliau bertanggungjawab penuh ke atas pegawai-pegawai yang bertanggungjawab.
"Adakah KSN turut terlibat dalam konspirasi ini, hingga mendiamkan sahaja perkara tersebut? Sedangkan pegawai seperti Judin inilah yang sebaik-baiknya untuk kebaikan dan pembangunan negara," kata Mahfuz.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan tindakan yang dikenakan terhadap Judin itu menunjukkan kerajaan benar-benar tidak komited dalam mengembalikan dan meningkatkan integriti sistem pentadbiran negara.
Tegas beliau, sekiranya kerajaan benar-benar komited dalam soal integriti ini, badan-badan seperti kehakiman dan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan badan-badan lain perlu diberi isyarat yang baik sekiranya pegawai mereka bertindak dengan penuh tanggungjawab.
"Tindakan ini seolah-olah menunjukkan kerajaan pimpinan Najib Tun Razak ini 'bermusuh' dengan pegawai kerajaan yang melaksanakan tugas mereka dengan amanah dan bertanggungjawab. Persoalannya, apakah isyarat yang ingin diberikan kepada kakitangan kerajaan ini? Tindakan terhadap Judin ini hanya menunjukkan pertentangan amalan dengan PIN yang dilancarkan sebelum ini," tegas beliau.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata pegawai-pegawai awam ini sepatutnya diberikan kepercayaan atas keupayaan mereka menjalankan tugas dan amanah yang diberikan, bukan 'dihukum' kerana bertanggungjawab.
Tambahnya, situasi ini akhirnya akan menyebabkan pegawai kerajaan akan dilihat menjadi penakut, tidak bebas dan sentiasa dilihat terkongkong, yang kemudiannya menyebabkan sistem pentadbiran negara tidak akan dapat dipertingkatkan.
Dalam pada itu, beliau berkata sekiranya Pakatan Rakyat memerintah, Pakatan Rakyat akan memastikan perkara sedemikian tidak akan berlaku dan berusaha untuk mengembalikan dan memulihkan integriti badan-badan kehakiman dan penguatkuasaan yang selama ini mengundang persepsi negatif di kalangan rakyat.
Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, yang mula mendedahkan pertukaran mendadak Judin itu awal April lalu, turut mendesak Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor memberikan penjelasan segera.
"Shaziman seorang yang berpengalaman sebagai jurutera awam sepatutnya mempertahankan Judin daripada tekanan politik elit penguasa dan kontraktor bermasalah. Pertukaran Judin adalah satu pengkhianatan terbuka kerajaan terhadap kakitangan awam yang berintegriti tinggi dan beretika cemerlang," tegas Lutfi.
"Kes Judin tidak boleh dipandang remeh. Sikap berdiam diri Perdana Menteri, Najib Razak amat dikesali. Dia mesti memberi jawapan di atas pertukaran jelas yang mahu mengaibkan Ketua Pengarah Kerja Raya itu," tambah Lutfi.
Beliau menegaskan: "Ini merupakan rakaman hitam sepanjang sejarah JKR yang sudah berusia 120 tahun. Tidak pernah seorang Ketua Pengarah Kerja Raya ditukarkan ke jawatan lebih rendah walhal Judin dikenali ramai, khususnya warga JKR sebagai pegawai kanan berintegriti tinggi dan teguh memegang prinsip kerja." -HD
Judin, media dan sokongan Melayu
Ahmad Lutfi Othman
Meskipun mendapat bantahan, Ketua Pengarah Kerja Raya, Prof Ir Dr Judin Abd Karim (gambar) tetap ditukar, mulai 1 Mei depan ke jawatan barunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan), iaitu satu jawatan yang lebih rendah, yang meletakkannya seolah-olah diturun pangkat.
Kes Judin ini cukup mengejutkan kerana inilah kali pertama dalam sejarah Jabatan Kerja Raya, ketua pengarahnya, yang dikenali ramai sebagai berintegriti tinggi, ditukarkan ke agensi lain.
Ramai warga JKR kecewa dengan langkah drastik itu. Rata-rata mereka beranggapan ia satu tindakan bermotif politik bagi memencilkan seorang pegawai awam berpersonaliti mulia, yang dilihat sepanjang kerjaya terakhirnya di JKR boleh menyusahkan pihak yang "tamak dan rakus". Namun begitu, Judin pasrah. Mulai minggu lalu, beliau telah mengadakan lawatan perpisahan ke semua cawangan JKR di seluruh negara.
Desas-desus menyebut pertukaran Judin dikaitkan dengan projek kontroversi, pembinaan Istana Negara yang baru, selain ketegasan Judin berdepan karenah kontraktor kroni yang hanya mahu mengaut keuntungan sebanyak mungkin daripada dana awam. Projek ini diberikan secara runding terus (reka dan bina) kepada Maya Maju (M) Sdn Bhd, dengan cadangan kos oleh kontraktor kepada kerajaan sebanyak RM1.1 bilion.
Hanya selepas kos berkenaan didedahkan Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar di Dewan Rakyat dan turut dibangkitkan Harakah, baharulah perkara ini disemak dan dirunding semula dengan kontraktor. Akhirnya, projek ini telah dianugerahkan dengan kos RM650 juta.
Cadangan pembinaan di peringkat awal di bawah kos RM400 juta. Bagaimanapun, kos projek Istana Negara kini telah meningkat hampir RM900 juta dengan pelbagai kerja tambahan (VO) dan skop tambahan yang dikatakan tiada dalam skop asal atau telah dikeluarkan semasa di peringkat awal.
Semua maklum dan bukanlah menjadi rahsia mengenai stail Maya Maju (dikatakan ala-samseng) apabila berkomunikasi dengan pegawai-pegawai kanan JKR yang terlibat dengan projek Istana Negara.
Kontraktor berkenaan dikaitkan dengan "orang kuat" Umno Kedah. Ketika diberikan tender projek istana pada Oktober 2007, syarikat tersebut disenaraikan sebagai tidak aktif oleh Suruhanjaya Syarikat.
Menurut sumber, bukanlah mudah untuk Judin memastikan projek Istana Negara disiapkan mengikut jadual. Beliau dikatakan telah mengadakan mesyuarat koordinasi projek hampir setiap minggu di tapak istana dengan mewajibkan semua pengarah kanan hadir.
Usaha beliau membuahkan hasil. Istana dijangka disiapkan pada pertengahan tahun ini. Inilah pendekatan yang pertama kali dibuat seorang Ketua Pengarah Kerja Raya dalam melaksanakan projek berprofil tinggi seperti ini.
Kontraktor dikatakan tidak menghormati JKR dan cuba melibatkan raja (Raja Perlis sebagai wakil Majlis Raja-Raja Melayu) dalam membuat keputusan meletakkan Judin dalam keadaan yang sukar. Bagaimanapun beliau menghadapinya dengan tenang demi memastikan projek berjalan lancar.
Memang sensitif menangani isu berkaitan pihak istana, apatah lagi apabila ada pihak tertentu yang memperalatkan nama raja untuk kepentingan mereka. Misalnya, apabila Lim Kit Siang mula membangkitkan hal berkaitan projek ini, timbul dakwaan bahawa beliau telah "menderhaka" kepada istana.
Malah, saya dapat menjangkakan, selepas Harakah dilihat mempertahankan Judin, tentunya beliau akan dilabelkan sebagai propembangkang atau penyokong Pakatan Rakyat. Ia hanya bagi mengalihkan isu sebenar daripada dibincangkan. Tuduhan liar terhadapnya sudahpun tersebar dalam blog-blog Umno. Walhal isunya jelas: Umno akan bermusuh dengan pegawai awam yang baik dan berwibawa sekiranya tidak dapat memenuhi kehendak politik dan nafsu serakah mereka bagi membolot kekayaan berlipat ganda dengan cara mudah.
Umno selama ini memang bergantung dengan dana awam melalui komisyen (terutama melalui projek rundingan terus apabila nilai kos dapat dinaikkan dengan mudah) bagi memenuhi tabung politik mereka, seterusnya "membeli undi" semasa pilihan raya. Judin bukan pegawai kerajaan pertama dan terakhir yang menjadi mangsa.
Mungkin ramai lagi yang bersedia mengikuti telunjuk elit penguasa dan meraikan apa jua kehendak orang-orang politik di sekeliling, namun Judin akan dikenang sebagai kakitangan awam yang berusaha mempertahankan integriti sehingga terpelanting jawatan strategiknya.
II.
Saya diundang sebagai ahli panel Bicara Media, anjuran pelajar Sarjana Sains Komunikasi Kewartawanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) lebih kurang 15 jam sebelum program bermula. Memang masih agak uzur dan sukar berjalan jauh, tetapi apabila mengetahui Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah turut memeriahkan forum bertajuk Menyingkap Peranan Media dalam Menghadapi Arus Globalisasi, saya berusaha hadir.
Seorang lagi penalis ialah Ibrahim Yahaya, bekas Ketua Pengarah Penyiaran, manakala pengacaranya, Sayed Munawar Syed Mustar. Forum itu dirakamkan di Studio Penyiaran Video, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM.
Ternyata Saifuddin beridealisme tinggi apabila membicarakan isu-isu berkaitan kebebasan media, seperti juga apabila beliau melontarkan idea tentang autonomi universiti dan keperluan mahasiswa untuk bergerak aktif dalam politik. Saya tidak nampak hujahannya bercanggah dengan pendapat saya, malah beliau berjaya mengungkapnya dengan lebih mantap.
Saya tidak lari daripada terus menekankan bahawa media di Malaysia masih terkongkong dan dikawal ketat walaupun dalam era globalisasi. Menurut sarjana media, misalnya Fred S Siebert, teori media bebas tidak selari dengan suasana di negara ini apabila sebarang penerbitan memerlukan permit dan melalui proses penapisan.
Saya turut merakamkan pengalaman beberapa penerbitan saya, seperti majalah Detik, yang diharamkan KDN, tanpa alasan yang jelas. Begitu juga dengan syarat-syarat penerbitan dan pengedaran Harakah yang menekan.
Ibrahim melihat daripada sisi agak berbeda. Kebebasan dalam online dan juga akhbar-akhbar berbahasa Cina menjadi sandaran. Sedangkan bagi saya, dalam dua situasi itu, sebenarnya kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekatnya dan bukan disebabkan penguasa berjiwa besar membenarkan media berkembang secara bebas di Malaysia. Ini turut dipersetujui Saifuddin. Bagi saya, peraturan karut seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan mesti dimansuhkan tanpa daleh lagi.
Saifuddin mengakui keperluan Malaysia seharusnya mempunyai kebebasan akhbar yang lebih luas berbanding dahulu. Beliau turut membangkitkan langkah-langkah pendemokrasian yang lebih segar, seperti mencadangkan umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun, di samping menegur perlantikan jawatan-jawatan penting di universiti, yang ada kalanya melibatkan "tukang ampu" berbanding ilmuan yang lebih layak.
Dua minggu sebelum itu, saya bersama Dinsman dan Pengarang Harakah, Taufek Yahya menghadiri majlis bedah buku Catatan Hujung di Kompleks PKNS, Bangi. Agak janggal juga untuk saya membicarakan proses penulisan di sebuah kompleks membeli-belah yang agak sibuk itu.
Dalam majlis itu saya turut diaju dengan cadangan (sebenarnya dicabar) untuk menghasilkan buku khas bagi menyanggah memoir Dr Mahathir Mohamad. Seorang daripada hadirin, Dr Tajul Arifin Noordin, Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi mahu saya mengemukakan sanggahan terhadap pelbagai "pembohongan" dan "manipulasi" Dr Mahathir.
Sememangnya minat peribadi saya lebih tertarik kepada penerbitan buku, berbanding menjadi editor akhbar sekarang mahupun sebelum ini majalah. Dalam konteks kebebasan berkarya di Malaysia, menulis buku mungkin lebih selesa dan tidak terikat dengan peraturan "karut-marut" KDN. Banyak isu memerlukan penjelasan lebih terperinci dan mendalam.
Namun, seperti disokong Dinsman, yang juga pengulas buku Catatan Hujung, cabaran terbesar saya adalah faktor kesihatan. Menulis buku khususnya mengupas isu-isu politik -- berdepan saingan media baru -- memerlukan stamina luar biasa. Ada juga permintaan agar saya membuat "ramalan politik" seperti buku-buku yang dihasilkan dalam tahun-tahun 1990-an berkaitan Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir.
III.
Sehingga kini saya belum sempat menganalisis pilihan raya Sarawak. Semua maklum tentang gelombang perubahan yang dicetuskan oleh pengundi Cina di bandar-bandar. Namun, saya lebih terkesan dengan kebimbangan terhadap keupayaan pengundi Melayu untuk sama-sama berubah dalam PRU13. Dr Jeneri Amir menjangkakan, jika trend mengundi di Sarawak berterusan, sekurang-kurangnya Pakatan Rakyat dapat menguasai tujuh kerusi Parlimen di negeri itu nanti.
Slogan PAS Ganti Umno tidak hanya memerlukan seminar dan diskusi. Pengundi Melayu harus diyakinkan bahawa mereka mesti bersama Pakatan Rakyat, terutama dengan menyokong PAS, bagi membentuk sebuah kerajaan yang adil, baik peringkat negeri mahupun persekutuan. Peralihan lapan peratus undi di Sarawak jika diterjemahkan di peringkat nasional mungkin boleh membawa Pakatan ke Putrajaya, tetapi jika masyarakat Melayu tidak bersedia berubah, situasi politik mungkin "tidak seimbang".
Berbanding rakan-rakannya dalam Pakatan, cabaran terbesar lebih menimpa PAS. Berusaha mempengaruhi majoriti pengundi Melayu supaya menolak Umno dalam sentimen perkauman yang makin marak ini bukan tugas mudah. Ketrampilan kepemimpinan Parti Islam khususnya untuk memenangi hati orang Melayu -- dan mengekalkan sokongan masyarakat Cina dan India -- cukup teruji.
Kepada PAS, masa cukup singkat sebelum Najib Razak membubarkan Parlimen. Saya tidak mengharapkan keajaiban, namun ramai tidak berpuas hati dengan usaha yang telah dibuat ... -HD
Nyatakan sokongan anda kepada Dato' Seri Ir Dr Judin Abdul Karim dalam facebook Sokongan Judin Karim