Ikuti Blog ini

Royalti: Umno risau hilang undi orang muda

KUALA LUMPUR: PAS Kelantan yakin kesediaan Umno Kelantan untuk menyelesaikan tuntutan royalti minyak sebelum pilihan raya umum ke-13 disebabkan kebimbangan terhadap kebangkitan anak muda yang menyokong tuntutan tersebut.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yussof berkata, Umno Kelantan berasa ketinggalan dalam menjaga kebajikan rakyat negeri itu dan berusaha mengambil hati mereka semula.

"Umno Kelantan rasa rugi kalau tak turut serta dalam isu ini. Apatah lagi bila melihat mood orang muda yang menyokong NGO menuntut royalti minyak ini dikembalikan. Umno fikir mereka kena beri perhatian isu yang mendapat sokongan pengundi muda," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa Umno Kelantan akan berusaha menyelesaikan isu berbangkit termasuk tuntutan royalti minyak.

Badan-badan bukan Kerajaan (NGO) di Kelantan sebelum ini menubuhkan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Kelantan (GEGAR) dan mendapat sambutan yang hebat daripada golongan muda.

Wan Nik juga berkata, Umno tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil sebarang tindakan berhubung tuntutan ini kerana ianya sudah dibawa ke mahkamah.

"Saya yakin Mustapa mesti sudah berbincang dengan perdana menteri untuk uruskan hal tuntutan ini.

"Masalah tuntutan minyak ini sudah jadi kes mahkmah. Kalau betul Umno nak selesaikan, mereka kena selesai cara mahkmahlah. Hal ini tak mudah walaupun Mustapa cakap macam mudah sahaja," katanya.

Tambah beliau lagi, Mustapa dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain terlebih dahulu perlu menarik balik kenyataan mereka sebelum ini yang menafikan hak rakyat ke atas royalti minyak.

"Sebelum ini Mustapa, Dr. Awang Adek dan pemimpin Umno Kelantan yang lain kata Kelantan tak layak dapat royalti. Jadi kalau nak selesaikan isu ini, mereka kena tarik balik semua kenyataan sebelum ini," katanya.

Ogos 2010, PAS Kelantan mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Petronas berhubung royalti minyak yang didakwa bukan terletak di perairan negeri.
-Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .