Ikuti Blog ini

UMNO BN Ditalqinkan Pada Sidang DUN 7 Mei?

Empat hari sebelum sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang dipanggil oleh kerajaan kudeta tajaan Umno-Barisan Nasional suasana disekitar bandaraya Ipoh nampak tenang pada permukaan.

Warga Ipoh Bandaraya Bunga Kertas mundar mandir sebuk dengan urusan harian dan perniagaan mereka tanpa ada gangguan terhadap jadual kehidupan mereka - setakat ini.

Mereka sedar bandaraya itu akan menjadi medan pertembungan politik yang amat bersejarah dalam kesinambungan pergolakan politik negeri Darul Ridzuan sejak 5 Februari lalu apabila Umno-BN melalui permainan politik kotor dan licik telah mengheret institusi raja yang selama ini disanjung tinggi rakyat untuk menumbangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang sah.

Semakin dekat kepada tarikh 7 Mei semakin kuatlah daya tarikan yang akan memusatkan rakyat seluruh negeri Perak dan negara ke Ipoh bagi menyaksikan peristiwa bersejarah ini.

Walaupun secara prosedur sidang itu menyalahi peraturan kerana membelakangi dan menghina kuasa Speaker, namun atas dasar menghidupkan amalan demokrasi dan sikap kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mahu terus mempertahankan prinsip keluhuran undang-undang dan taat setia kepada Sultan Perak, ditelan jugalah kepahitan yang dipaksa ke atasnya.

Umno-BN terus melakukan kezaliman demi kezaliman di negeri yang penuh bersejarah itu. Bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874 yang menyaksikan permulaan penjajahan Inggeris secara rasmi dibumi Tanah Melayu melalui sistem Residen sehinggalah tertubuhnya kerajaan haram Umno-BN tiga bulan lalu, negeri Perak tidak putus-putus menjadi saksi kepada segala jenis muslihat politik jahat yang membelenggu rakyat jelata negeri ini.

Sungguh malang nasib negeri yang kaya dengan sejarah, kaya hasil mahsul, kaya alam semulajadi yang menguja setiap pengunjung, kaya ilmu tetapi miskin prinsip, miskin kehormatan diri dan miskin politik harga diri.

Umno dan BN bukan sahaja telah menjual harga diri mereka demi kerakusan kuasa dan kedudukan dengan harga picisan malah menjual kehormatan rakyat Perak dengan menafikan hak memilih kerajaan sendiri.

Kelakuan mereka sepertilah beruk mendapat bunga - menodai segala prinsip dan amalan demokrasi tanpa segan silu setelah merampas kuasa secara haram.

Yang pasti apa sahaja perancangan Umno-BN untuk terus kekal berkuasa secara haram hanya akan mendekatkan mereka ke liang lahad politik.

Sidang DUN pada 7 Mei depan akan sekali lagi menzahirkan hakikat ini dan menggariskan rasa marah rakyat terhadap parti itu.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .