Ikuti Blog ini

Nizar Diminta Pertimbangkan Tanding Jawatan Naib Presiden PAS

Akhbar MSTAR melaporkan Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak jawatan Naib Presiden PAS Jun ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, beliau belum memikirkan perkara itu dengan mendalam kerana mahu memberikan tumpuan terhadap kesnya di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 4 hingga 6 Jun ini.

"Setakat ini belum terlintas dalam sanubari saya (untuk memikirkan soal pencalonan jawatan dalam parti)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pas Kawasan Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun rata-rata ahli-ahli PAS seluruh negara berpandangan dan yakin bahawa ahli parlimen Bukit Gantang itu akan memberikan pertimbangan yang wajar untuk beliau menerima pencalonan seterusnya bertanding sebagai Naib Presiden parti pada pemilihan di muktamar PAS yang akan datang ini.

Beberapa kawasan telah meletakkan nama beliau sebagai pilihan yang pertama di dalam merebut jawatan Naib Presiden.

Ini kerana PAS amat memerlukan kepimpinan beliau dan ramai melihat Mohd Nizar mampu untuk menjadi tokoh yang dapat menunjukkan kepimpinan berkualiti yang diharapkan di dalam sebuah organisasi yang juga harakah Islam seperti PAS.

Ketrampilan dan ketokohan Mohd. Nizar bukan saja diterima oleh semua pihak di dalam PAS, malah dikagumi dan digeruni oleh mereka yang di luar PAS. Mungkin ayat ini berlebihan namun pada hakikatnya tiada siapa yang dapat menyangkal kehadiran Mohd Nizar di pentas politik tanah air yang membawa PAS bersamanya telah banyak membuka mata masyarakat negara ini terhadap perjuangan PAS.

Mohd Nizar berjaya menterjemahkan slogan PAS For All dari kata-kata kosong kepada sesuatu yang praktikal sehingga usaha memasyarakatkan PAS yang selama ini seperti terlalu sukar perjalanannya menjadi terang dan jelas.

Mohd Nizar ada memainkan peranannya yang tersendiri untuk menarik sokongan masyarakat bukan-Islam terhadap PAS. Dan kepimpinannya di dalam parti ini dinanti-nantikan sebagai tokoh yang bukan sekadar beretorika tetapi lebih kepada menterjemahkannya di dalam bentuk amaliah sesuai dengan peranan pemimpin slam yang sepatutnya menjadi contoh tauladan yang terbaik (uswatun-hasanah).

Malah kenyataannya bahawa "setakat ini belum terlintas dalam sanubarinya (untuk memikirkan soal pencalonan jawatan dalam parti)" sudah cukup untuk membuktikan bahawa beliau seorang yang tawadhu' dan bukan gila jawatan seperti yang ditunjukkan oleh segelintir pemimpin PAS yang lain yang telah awal-awal memproklamirkan kesediaan bertanding walaupun ada diantara mereka belum pun menerima pencalonan.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .