Ikuti Blog ini
Penghasilan Filem "Tanda Putera" - Bukti Nyata UMNO Begitu Takut Hadapi Pilihanraya ,Jumaat, Ogos 03, 2012 at 3.8.12,
Tanda Putera’ mampu cetus rusuhan kaum
Sebuah filem bertajuk ‘Tanda Putera’ mengalami situasi yang aneh kerana dikritik hebat sebelum ianya ditayangkan kepada umum.
Filem ini menempah kontroversi kerana ia menyentuh isu yang sangat sensitif dan berbaur perkauman kerana memfokuskan kepada tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969, satu peristiwa yang berlaku empat dekad yang lampau.
Peristiwa 13 Mei adalah tragedi berdarah yang tercetus di antara orang-orang Melayu dengan orang-orang Cina dan kini tercatat sebagai titik hitam dalam lipatan sejarah tanah air.
Dalam peristiwa itu seramai 196 orang dilaporkan terbunuh walaupun angka sebenar mungkin lebih dari jumlah itu.
Separuh dari bajet sebanyak RM4.5 juta filem arahan Shuhaimi Baba ini dibiayai oleh agensi kerajaan, Perbadanan Pembangunan Filem National (Finas).
Pengkritik menyoal kenapa filem ini diterbitkan di ambang negara sedang menghadapi pilihan raya umum ke 13 yang dijangka diadakan pada penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya April 2013.
Motif filem ini tidak lain dan tidak bukan merupakan satu lagi dakyah pemerintah Barisan Nasional yang diterajui Umno untuk meraih kembali sokongan orang-orang Melayu yang semakin hari semakin terhakis.
Sebagai satu alat propaganda yang murah untuk menakut-nakutkan orang-orang Melayu dan bagi menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu terhadap orang-orang Cina dan etnik-etnik yang lain.
Mesej Umno mudah: “Undilah Umno jika kita mahu hak istimewa, nasib masa depan dan kuasa politik terus kekal di tangan orang-orang Melayu.”
Kuasa politik
Jika orang-orang Melayu tidak bersatu di bawah ‘payung’ Umno maka orang-orang Cina akan mengambil alih pemerintahan negara ini.
Kuasa politik orang Melayu akan hilang, terpinggir dan orang-orang Melayu akan hidup merempat di tanah air sendiri.
Maka dicipta cerita bahawa jika orang-orang Melayu berpecah, parti DAP yang didominasi oleh orang-orang Cina akan mengambil alih pemerintahan di negara ini.
DAP dituduh telah diresapi oleh komunis dan parti PAS pula dituduh telah diresapi pengaruh Jemaah Islamiah (JI) yang membawa unsur keganasan.
Suasana kebimbangan ini turut disuarakan oleh Perdana Menteri apabila beliau menasihati orang-orang Cina supaya memilih parti yang dapat menjamin keamanan dan kestabilan politik di negara ini, jika mereka mahu terus berkembang maju dalam perniagaan.
Keadaan ini diburukkan lagi oleh media-media pro Umno yang terus menyemarakkan api perkauman dan mencipta suasana kebimbangan di kalangan rakyat, terutama di kalangan orang-orang Melayu.
Namun rakyat di negara ini tidak semudah itu termakan dengan dakyah Umno yang jahat dan bahaya ini. Pengundi terutama golongan muda yang celik IT dan media baru mula sedar.
Generasi baru
Generasi baru tidak lagi memikirkan diri mereka berasal dari etnik atau keturunan tertentu. Sentimen perkauman tidak lagi dapat mempengaruhi pemikiran mereka.
Seperti rakyat di negara-negara lain, contohnya di Afrika Utara dan Timor Tengah, mereka bersatu atas nama kebebasan, keadilan, kesamarataan dan menolak penindasan, kezaliman, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa pihak pemerintah.
Hakikat inilah yang dibimbangi oleh Umno dan momentum untuk menuntut perubahan semakin kuat dan tidak dapat dibendung lagi oleh parti Umno yang lapuk itu.
Tidak pernah dalam sejarah, Umno begitu takut untuk menghadapi para pengundi. Ketakutan mereka mempunyai asasnya berdasarkan prestasi pilihan raya umum 2008.
Buat pertama kali mereka hilang dua pertiga majoriti di parlimen selain dari lima negeri – Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor – jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, walaupun Perak berjaya dirampas kembali.
Tetapi Umno tidak akan berhenti dari terus memainkan isu-isu sensitif seperti menerbit filem ‘Tanda Putera’ ini, termasuk filem dan video lucah dan porno bagi menyambung tali hayat politik mereka yang tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’. -FMT