Ikuti Blog ini

Kedah larang penyanyi wanita…


Seperti di Kelantan yang dikuasai PAS, kini tiada lagi persembahan penyanyi perempuan dibenarkan di Kedah, kata exco kerajaan negeri Dr Ismail Salleh hari ini.

“(Penyanyi) perempuan memang kita tidak terima 100 peratus (untuk kelulusan permit hiburan).

“Tetapi kalau persembahan itu khas untuk orang perempuan sahaja tidak mengapa,” kata Dr Ismail, pengerusi jawatankuasa tetap kesihatan, penerangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangunan insan Kedah.

Beliau yang juga wakil rakyat Alor Mengkudu berkata, suara perempuan sebahagian daripada aurat.

“Kalau bersyarah lainlah,” katanya kepada Malaysiakini, apabila diminta mengulas larangan sepenuhnya konsert di negeri itu yang kini bawah pentadbiran PAS.

world press freedom day concert central market 030606 fathulMenurut Dr Ismail, perkara itu ditegaskan kembali dalam mesyuarat exco negeri Rabu lepas setelah diputuskan kira-kira dua bulan membentuk kerajaan selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat, Mac lalu.

Keputusan itu, tambahnya, antaranya berdasarkan garis panduan hiburan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang disifatkannnya “cukup cantik” dan bersetuju sepenuhnya dengan isi kandungannya.

Sebelum ini, tambahnya, keputusan politik sudah jelas cuma di peringkat pentadbiran “agak berat dan perlahan” untuk dilaksanakan.

Dr Ismail berkata polis dan pegawai di pejabat daerah “tidak sebulu” dengan larangan itu kerana telah 50 tahun bekerja dengan bawah kerajaan BN negeri.

Kedua-dua badan kerajaan ini bertanggungjawab terhadap permit hiburan, katanya.

Dr Ismail turut menjelaskan, pengharaman turut melibatkan persembahan lain yang memberikan kesan negatif golongan remaja bukan sahaja empat jenis muzik yang dilaporkan Jumaat lepas – reggae, pop, rock dan dangdut.

“(Empat jenis muzik) itu hanya contoh,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Dr Ismail lagi, pengharaman tersebut buat masa ini hanya diguna pakai untuk tempat terbuka.

Acara persembahan pentas lain seperti tarian pula digalakkan untuk kanak-kanak sekolah bagi menggantikan penari dewasa kerana belum akil baligh, kata Adun PAS itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) akan menulis surat kepada Menteri Besar Kedah, Azizan Razak berhubung pengharaman itu, esok.

“Kita ingin berbincang dengan kerajaan negeri tentang keputusan itu,” kata pengurusnya Ahmad Abdullah.

Karyawan juga menggesa kerajaan Kedah memperhalusi lagi larangan tersebut.

Ia juga mencadangkan sebarang keputusan berhubung isu-isu seni dan hiburan mestilah melibatkan kumpulan seniman.

Bajet 2009 : Ubatnya Lagi Teruk Dari Penyakit








Tazkirah warnai Ramadan di Kelantan


KOTA BHARU, 3 Sept - Pemimpin kerajaan Kelantan, pegawai dan kakitangannya di Kota Darulnaim memulakan 1 Ramadan lalu dengan tazkirah seawal jam 8 pagi yang disampaikan Menteri Besar.

Kemudian pada 12 tengahari tazkirah diadakan pula di Masjid Kota Darulnaim yang juga disampaikan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun pada sebelah petang Menteri Besar mendengar takzirah disampaikan Mudir Pondok Sungai Durian, Dr Abdul Basit Abdul Rahman.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri, anggota-anggota Exco dan pegawai kerajaan negeri.

Dr Abdul Basit berkata, Ramadan merupakan bulan yang penuh berkat.

"Ramadan diambil dari makna musim panas. Nabi Muhammad saw memanggilnya sebagai bulan Ramadan. Kita digalak menganjurkan majlis berbuka puasa terutamanya untuk fakir miskin dan mereka yang kurang berkemampuan," ujar beliau.

Pada majlis tersebut 30 anak yatim dari Asrama Bakti Batu 25, Machang diraikan pihak penganjur iaitu Jabatan Integriti Negeri Kelantan.

Pakatan Rakyat pulihkan SAR di Perak



 Kerajaan Pakatan Rakyat akan mengembalikan semula bantuan per kapita berjumlah RM1.3juta kepada 18 buah sekolah Agama Rakyat di Negeri Perak bagi tahun 2008 ini.Bantuan tersebut akan diagih-agihkan dalam bulan Ramadhan , sedikit masa lagi.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Ust Misbahul Munir Masduki sebagai mengulas satu laporan Bernama yang telah menyebut tentang desakan Pergerakan Pemuda Umno, Zainol Fadzi supaya Menteri Besar Perak Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin turut memberikan lot tanah kepada Sekolah Agama Rakyat milik persendiran dan Sekolah Agama Pondok dalam usaha memaju dan memartabatkan agama Islam di Perak.

Bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) telah dinafikan oleh kerajaan BN/Umno yang memerintah Perak dulu sejak pentadbiran Mahathir lagi;tetapi kini dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat, bantuan tersebut telah diberikan semula.

Terdapat 9 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat dan 9 buah lagi Sekolan Agama Rendah yang menjadikan jumlah keseluruhannya 18 buah.

Ikuti ulasan dan penjelasan beliau selanjutnya dilaman blognya yang baru di lancarkan hari ini.

Nik Aziz yakin kerajaan baru bakal ganti BN


KOTA BHARU, 3 Sept - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menerajui negara sejak lebih 50 tahun akan diganti kerajaan baru.

Menurutnya, perubahan itu bukan kerana faktor 16 September semata-mata, sebaliknya dasar dan pemikiran pemimpin BN yang ada hari ini perlu diubah.

"Itu yang saya yakin, kami berjuang dah berpuluh tahun nak ubah dasar negara dan pemikiran rakyat khususnya supaya menerima pentadbiran berasaskan Islam.

"Isu 16 September hanyalah masalah teknikal sahaja, jadi saya serahkan kepada mereka yang terbabit," katanya yang enggan mengulas lanjut ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim, hari ini.

Isu 16 September ternyata menjadi hambatan besar kepada pemimpin-pemimpin Umno dan BN sehingga mereka mengangggap sebagai gimik politik Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Malah mengikut laporan terbaru 43 anggota parlimen BN sudah menyatakan komitmen akan meninggalkan parti itu bagi menyertai Pakatan Rakyat dalam misi menubuh kerajaan baru di Putrajaya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, bagi mengelakkan masyarakat sentiasa memperbesarkan isu perkauman beliau berhasrat menunaikan solat di masjid pelbagai budaya di Rantau Panjang sempena Ramadan ini yang diimamkan Cina Muslim.

"Dalam bulan ini saya bercadang menunaikan solat di Masjid Pelbagai Budaya yang mana imamnya orang Cina Muslim. Saya mahu menjadi makmum di belakangnya," ujarnya.

Beliau berkata, perkara itu dilakukan bertujuan meredakan semangat perkauman yang tidak berkesudahan dalam masyarakat sehingga sekarang.

Sedangkan katanya umat Islam mempunyai gurunya iaitu Nabi Muhammad saw, namun mereka lebih berbangga dengan fahaman yang dibawa bangsa lain.

Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz Islam sejak awal lagi Islam tidak memberi ruang kepada isu perkauman kerana Islam mahu merapatkan hubungan sesama bangsa.

"Saya sentiasa sebut, kalau Allah yang buat rupa paras manusia termasuk Cina atau Melayu sama sahaja sudah tentu tidak akan mengenali antara satu sama lain," ujarnya.

Beliau berkata, sebenarnya masalah perkauman berpunca akibat penjajahan Eropah yang berlaku sejak beratus tahun lalu.

Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mencadangkan pihak berwajib mengenakan tindakan yang berat terhadap peniaga mercun bagi mengelak berulangnya kecederaan yang menimpa kanak-kanak.

Katanya, masalah itu berpanjangan sejak sekian lama dan tidak pernah selesai kerana tiada tindakan tegas kerajaan bagi menanganinya.

Beliau diminta mengulas kejadian yang berlaku terhadap seorang kanak-kanak dari Rantau Panjang yang cedera akibat bermain mercun malam tadi.

Kanak-kanak berkenaan difahamkan merupakan mangsa mercun pertama di Kelantan.

Abdulllah digesa letak jawatan, contohi PM Jepun


Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tertarik dengan tindakan Perdana Menteri Jepun, Yasuo Fukuda yang meletakkan jawatan kelmarin setelah gagal mewujudkan kestabilan politik kepada rakyat negara itu.

Fukuda menyifatkan tidakannya itu adalah demi kepentingan rakyat Jepun setelah gagal melaksanakan beberapa dasar negara kerana Dewan Rendahnya dikuasai pembangkang.

DPP Pusat melihat tindakan Fukuda ini bukan sahaja matang, bahkan lebih demokratik setelah menyedari kerajaan pimpinannya gagal mendapat kepercayaan dewan perundangan.

Telah menjadi kebiasaan bagi para pemimpin di negeri-negeri maju di mana mereka akan bertanggungjawab terhadap sebarang masalah yang timbul dalam pentadbiran negara yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat.

Di Jepun sendiri, perletakan jawatan seorang perdana menteri bukanlah suatu perkara yang aneh.

Begitu juga di Barat, pemimpin politik akan segera melepaskan jawatan jilka mereka dikaitkan dengan apa-apa skandal yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat.

Inilah sikap matang dan terbuka yang diamalkan oleh pemimpin politik yang ingin melihat kemajuan negara dan kepentingan rakyat lebih diutamakan daripada mengisi tembolok sendiri.

Di Malaysia, budaya ini tidak berlaku, bahkan para pemimpin BN terus berdegil untuk kekal berkuasa walaupun telah ditolak oleh rakyat.

Sudah banyak skandal yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara yang didedahkan tidak diambil tanggungjawab oleh pemimpin BN.

Yang paling jelas ialah mesej yang disampaikan oleh rakyat dalam Pilihan raya Umum ke-12 baru-baru ini.

Lima buah negeri telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan BN turut hilang majoriti dua pertiga.

Desakan untuk Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur bukan sahaja datang dari rakyat dan parti pembangkang sahaja, bahkan dari dalam Umno dan BN sendiri.

SAPP, sebuah komponen BN dari Sabah secara terang-terangan menyatakan tidak percaya kepada Abdullah Badawi, manakala bekas Perdana Menteri telah keluar Umno untuk mendesak Perdana Menteri berundur.

Malangnya, pemikiran feudal dunia ketiga yang mengokong Abdullah Badawi menyebabkan beliau terus bertahan.

Sebab utama ialah supaya keluarga dan kroninya mendapat peluang mengaut kekayaan negara, manakala rasuah terus berleluasa. Rakyat terus ditindas dengan pelbagai dasar yang membebankan.

Kini, Permatang Pauh pula menghantar mesej yang lebih jelas kepada Abdullah Badawi bahawa kepemimpinannya sudah tidak relevan dan beliau mesti berhenti segera.

Jika beliau tidak mahu mencontohi pendekatan perdana menteri Jepun, rakyat negara ini akan terus menderita oleh dasar-dasar yang mengutamakan kroni dan keluarga.

DPP Pusat mendesak Abdullah Badawi supaya mencontohi keterbukaan pemimpin Jepun itu.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Juara Akademi Nasyid pohon bimbingan ulama untuk kerjaya seninya


KUALA LUMPUR, 3 Sept - "Kemenangan saya ini bukan hanya milik saya seorang tetapi kemenangan untuk semua pejuang Islam. Insya-Allah misi dan visi saya ialah kerana Allah di samping akan terus mendapat bimbingan para ulama dalam meneruskan kerjaya seni saya,"itu antara kata-kata awal juara Akademi Nasyid, Azhan Atan.

Azhan, 35, yang ditemui selepas program Simfoni Merdeka 08 anjuran Masjid As-Syakirin, KLCC, menyatakan selepas kemenangan dalam program realiti itu beliau meletakkan konsep kebajikan dalam setiap persembahannya.

"Saya meletakkan konsep ' beramal kerana Allah itu syiar kami' dalam setiap persembahan saya akan datang,"katanya penuh optimis.

Memandangkan buat masa ini beliau belum terikat dengan mana-mana syarikat rakaman, beliau bebas mengadakan persembahan di mana-mana selagi persembahan tersebut tidak melanggar etika dan kesopanan.

Sepanjang menyertai program itu Azhan sama sekalitidak pernah bermimpi trofi dan ganjaran bernilai RM100,000 itu akan menjadi miliknya.

Kelunakan suaranya bukan sahaja memikat juri dan penonton yang sanggup mengundi melalui sistem pesanan ringkas(SMS), malah turut menarik perhatian komposer untuk menyumbangkan lagu untuknya.

Image "Sebanyak 19 lagu baru telah diberikan kepada saya sebelum saya masuk ke peringkat akhir Akademi Nasyid. Bagaimanapun saya belum sempat menilai lagu tersebut satu persatu. Saya berterima kasih kepada komposer-komposer tersebut kerana sudi menyumbangkan lagu-lagu mereka untuk saya nyanyikan,"katanya yang turut mendapat tempat di hati komposer terkenal seperti Ramli Sarip, Usop Kopratasa, Yassin dan Farihin Abdul Fatah.

Jelas anak jati Johor ini, beliau juga bernasib baik dan beruntung apabila komposer seperti Ramli Sarip sanggup memberi nasihat dan bimbingan kepadanya sepanjang beliau di Akademi Nasyid.

Tambah Azhan, bakatnya dalam nyanyian telah dibina 15 tahun lalu apabila beliau sering membuat persembahan dalam setiap program yang disertainya. Namun kemenangannya sebagai juara Akademi Nasyid menyerlahkan lagi bakat yang ada pada dirinya

"Kebanyakan yang mengundi saya adalah rakan-rakan yang telah mengenali saya sejak dahulu lagi dalam setiap program-program yang saya sertai seperti Jambori Amal. Saya amat berterima kasih kepada mereka yang sentiasa menyokong saya selami ini

"Kejayaan saya hari ini juga berkat dorongan isteri dan anak-anak ," jelas bapa kepada empat anak ini.

Bercerita mengenai perjalanan seninya, jelas Azhan, buat masa ini beliau menjalani kontrak dengan TV9 selama setahun dan akan mengikuti segala persembahan yang diatur stesen TV tersebut.

Bagaimanapun katanya, ini beliau tetap akan menumpukan kepada program rutinnya setiap tahun untuk menyemarakkan Ramadan.

43 MP Barisan Nasional sertai Pakatan Rakyat?


KUALA TERENGGANU, 3 Sept - Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi diramalkan semakin goyah menjelang 16 September 2008 ini.

Ahli-ahli Parlimen BN yang 'didakwa' akan menyertai kerajaan baru Pakatan Rakyat bukan lagi omong-omong kosong dan bakal menjadi kenyataan.

Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu, Fariz Musa yakin Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) dapat merealisasikan peralihan kerajaan sebagaimana yang ditetapkan.

Ini kerana, katanya dengan penyertaan semula Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim itu ke dalam Parlimen setelah 10 tahun dinafikan lebih menyakinkan Pakatan Rakyat.

Image "Kita (KeADILan) yakin akan dapat realisasikan rancangan peralihan kerajaan kepada Pakatan Rakyat dengan kemasukkan semula Dato' Seri Anwar ke dalam Parlimen sekarang.

"Kita juga lebih yakin dengan senario itu kerana daripada sumber-sumber tidak rasmi kini sudah ada seramai 43 Ahli Parlimen yang akan menyertai Pakatan Rakyat termasuk di kalangan MP Terengganu," jelasnya ketika dihubungi (Gambar - Fariz Musa)

Menurutnya, desas-desus tanggal 16 September tersebut bukan lagi cakap-cakap kosong yang tidak berasas tetapi akan menjadi realiti.

Mengulas kejayaan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang berjaya memenangi pilihan raya kecil di Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti besar adalah kerana kehendak rakyat yang mahukan perubahan.

Katanya, kejayaan Anwar ke Parlimen dianggap sebagai satu isyarat bahawa perubahan bakal berlaku dan PKR akan terus berkembang dalam negara ini.

Usaha PAS tingkat bidang pendidikan dihalang pihak berkuasa


Hulu Terengganu - Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib berkata PAS tidak pernah ketinggalan dalam menyediakan bidang pendidikan yang bermula seawal pra-sekolah, sekolah rendah, menengah hingga ke peringkat Universiti.


Beliau menyarankan agar umat Islam berusaha mencari ilmu pengetahuan di mana sahaja kerana menjadi keperluan yang amat penting dan mustahak masa kini.

Menurutnya Ilmu pengetahuan yang mendalam ibarat ‘senjata’ di zaman ini bagi menguasai dunia yang global agar tidak ketinggalan.


Beliau berkata pendidikan PAS berkembang maju sejak penubuhan pengajian pra-sekolah PASTI dan disambung dengan Sekolah-sekolah Rendah Islam seperti Darul At-Taqwa Batu Enam dan Kemaman, Darul Salam di Losong Kuala Terengganu, Darul Ehsan di Kubang Lembek Manir.


“Kita (PAS) terus maju dalam bidang pendidikan dengan menubuhkan Sekolah Darul Quran di peringkat menengah dan Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI),” jelasnya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Graduan KUDQI Kali Ke-6, di Dewan Utama Kubang Lembek, Manir, 31 Ogos lalu.


Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri ketika di bawah pemerintahan kerajaan PAS Terengganu mendakwa kejayaan PAS memasarkan anak-anak ke luar negara.


“Kita (PAS) bukan sahaja mampu menyediakan pendidikan kepada anak-anak di peringkat pra-sekolah, sekolah rendah dan menengah. Tetapi berjaya memasarkan anak-anak kita (PAS) ke luar negara untuk menyambung pengajian masing-masing,” ujarnya.


Menurutnya, anak-anak didik yang lulus di pusat-pusat pengajian yang disediakan berjaya melanjutkan pengajian di Mesir, Arab Saudi, Syria, Jordan, Yaman dan sebagainya.


Bahkan, katanya kejayaan yang lebih baik dan cemerlang pernah dicapai oleh para pelajar yang dihantar melalui pendidikan yang disediakan oleh PAS di luar negara.


Namun begitu, Ustaz Harun melahirkan rasa kesal dan dukacita dengan tindakan pihak berkuasa di negara ini melalui kedutaan tertentu cuba menyekat serta menutup usaha yang dilakukan oleh PAS itu.


Menurutnya, PAS mendapat maklumat jelas terdapat usaha di peringkat kedutaan tertentu yang mahukan beberapa buah Universiti terkenal seperti Al-Azhar di Mesir agar tidak mengiktiraf sistem pengajian Sekolah Agama Rakyat di negara ini.


Majlis Konvokesyen KUDQI tersebut disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan hadir sama Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali dan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Angkara JKKK, OKU dinafikan duit raya?





http://buletinonline.net/images/Berita10/jkkkduitraya.jpgMenteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said menyatakan Kerajaan negeri Terengganu meluluskan peruntukan RM46.594 juta sebagai bantuan kepada golongan yang memerlukan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.
Ahmad berkata, bantuan hari raya tersebut adalah untuk 153,201 penduduk terdiri daripada golongan miskin yang berpendapatan bawah RM1,500, warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal.

Menurutnya, bantuan berupa wang tunai itu adalah dari wang royalti minyak yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan bagi meringankan beban golongan tersebut membuat persiapan bagi menyambut hari kebesaran umat Islam itu.

"Bantuan akan mula diagihkan pada minggu pertama Ramadan ini dan akan diberi secara berperingkat-peringkat," katanya pada 25 Ogos lalu.

Beliau memberitahu, bagi golongan miskin melibatkan 90,490 penerima dan setiap keluarga akan menerima RM300, bagaimanapun jika keluarga berkenaan mempunyai lebih lima orang anak, mereka akan menerima RM500.

Namun sebaliknya tinjauan Buletin Online mendapati bukan semua rakyat dapat merasai ‘nikmat’ dana khas ‘duit raya’ yang dinyatakan oleh Ahmad.

Antaranya adalah sebuah keluarga miskin warga emas dari Kampung Bukit Nenas, Encik Nasir Hamzah, dari Kampung Bukit Nenas, dekat sini.

Beliau yang ditemui baru-baru ini mendakwa tidak menerima sebarang bantuan dana khas raya kecuali ketika pemerintahan kerajaan PAS Terengganu sebelum tahun 2004.

Walaupun beliau adalah penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri ini, namun menurutnya bantuan duit raya melalui dana khas telah ‘dipotong’ tanpa sebarang penjelasan.

“Saya tidak pernah bantuan raya dana khas sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah semula Terengganu ini tetapi dahulu ada juga sekali-sekala.

“Bantuan dana khas saya sudah ‘dipotong’ tetapi orang lain yang lebih senang dan berkemampuan terus dapat duit raya atau zakat,” jelasnya.

Beliau yang juga tergolong di kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) kerana masalah penglihatan masih menanggung persekolahan dua anak perempuan di peringkat menengah.

“Saya pun sudah lama tidak bekerja kerana masalah mata kabur dan mengharapkan bantuan bulanan pejabat kebajikan masyarakat,” ujarnya.

Walaupun begitu, beliau yakin bahawa rezeki adalah dari Allah SWT namun tangan-tangan manusia yang diberi amanah gagal untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan adil.

Tindakan pihak pemimpin masyarakat seperti JKKK, tidak wajar memilih ‘bulu’ atau berdendam dan bertindak menyisihkan beliau sepatutnya tidak berlaku, kata beliau.

Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein - 16 Septmber tidak mustahil


PETALING JAYA: Rata-rata penganalisis politik yang dihubungi beranggapan tidak mustahil untuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu membentuk kerajaan Persekutuan yang baru menjelang 16 September ini.

Menurut pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein dalam politik tidak ada apa yang mustahil.

Ketika ditanya adakah beliau yakin dengan usaha Anwar itu, beliau berkata:

“Tiada istilah mustahil dalam politik. Mungkin juga apa yang diperkatakan Anwar itu menjadi kenyataan. Namun semuanya bergantung kepada keadaan politik semasa.”

Jelasnya, perkara lompat parti itu mungkin mampun menjadi kenyataan kerana ahli politik adalah manusia dan mereka mempunyai pilihan untuk mencari yang terbaik.

“Kita kena ingat ahli politik ini manusia bukannya benda yang tidak punya keinginan untuk mendapat perkara yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, menurut pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk perkara tersebut tidak mustahil untuk berlaku walaupun beliau ragu-ragu mengenai kemungkinannya.

“Ia tidak mustahil... mungkin faktor masa akan menentukan sama ada ia benar-benar terjadi atau tidak,” katanya.

Menurut beliau, isu lompat parti ini bergantung kepada keadaan politik semasa dan jika benar ia terjadi rakyat perlu bersedia meneriman perubahan.

“Mungkin Barisan Nasional hanya akan menjadi sejarah dan kita akan dipimpin oleh Pakatan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Nizammudin Sulaiman berkata sukar untuk menjangkakan perkara tersebut akan berlaku.

"Agak sukar untuk menjangkakannya sekarang, tapi ia tidak mustahil untuk berlaku. Politik bersifat relatif dan ia bergantung kepada keadaan semasa,” katanya.

Jelasnya, isu-isu rakyat terutamanya masalah kenaikan harga minyak, inflasi dan ketidakstabilan politik mendorong isu lompat parti ini terjadi.

Ustaz Ramlang Porigi "Bimbang" kembali bertugas - Peguam


Ustaz Ramlang Porigi

Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang didakwa berkempen untuk PKR di Permatang Pauh, masih bimbangkan keselamatan dirinya jika kembali bertugas.

Sehubungan itu, peguamnya Ahmad Nizam Hamid berkata, Ramlang mungkin memohon cuti tambahan sehingga tempoh yang sesuai kembali bertugas di masjid itu di Jalan Duta.

Ketika dihubungi hari ini, Ahmad Nizam berkata, Ramlang sepatutnya kembali bertugas semula esok.

"Ramlang sedang menimbang untuk memohon cuti tambahan kerana bimbangkan keselamatan dirinya," tambahnya.

Menurut Ahmad Nizam lagi, Ramlang juga ada menerima panggilan daripada "pihak atasan" berhubung dakwaan imam tersebut berkempen atas pentas calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil tersebut.

Katanya, mereka mahu mendapatkan penjelasan daripada Ramlang berhubung perkara itu.

Sedia beri kerjasama

Ramlang muncul di Permatang Pauh sewaktu pilihanraya kecil baru-baru ini untuk memberi penjelasan apa yang berlaku di majlis sumpah laknat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan, pemuda yang mendakwa diliwat Anwar.

Pada 15 Ogos lepas, Saiful mengangkat sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan bahawa dia telah diliwat oleh Penasihat PKR pada 26 Jun.

Ramlang termasuk empat orang imam yang diarahkan menghadiri majlis angkat sumpah Saiful itu.

Ketika muncul di tiga majlis anjuran Pakatan Rakyat 24 Ogos lepas, dua hari sebelum hari pengundian, imam itu meminta supaya beliau tidak dikaitkan dengan majlis sumpah laknat Saiful kerana hadir tanpa perancangan awal dan hanya kebetulan berada di masjid untuk urusan pernikahan.

Ramlang juga menjelaskan beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah Saiful it tetapi tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.

Ahmad Nizam berkata, Ramlang bersedia memberi kerjasama dalam siasatan dalaman yang akan diadakan kelak.

Ulas kenyataan Zahid

"Kita yakin Ramlang tidak bersalah, dan beliau sedia beri kerjasama dalam siasatan tersebut," tambahnya.

Ditanya reaksinya terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zahid Hamidi mengenai siasatan dalaman tersebut, Ahmad berkata:
"Jangan bising ikut arahan kerajaan, sepatutnya ustaz ini (Ramlang) diberi penghormatan".

Sebaliknya, kata Ahmad Nizam, beliau amat menghormati Ramlang kerana beliau adalah seorang yang baik.

Ketika dihubungi hari ini, Ramlang berkata, beliau tidak dapat memberi sebarang kenyataan pada masa ini.

"Apa-apa, boleh berhubung dengan peguam saya," katanya.

Catatan
Semoga Allah melindungi beliau dalam menghadapi sebarang kesukaran dalam hidup selepas ini.

Pimpinan Pakatan Rakyat , semoga tidak ’TERLEPAS PANDANG”"

Malaysia Baru - Janji Anwar 16 September ini


PERMATANG PAUH, 2 Sept - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim mengulangi kenyataannya akan menurunkan harga petrolium serta membebaskan kesemua mereka yang merengkok dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) sekiranya kepimpinan kerajaan bertukar tangan pada 16 September ini.

Menurutnya, tarikh keramat itu diambil sempena kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia. Pakatan rakyat memerlukan 30 ahli parlimen berhijrah daripada Barisan Nasional (BN) ke gagasan baru untuk membentuk 'Malaysia Baru' yang lebih bergaya.

"16 September akan tercipta satu lagi lingkaran sejarah negara apabila Malaysia baru dibentuk dengan kemasukan Ahli Parlimen daripada Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Matlamat itu penting demi maruah negara yang telah berkecai ekoran tangan kotor kepimpinan negara yang berkuasa, " jelasnya lantang dalam majlis makan malam Pakatan Rakyat Pulau Pinang di tapak Ekspo Seberang Jaya semalam.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Salleh Man dan ramai lagi kepimpinan parti peringkat negeri.

Beliau membidas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta beliau tidak merampas proses demokrasi bagi penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Kata Anwar, bagi Abdullah, demokrasi yang ada sudah cukup menyelamatkan negara daripada dijajah kembali.

"Sekarang kita bercakap soal demokrasi yang tempang bukan dijajah. Demokrasi yang ada kini bukan membela rakyat pertengahan dan bawahan tapi saudagar atau kroni terdekat lagipun jika benar demokrasi menjadi teras negara kenapa ramai lagi di bawah ISA, " terang beliau.

Di mana letaknya demokrasi yang dimaksudkan, suara rakyat di sekat, kebebasan akhbar dan kepada individu yang rajin membatu Pakatan Rakyat ditakut-takutkan.

Bagaimana pun bagi rakyat Permatang Pauh segala dakwaan atau fitnah tidak langsung memberi kesan sebaliknya mereka menghadiahkan keputusan yang mengejutkan.

"Umno memang terkejut bilamana mendapati keputusan sebaliknya berlaku. Saya terhutang budi pada pengundi di Permatang Pauh kerana mereka sanggup memberi ruang kepada saya untuk mengubah langskap politik Malaysia," ujarnya

Sokong mufti Perlis, mufti Wilayah Persekutuan kenapa senyap?

Dewan pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyokong pendirian mufti Perlis berhubung konsert Avril yang telah diadakan. Mufti Perlis dalam kenyataannya menyelar penganjuran konsert Avril. Menurut beliau, penganjuran ini hanya menyumbang kepada masalah negatif remaja.

Walaupun kenyataan beliau keluar setelah konsert diadakan, tapi pendapat beliau sepatutnya menjadi rujukan selepas ini. Pemuda Wilayah mengucapkan tahniah kepada beliau di atas ketegasan yang sekurang-kurangnya menunjukkan ketegasan Islam dalam hal-hal yang membawa kemungkaran.

Walaubagaimanapun Pemuda Wilayah masih menunggu kenyataan daripada mufti Wilayah Persekutuan sendiri yang sebelum ini berani memberi fatwa berhubung sumpah Saiful. Jika berkaitan sumpah saiful, yang masih ada khilaf boleh mengeluarkan fatwa, kenapa yang berkaitan dengan hukum yang jelas ini beliau senyap.

Beliau sepatutnya malu dengan keberanian mufti Perlis Dato’ Asri Zainal Abidin. Ini kerana Mufti Wilayah Persekutuan lebih berautoriti dalam hal-hal yang berlaku di dalam Wilayah Persekutuan.

Pemuda Wilayah meminta mufti-mufti tidak hanya jadi syaitan bisu berhubung permasalahan umat Islam. Pemuda Wilayah sekali lagi mendesak jika tidak mampu membawa suara umat Islam, sila letak jawatan. Ramai yang lebih layak memegang jawatan tersebut.

Pemuda Wilayah juga menyelar pemimpin-pemimpin UMNO yang senyap mengenai hal ini. Takut mengeluarkan suara. Adakah kerana ada puaka di belakang mereka ini. yang menyebabkan mereka kunci mulut.? Atau adakah pemimpin UMNO merestui maksiat di negara ini? Apa guna Zahid Hamidi memegang port folio yang berkaitan dengan agama Islam jika tidak mampu menghalang maksiat yang besar seperti ini?

Islam akan terus di permainkan selagi pemimpin-pemimpin UMNo memegang tampik kekuasaan. Pemimpin-pemimpin UMNO dilihat sudah tidak mampu mempertahankan agama Islam.

Pemuda Wilayah mengharapkan selepas ini, perkara yang berkaitan dengan sesitiviti umat Islam di ambil kira sebelum meluluskan suatu program.

Perak tak tumbang, Tajol dan Nizar sekadar bertemu 31 Ogos


PETALING JAYA: Sasaran 31 Ogos bagi Barisan Nasional (BN) untuk mengambil alih kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat tidak kesampaian.

Ternyata keyakinan yang dilahirkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali (gambar atas) awal bulan ini kerajaan negeri pimpinan pembangkang itu akan jatuh menjelang sambutan Merdeka tidak menjadi kenyataan.

Tajol ketika dihubungi hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.

“Tak payah komenlah,” katanya ringkas.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar bawah) yang turut dihubungi berkata, beliau juga menunggu perkara itu berlaku, namun ia ternyata tidak menjadi kenyataan.

“Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak masih mempunyai 31 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) pada 31 Ogos. Tiada perubahan... tiada yang melompat (parti),” katanya.

Mohammad Nizar berkata, beliau ada bertemu dengan Tajol ketika upacara perbarisan Hari Merdeka peringkat negeri di Ipoh semalam, namun katanya mereka sekadar bersalam dan bertanya khabar.

“Saya jumpa beliau... saya tunggu juga kalau-kalau ada pengumuman yang beliau hendak lakukan tapi tak ada pula.

“Saya bersalaman... bertanya khabar dan ucapkan Selamat Hari Merdeka dan selamat berpuasa kepada beliau. Tiada pula tanda-tanda yang beliau akan menggulingkan kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan Tajol mempunyai tarikh lain selepas ini untuk mengambil alih kerajaan pimpinannya, Mohammad Nizar berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

“Itu kenalah tanya dia. Saya tidak tahu kenapa ia tidak berlaku (ambil alih kerajaan)...ada perkara-perkara yang tidak tercapai.

“Namun, apa yang penting matlamat kerajaan Pakatan Rakyat pada hari merdeka adalah memerdekakan negeri Perak dari kejahilan dan semangat perkauman,” katanya.

Bulan lalu, Tajol yang juga Pengerusi BN Perak mengharapkan lebih daripada dua ADUN Pakatan Rakyat akan menyertai BN dan beliau turut menawarkan jawatan Menteri Besar kepada PAS sekiranya parti itu bersedia membentuk kerajaan campuran dengan BN.






Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .