Muhyiddin dakwa isu Soros bukan untuk keuntungan politik
Timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa BN tidak
menggunakan isu jutawan George Soros – yang didakwa membiaya NGO
tempatan untuk menjatuhkan kerajaan – demi keuntungan politik parti.
Beliau dipetik akhbar Mingguan Malaysia sebagai berkata, perkara itu
hanya ditimbulkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir sebagai
peringatan bahawa bantuan Soros itu "tidak membantu negara."
"Rakyat boleh menilai, kalau kita biarkan bermakna kita mahu kuasa asing
menguasai negara dan Soros mahu menggunakan kuasa wang untuk
menimbulkan masalah dalam negara kita.
"Kita tidak menggunakan itu (demi keuntungan politik) tetapi kenyataan
yang perlu dijelaskan," katanya dalam laporan akhbar milik Umno itu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyatan timbalan menteri
pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah pada Khamis lalu yang bimbang
serangan BN ke atas Soros akan "memakan diri sendiri".
Dalam laporan edisi hujung minggu Utusan Malaysia itu lagi, Muhyiddin
berkata isu sama ada perkara itu menimbukan kesan buruk kepada BN tidak
timbul kerana dakwaan tersebut telahpun dipersoalkan banyak pihak.
"Umum mengetahui peranan Soros di banyak negara, ini satu kenyataan yang
perlu kita sedari kerana kalau rakyat tidak menyedarinya, ia adalah sat
perkara bahaya.
"Peringatan Tun Mahathir adalah satu kenyataan dan badan yang mengharap
bantuan Soros perlu sedar tindakan itu tidak membantu negara," katanya.
Projek memburuk-burukkan pembangkang dengan jutawan George Soros –
seperti yang dilaporkan meluas oleh media sekarang – telah dirancang
oleh sebuah jabatan khas Kementerian Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan sejak pertengahan tahun ini.
Melalui sebuah buku tebal Panduan Penjelasan Isu Semasa terbitan Jabatan
Hal Ehwal Khas (JASA), Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim didakwa mendapat
dana spekulator mata wang dunia itu bagi menghadapi pilihan raya umum.
Dengan menonjolkan beliau sebagai ejen Yahudi Zionis, Soros melalui
Institut Masyarakat Terbuka (OSI) didakwa membiaya Kumpulan Krisis
Antarabangsa (ICG) yang disertai Anwar.
"... Anwar merupakan antara ahli majlis eksekutif ICG ... sebahagian
besar (pemimpin) dalam ICG adalah berbangsa Yahudi," buku setebal 322
halaman itu dipetik.
"Soros mengkritik tindakan kerajaan Malaysia dan membela Anwar semasa beliau didakwa atas (tuduhan) salah guna kuasa."
Hubungan Soros-Anwar ini dimuatkan dalam bab "Kumpulan Krisis
Antarabangsa (ICG) dan hubungan Zionis", satu daripada 22 bab yang
disusun bagi menjawab isu dan program yang dibangkitkan oleh Pakatan
Rakyat sehingga Jun lalu.