Tegasnya, sumpah tersebut tidak terdapat dalam kes dalam jenayah syariah yang antaranya berkaitan dengan kes liwat atau zina.
"Tidak ada sumpah dalam kes jenayah syariah kecuali sumpah 'qasamah' dalam jenayah membunuh.
"Maksudnya, dalam satu kes pembunuhan, tidak ada orang yang melihat (insiden itu) sedangkan keluarga yang dibunuh berkata si 'A' yang membunuh.
"Maka keluarga ini boleh sumpah 'qasamah' kata si A ini yang bunuh. Itu sahaja (sumpah) yang saya jumpa dalam kitab-kitab dan buku-buku... sumpah lain tak ada. Sumpah mubahalah lagi lah tak ada," katanya.
Menurutnya, sumpah mubahalah yang dimaksudkan itu berlaku ketika Nabi Muhammad SAW yang berdialog dengan orang Yahudi dan Nasrani mengenai keesaan Allah SWT.
Katanya, kedua-dua kumpulan itu tidak mempercayainya maka Nabi Muhammad mencabar mereka untuk bersumpah laknat (mubahalah) walaupun akhirnya mereka tidak menyahut cabaran baginda.
Musa berkata demikian pada diskusi 'Hukum Qazaf dan Sumpah Menurut Syari'ah' di Dewan Pembangunan Belia Islam Taman Cemerlang Gombak.
Diskusi tersebut dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan dihadiri kira-kira 70 orang.
Turut dijemput sebagai panel diskusi itu tiga tokoh agama dan ahli akademik iaitu Naib Presiden Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH) Dr Abdul Halim El-Muhammady, pensyarah Prof Dr Ashraf Md Hashim dan wakil Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Dr Mohd Fauzi Zakaria.
Siapa beri idea?
Mengulas lanjut, Musa yang juga seorang pengamal undang-undang berkata beliau mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab "memberi idea" untuk melakukan sumpah mubahalah dalam beberapa peristiwa sebelum ini."Siapa yang beri idea buat (sumpah mubahalah) ini... Saya tengok (ia bermula) dalam kes (Mohd) Saiful (Bukhari Azlan) dahulu.
"(Dalam) kes liwat atau zina, tidak ada sumpah (mubahalah). (Sumpah) yang lain adalah (yang) berkaitan dengan kes mal (harta).
"Ada banyak jenis sumpah, tetapi semuanya dalam kes mal (harta), (tetapi) bukan kes jenayah (syariah)," katanya sambil membaca jenis-jenis sumpah yang disyariatkan dalam Islam.
Mengulas mengenai isu qazaf (melempar tuduhan zina), Musa berkata orang yang dituduh berzina mestilah seorang muhsan iaitu orang yang baik dan bukannya seorang pelacur.
Kata lagi, pihak yang membuat tuduhan itu terhadap seseorang dikatakan mempunyai niat jahat sekiranya penuduh itu tidak mengemukakan empat orang saksi.
"Maka kita boleh kata dia membuat tuduhan dengan niat jahat," katanya.
Menurutnya lagi, mengikut seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan memperuntukkan orang menuduh seseorang yang melakukan zina perlu membawa membawa empat orang saksi.
Pada 29 April lalu, Datuk Shazryl Eskay Abdullah - seorang anggota trio Datuk T - melakukan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul berhubung isu video seks yang dikaitkan dengan seorang tokoh pemimpin pembangkang.
Dua lagi anggota iaitu bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Shuib Lazim turut hadir dalam majlis tersebut.
Trio itu bertanggungjawab menayangkan video seks tersebut kepada sekumpulan wartawan sebelum ini, yang memapar seorang lelaki yang didakwa mirip ketua pembangkang yang juga ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.