Ikuti Blog ini

Siang ke sekolah malam bantu berkempen

http://buletinonline.net/images/stories/berita/istericalonpas.JPGWan Fatimah yang mengikuti ceramah keenam dihadiri Mohd. Abdul Wahid di kawasan Jalan Bandar Baru, Kampung Pulau Kambing kira-kira pukul 11 malam berkongsi pengalaman 'politik' beliau lebih dua dekad.

"Saya rasa terharu kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk mewakili parti. Pemilihan ini (Mohd. Abdul Wahid sebagai calon) sangat besar makna, amanah daripada parti.

"... kami menerima amanah ini untuk memastikan dapat menambah suara parti di Parlimen, membawa suara rakyat ke Parlimen," kata guru ini yang turut ditemani adik iparnya, Madiah Endut dan ibu Mohd. Abdul Wahid, Maznah Abu Bakar ketika mengikuti ceramah tersebut.

Rumah Mak cik Maznah hanya beberapa meter jauh dari lokasi ceramah itu.

Dengan memainkan peranan sebagai guru, suri rumah dan isteri wakil rakyat, Wan Fatimah berkata, beliau juga tidak terlepas daripada tanggungjawab sebagai 'jambatan' antara wakil rakyat itu dengan penduduk tempatan.

"Kalau beliau tidak kelapangan, saya akan menjadi wakil... membantu mengurangkan beban beliau," katanya.

"Sekarang, waktu siang saya ke sekolah dan waktu malam saya membantu berkempen... oleh kerana sekarang ini musim persekolahan, saya tidak boleh mengambil cuti, lagi pun sesi persekolahan baru mula," katanya.

Apabila ditanya tentang kelainan persekitaran kempen pilihan raya pada 1986 dan sekarang, Wan Fatimah dalam kata-kata tersusun berkata: "Dulu fikiran pengundi agak tertutup... sukar untuk mendampingi pengundi, tapi kini lebih terbuka terutama di kawasan bandar."

"Ini kelainan ketara dulu dan sekarang," katanya.

Bahagian Parlimen Kuala Terengganu terdiri daripada empat kerusi DUN iaitu Bandar, Ladang, Batu Burok dan Wakaf Mempelam.
Mohd. Abdul Wahid merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri selama lima penggal.

http://buletinonline.net/images/stories/berita/wahid%20&%20isteri.JPGMengenai cabaran menghadapi kempen kali ini, Wan Fatimah, ibu kepada sembilan orang anak ini menjelaskan: "Kita anggap ini sebagai tugas jemaah, tanggungjawab semua orang... seorang sahaja tidak mampu untuk melakukannya."

"Satu lagi cabaran ialah dulu tiada wang, sekarang wang banyak ditaburkan, media digunakan dengan luas," ujar beliau.

Lima daripada sembilan anaknya juga merupakan guru.

Wan Fatimah yang turut yakin suaminya akan mencatatkan kejayaan Sabtu ini berkata, beliau juga berkempen dari rumah ke rumah dan memberikan ceramah kepada kaum wanita.

Beliau mengambil bahagian kira-kira empat hingga enam program sehari bergantung pada hari berkempen.
Misalnya, kata Wan Fatimah, beliau telah menyertai enam program Sabtu lalu.

"Malah, dari dulu lagi saya membantu suami saya berkongsi tugas dan tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat... apa yang perlu saya lakukan, saya membantu beliau, antara menyelesaikan masalah yang dibawa pengundi," kata beliau.

Di sekolah beliau turut memikul tanggungjawab menyelia hal ehwal murid.

"Cukup seronok apabila membantu (orang ramai), apabila dapat mengetahui kesukaran mereka dan membantu mereka," katanya.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .