KUALA TERENGGANU - PAS Terengganu akan mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen yang dimenanginya serta ‘merampas’ kerusi-kerusi yang tewas daripada Barisan Nasional (BN).
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata PAS Terengganu akan bekerja bersungguh-sungguh bagi mengekalkan kerusi-kerusi Dun dan Parlimen yang dimenangi.
Dalam masa sama, katanya berusaha merampas kembali kerusi-kerusi yang PAS kalah dan dimenangi oleh Umno-BN.
“Kita (PAS) bekerja bersungguh-sungguh sekarang. Jentera parti kita akan pertahankan semua lapan kerusi Dun dan dua kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Masa yang sama, kita (PAS) berusaha untuk menang dan rampas kerusi-kerusi yang kalah ditangan BN, Insya’Allah,” tegasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berpuas hati dengan sokongan serta sambutan masyarakat Tionghua terhadap PAS dan Pakatan Rakyat hari ini.
Kata Abdul Wahid, penerimaan pengundi Cina dan India di Dun Bandar Kuala Terengganu cukup memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya.
“Saya hari ini, buat lawatan ziarah sempena orang Tionghua hendak sambut Tahun Baru Cina 2012. Sambutan sangat baik dan mesra dengan kita (PAS).
“Saya masih yakin, mereka (pengundi Cina) akan buat perubahan dalam pilihan raya akan datang, Insya’Allah,” jelasnya sempena lawatan temu mesra dengan mengagihkan limau mandarin dan angpau kepada penduduk di Kampung Cina, 17 Januari lalu.
Menurutnya, sudah tiba masa rakyat boleh menyatakan pilihan hati memilih PAS-Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ‘Asal Bukan Umno’ (ABU).
Turut serta mengiringi beliau menemui masyarakat Tionghua di sekitar Kampung Cina tersebut Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing, pimpinan Parti KeADILan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Terengganu dan Muslimat PAS Dun Bandar. -BO