Kemenangan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim tiga bulan lalu InsyaAllah akan diulangi oleh Bendahari PAS Terengganu yang menjadi calon Piliahnaraya Keil P.036 Kuala Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut yang mewakili Pakatan Rakyat.
Persoalannya, adakah pilihan raya kecil ini hanyalah suatu medan untuk memenuhi jawapan kepada persoalan politik semata-mata atau sesuatu yang lebih besar dari itu.
Setelah Tsunami politik yang berlaku dalam Pilihanraya Umum Mac lalu, PAS dilihat sebagi ‘king maker’ yang dilihat menentukan arah tuju politik Malaysia masa depan.
Politik mendasari Islam sebagai cara hidup yang lengkap, yang dibawa oleh PAS semakin mendapat sambutan dengan peningkatan keahlian Kelab Penyokong PAS diseluruh tanah air.
Justeru, kerangka pemikiran Islam perlu wujud dalam setiap sudut pandangan yang pastinya melihat Pilihanaraya Kecil Kuala Terengganu dari sudut matlamat dan halatuju Ilahiyyah.
Berikut adalah wawancara antara Wan Kay, wartawan Buletinonline bersama Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di rumahnya di Rusila, Marang, semalam
Soalan (S): Pilihan Raya Kecil P.36 akan diadakan pada 17 Januari 2009 ini. Umumnya, apa yang menarik perhatian Tuan Guru kali ini?
Jawapan(J): Firman Allah Taala dalam surah al-Imran yang bermaksud,”Dan hendaklah ada di kalangan kamu yakni, wahai orang-orang yang beriman satu kumpulan yang menyuruh kepada yang baik, yang menyeru kepada yang baik, menyeru kepada yang ma’aruf dan yang menegah kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan”.
Peranan PAS dalam pilihan raya ini adalah unntuk menunaikan kewajipan fardhu kifayah yang sangat besar di dalam agama Islam. Wajib ada di kalangan umat Islam yang mengajak manusia kembali semula kepada Islam dengan makna yang menyeluruh sebagaimana yang diajar oleh Nabi kita Muhamad SAW, bagi mendirikan pemerintahan Islam. Apabila kita tidak berjaya mendirikan pemerintahan Islam. Pemerintah yang ada ialah pemerintah yang tidak menjadikan Islam sebagai hukum-hukum yang berdaulat dan memerintah. Ini adalah kemungkaran yang sangat besar dalam agama Islam. Apabila berlakunya kemungkaran, Nabi Muhamad SAW bersabda, yang bermaksud “Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara yang mungkar hendaklah dia mengubah dengan tangan, sekiranya tidak mampu maka dengan lidah, sekiranya tidak mampu maka benci dalam hati”.
Penyertaan dalam pilihan raya ialah untuk melaksanakan kewajipan ini walaupun kita (PAS) tidak berjaya mengubah dengan tangan, mendirikan kuasa memerintah. Tetapi masih ada lagi peluang untuk mengubah dengan lidah dan hati. Dengan lidah ialah kita (PAS) menyertai amalan demokrasi melalui pilihan raya. Kita (PAS) menghantar wakil yang boleh berucap dengan lidahnya di dalam Parlimen bagi pihak kita (PAS) untuk menyatakan risalah atau mesej. Disebut di dalam ayat tadi ‘menyuruh kepada
yang baik dan mencegah kemungkaran’. Dan pilihan raya ialah untuk melahirkan rasa ingkar kita (rakyat) terhadap apa yang berlaku dengan kita (rakyat) tidak menyokong Barisan Nasional (BN) dan mengundi PAS parti yang memperjuangkan Islam. Inilah perkara yang paling besar yang perlu diberi penekanan lebih daripada isu-isu yang ditimbulkan dalam kehidupan kita tanpa menafikan isu itu juga perkara yang penting dalam kehidupan kita. Tetapi bagi orang Islam menjadi penekanan yang utama.
S: Bagaimana, Tuan Guru melihat ‘mood’ rakyat terutama para pengundi di Kuala Terengganu hari ini?
J: Dalam perjalanan saya sepanjang kempen pilihan raya ini sama ada lawatan atau pun majlis ceramah umum dan ceramah kecil. Saya dapati sambutan yang sangat positif kepada PAS daripada pengundi-pengundi kerana tumpuan kita (PAS) adalah pengundi-pengundi. Di samping penyokong PAS yang sedia ada kita (PAS) mendapat sambutan daripada pengundi-pengundi yang selama ini disebut ‘atas pagar’ (tiada pendirian). Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik dan di antara yang menarik ialah sambutan yang diberi oleh pengundi-pengundi Cina. Mereka melahirkan secara terbuka untuk mengundi PAS dalam pilihan raya kali ini. Ini adalah suatu perubahan yang sangat menarik dan kita (PAS) mengharap sedikit sebanyak akan menolong kita mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil ini.
S: Apakah pentingnya kerusi Parlimen Kuala Terengganu ini perlu dimenangi oleh PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil ini?
J: Pertama, prinsip Islam yang saya sebutkan tadi iaitu menghantar wakil untuk menjalankan kewajipan agama yang merupakan fardhu kifayah. Kedua, kita (PAS) perlu menghantar wakil yang boleh bersama dengan rakyat dan bukan wakil yang ‘duduk’ (tinggal) di Kuala Lumpur. ‘Duduk’ di Pusat Pemerintahan yang tidak memberi pulangan-pulangan yang sepatutnya kepada rakyat. Setelah berlangsung kita mencapai kemerdekaan 50 tahun dan kita berada di bawah Barisan Nasional.
Kita (PAS) tidak menafikan adanya pembangunan-pembangunan kemudahan asas. Ini bukannya perkara yang asasi dalam memilih parti dalam pilihan raya kerana itu adalah perkara penting yang diamalkan oleh siapa sahaja yang menjadi kerajaan. Apa yang penting ialah cara mengendalikan pembangunan di dalam negeri. Kita (PAS) melihat masih lagi berlaku perkara-perkara yang memencilkan rakyat dari segi mendapat habuan yang sebenarnya daripada kekayaan negeri yang diberikan oleh Allah SWT. Apa yang berlaku ialah amaran Allah yang bermaksud, “Apa-apa yang Allah SWT kurniakan secara mudah, secara aman kepada sesebuah negeri maka ia adalah dari Allah dan Rasul, yakni bagi kepentingan umum, bagi kaum keluarga anak-anak yatim dan orang-orang miskin serta orang-orang yang putus belanja dalam perjalanan supaya harta kekayaan itu tidak berpusing di kalangan orang-orang yang tertentu sahaja”.
Kita melihat banyak projek-projek yang dapat dilihat oleh penduduk di Kuala Terengganu ini sendiri seperti Monsun Cup di Pualau Duyong, Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan lain-lain. Adalah projek-projek yang hanya lebih memberi keuntungan kepada golongan yang tertentu sebagaimana yang disebut oleh al-Quran. Ini adalah salah satu kemungkaran yang ketara dilihat oleh penduduk di Kuala Terengganu. Dan saya melihat penduduk di Kuala Terengganu telah memberi sokongan kepada calon-calon ‘state’ (negeri) kita dalam pilihan raya yang lalu (PRU Ke-12).
Oleh sebab itu, tidak manasabah mereka (rakyat) terus memberi sokongan kepada Parlimen dengan undi yang besar di samping undi di kawasan Kuala Terengganu. Jadi tidak timbul lagi bagi orang tionghua untuk memilih calon tionghua kerana dua calon adalah daripada orang Melayu. Yang penting ialah kaum tionghua yang menjadi pengundi di kawasan Kuala Terengganu menghantar wakil ke Parlimen untuk membawa mesej penduduk Kuala Terengganu di peringkat pusat dalam erti kata sebenar.
S: Haji Mohd Abdul Wahid Endut adalah calon pilihan PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil P.36 ini. Bagaimana personaliti calon pada pandangan Tuan Guru?
J: Apabila parti mengamanahkan saya memilih calon dan saya memilih Haji Mohd Abdul Wahid Endut sebagai calon PAS kerana melihat beberapa keistimewaan yang ada pada beliau. Pertama, beliau telah berpengalaman menjadi wakil rakyat selama lima penggal. Satu tempoh yang panjang dan menunjukkan khidmat yang cemerlang dalam tempoh itu dan tidak ada rungutan di kawasan dia (Wahid) sendiri. Oleh kerana itu, kita bertekad meletakkan beliau sebagai wakil rakyat ke peringkat Parlimen yang lebih luas.
Kedua, beliau adalah bekas Exco Kerajaan Negeri yang menjaga kepentingan peniaga kecil, koperasi dan belia. Di mana rata-rata penduduk di Kuala Terengganu adalah di kalangan peniaga-peniaga kecil, pasar-pasar dan pengguna-pengguna kepada bahan-bahan perdagangan dan merupakan kaum belia yang menjadi undi penentu dalam pilihan raya yang sangat penting. Oleh kerana itu, kita mengharapkan khidmat beliau yang telah lalu dapat dilihat oleh penduduk Kuala Terengganu sendiri dan saya dimaklumkan, beliau mendapat ‘respon’ atau sambutan yang sangat baik daripada persatuan pengguna dan persatuan perniaga-perniaga, di pasardan lain-lain. Ini adalah satu tanda yang sangat positif dan kita telah memberi satu pilihan yang sangat besar.
S: Harapan Tuan Guru kepada rakyat terutama para pengundi di Kuala Terengganu menjelang tarikh 17 januari 2009 ini?
J: Harapan saya supaya rakyat jadikan undi dalam pilihan raya kecil ini adalah suatu amanah yang sangat besar. Sebagaimana yang disebut oleh Tuhan di dalam al-Quran yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya kamu menunaikan amanah kepada orang yang ahli untuk menunaikan amanah itu dan apabila kam menghukum hendaklah kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah, memerintah kamu dengan ajaran yang sebaik-baiknya”.
Amanah yang paling besar dalam ajaran Islam ialah memilih pemimpin. Di mana, memilih wakil rakyat adalah memilih pemimpin dan kita memberi amanah kepada rakyat Kuala Terengganu supaya memilih pemimpin yang tepat. Haji Mohd Abdul Wahid Endut untuk menjalankan mesej sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah iaitu menyampaikan mesej Islam hukum yang adil untuk mendedahkan penyelewengan yang berlaku dan menuntut keadilan bagi rakyat di kawasan Kuala Terengganu secara khusus dan rakyat Malaysia secara umum. Dan kita mahu pemilihan ini juga menjadi satu anjakan kepada perubahan politik bagi negeri Terengganu khasnya dan seluruh Negara amnya untuk pilihan raya yang akan datang bagi menukar parti Barisan Nasional yang diteraskan oleh Umno, yang sudah mempunyai penyakit-penyakit yang tidak layak lagi untuk meneruskan pemerintahan.
Ikuti Blog ini
Membawa Suara Rakyat dan Melaksanakan Fardhu Kifayah ,Khamis, Januari 15, 2009 at 15.1.09,
Detik 17 Januari 2009 ini merupakan penentuan yang akan melakar sejarah baru membawa penentu perubahan lanskap politik tanahair.