Ikuti Blog ini

BILA ZAHID TAK MUNCUL - HUSAM

Malam tadi saya dijadualkan berdebat dengan Naib Presiden UMNO yang juga seorang menteri kanan kabinet Malaysia: Datuk Zahid Hamidi. Persoalan sekitar rasuah dan korupsi yang sangat relevan dengan ancaman negara masa kini.

Iklan mengenainya telah disiarkan berhari-hari oleh TV9 dan juga TV3. Saya telah menyatakan persetujuan saya menyertai debat ini selepas pegawai saya mengesahkan dengan pihak pengajur, Datuk Zahid confirm datang. Zahid, tegas saya, bukan orang lain.

Isu sepenting ini, jika kita serius, hendaklah dibincangkan dengan penyertaan pihak yang berautoriti, samada dalam parti mahu pun kerajaan. Itu sebab saya mensyaratkan tokoh seperti Datuk Zahid atau orang yang sepadan dengan beliau.

Jadualnya, 26 Mei, malam. 25 Mei, malam, TV3 mula menyiarkan iklan saya berdebat dengan Sdr Ezam, tanpa persetujuan saya terlebih dahulu. Pada hemat saya, penganjur langsung tidak profesional dan Datuk Zahid langsung tidak bertanggungjawab. Kalau Datuk Zahid menggantikan seseorang seperti Setiausaha Politik beliau, cukup untuk menunjukkan rasa hormat terhadap tanggungjawab beliau kepada masyarakat umum sebagai Menteri Kabinet.

Jika Zahid tak berkelapangan di saat akhir selepas berhari-hari iklan tersiar, saya mencadangkan kepada pengajur, ia diadakan pada tarikh lain Datuk Zahid berkelapangan.

Tengah hari semalam, saya telah meminta pegawai saya menyerahkan dengan serahan tangan satu surat meminta Datuk Zahid mengotakan janji beliau dan dapat hadhir seperti yang diiklankan.

Mengikut pembantu di pejabat Datuk Zahid, bos mereka ke luar negara! Saya rasa tak menasabah. Sebab itu, selepas
sah Datuk Zahid tidak hadhir ketika program hampir dimulakan malam tadi, saya telah menalipon sendiri beliau. Datuk Zahid ada di Malaysia!

Saya meminta Datuk Zahid menetapkan satu tarikh baru bagi debat kami. Penganjur boleh menghubungi Datuk Zahid semula. Sebulan tak ada kosong, tiga empat bulan lagi tidak menjadi masalah kepada saya.

Janganlah iklan berdegar-degar, tetapi tidak siapa ingin mengambil tanggungjawab dari gagalnya debat pada malam tadi. Tidak Zahid, tidak juga TV9?

Saya sudah berada di Sri Pentas malam tadi. Zahid tidak muncul.

Saya kesal, tapi saya bersedia menunggu untuk tarikh yang baru.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .