Ikuti Blog ini

Tuan Guru Nik Aziz pelawa SAPP sertai Pakatan Rakyat


KOTA BHARU, 22 Jun (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengajak Parti Maju Sabah (SAPP) menyertai Pakatan Rakyat, sekiranya parti itu kecewa dalam pakatan Barisan Nasional (BN) yang telah disertainya sekian lama.

Tuan Guru berkata, Pakatan bersedia memberi laluan kepada parti itu untuk membuka lembaran baru dalam sejarah politik negara sekiranya SAPP berminat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan tapak projek Bandar Stelit Pasir Tumbuh, Khamis lalu apabila parti itu memperlihatkan rasa kecewa terhadap kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden BN.

Menurutnya, tindakan SAPP itu jelas menunjukkan sikap orang yang kecewa, untuk itu beliau diseru menyertai Pakatan Rakyat.

"Memang kami belum mengenali secara keseluruhannya parti itu, namun ia boleh berbincang dan dengan cara ini sudah mula ada titik pertemuan antara Pakatan Rakyat dan SAPP yang jelas begitu kecewa dalam pakatannya dengan BN selama ini.

"SAPP sebenarnya sudah melalui jalan pembangkang, ini memberi gambaran yang baik untuk menjalinkan pakatan yang baru," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas adakah usaha untuk mengajak parti itu menyertai Pakatan selepas parti itu mengumumkan rasa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah.

Ketika ditanya adakah PAS bersedia menyokong usul tersebut sekiranya dibentangkan di Parlimen, beliau memberitahu perkara itu akan berlaku.

Sambungnya, ini kerana usaha untuk menyingkir Perdana Menteri itu bukan atas peribadi, sebaliknya atas dasar serta ketidakupayaannya mentadbir negara.

Jumaat lalu, Presiden parti itu, Yong Teck Lee, mengisytiharkan partinya hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden BN.

Ketika mengumumkan perkara itu, Yong dan dua Anggota Parlimennya, Dato' Eric Majimbun (Sepanggar) dan Dato' Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul tidak percaya di Dewan Rakyat yang bakal bersidang Isnin ini.

"SAPP sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, peruntukan undi tidak percaya ada dalam Perlembagaan, dan menjadi sebahagian proses demokrasi di negara ini," ujarnya dalam sidang media itu.

Tuan Guru sebelum itu merasmikan tapak projek Bandar Stalet Pasir Tumbuh yang bernilai RM100juta di atas stanah seluas 20 ekar. - mns_

Iklim politik Malaysia tidak lagi sihat - Tengku Razaleigh

GLUGOR, 21 Jun - Mantan Menteri Kewangan Malaysia, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan iklim politik Malaysia semakin sakit berikutan kemunculan suara-suara desakan selepas pilihan raya umum ke 12.

Dari segi demokrasi memang ia satu perkembangan yang baik tetapi untuk kepentingan parti Umno dan Barisan Nasional (BN) ia satu yang mendukacitakan, katanya.

"Desakan pada kerajaan semakin membara dan ini mengambarkan iklim politik Malaysia makin bercelaru dan tidak sihat. Apa akan berlaku pada masa depan," jelasnya ketika ditanya wartawan selepas ucaptama dalam program Kongres Permuafakatan Melayu Pulau Pinang Zon Utara di Dewan Kuliah 'U' Univesiti Sains Malaysia (USM), Glugor pagi tadi.

Beliau ketika mengulas tindakan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Dato' Seri Yong Tek Lee yang mahu mencetuskan undi tidak percaya pada Persidangan Parlimen Isnin ini menambah, ia satu keputusan yang memperlihatkan BN tidak lagi seutuh dulu.

Rakyat sekarang ini bijak menilai dan mereka telah lakukan tindakan dalam pilihan raya umum lepas di mana BN kehilangan banyak kerusi dan hilang empat negeri di Pantai Barat dan gagal menawan Kelantan, katanya.

"Kemelut inilah yang membuatkan wujud suara-suara yang boleh mengancam BN secara menyeluruh," terangnya.

Senario ini katanya, menjadi semakin tegang apabila SAPP sebuah parti dari komponen BN di Sabah mengisytiharkan melakukan undi tidak percaya pada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di parlimen Isnin ini.

Semalam Perdana Menteri mengumumkan tidak akan mengenakan tindakan pada SAPP kerana ia bukan suara keseluruhan SAPP malahan ia hanya dari Presidenya sahaja.

Tetapi, dalam perhimpunan SAPP semalam sudah memutuskan segala-galanya ia adalah suara SAPP bukan secebis keluhan daripada seorang dua kepimpinan tertinggi sahaja.

Kongres Kemuafakatan Melayu Zon Utara kali ini dianjurkan bersama antara Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Ikatan Kelab-Kelab Melayu Pulau Pinang (Ikatan).

Beberapa kertas kerja dibentangkan antaranya oleh Profesor Dato' Dr Zainal Kling bertajuk 'Kedaulatan Kebudayaan, Pendidikan, Bahasa dan Agama Bangsa Melayu'.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Haji Azmi Abdul Hamid dengan tajuk 'Mencetuskan Kebangkitan Bangsa' dan 'Melakar Masa Depan Bangsa Melayu Berpaksikan Kedaulatan Perlembagaan Malaysia oleh Profesor Madya Dr. Mustaffa Kasim dari Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Protes harga minyak: ketua AMK Terengganu ditahan polis

KUALA TERENGGANU, 21 Jun (Muslimeen united) - Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu, Fariz Musa ditahan polis ketika mengetuai satu tunjuk perasaan secara aman anjuran Protes bagi membantah kenaikan harga bahan api.

Beliau ditahan ketika selesai mengadakan sidang media pada jam 3.15 petang di tempat letak kereta selepas berucap di dua tempat berasingan iaitu di perkarangan Masjid Al-Muktafibillah Shah Ladang dan di Dataran Shah Bandar, dekat sini, semalam.

Ketika berucap, katanya tunjuk perasaan secara aman itu bagi menuntut agar kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) dan negeri mengambil langkah segera menurunkan harga bahan api tersebut.

Menurut Fariz, Malaysia merupakan sebuah negara pengeluar minyak yang terbesar di Asia Tenggara.

"Kami menuntut supaya kerajaan dapat membentang secara terperinci laporan kewangan tahunan Petronas dalam dan luar negara termasuk punca-punca keuntungan dan perbelanjaan kepada umum melalui Parlimen," tegasnya.

Selain itu, katanya AMK Terengganu mahukan agar kerajaan dapat meningkatkan purata pendapatan rakyat di negara ini sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan bagi mengimbangi kenaikan petrol serta kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurutnya, rakyat turut mendesak kerajaan BN Terengganu agar tidak menarik balik saman terhadap Petronas akibat keingkaran perjanjian yang dibuat ketika kerajaan PAS memerintah Terengganu.

"Kita mahu setelah royalti petroleum dikembalikan, bantuan tunai kebajikan rakyat miskin sebanyak 80 peratus dinaikkan dan mesti dibuat pengagihan secara adil, saksama dan telus kepada mereka yang layak," ujarnya.

Selain itu, katanya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan seluruh ahli Kabinet Umno dan kerajaan Barisan Nasional perlu meletakkan jawatan masing-masing dengan segera.

Beliau ditahan di bawah seksyen 27(5) menganjurkan perhimpunan haram serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan dibebaskan pada jam 6.30 petang dengan jaminan polis.

Perhimpunan Protes itu disertai oleh lebih 100 orang yang sentiasa diasak dengan pelbagai 'ugutan' tangkapan oleh pihak polis agar orang ramai segera bersurai bagi menghalang demontrasi aman tersebut diteruskan._

Yong nafi ditawar jawatan TPM

Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menyifatkan sebagai tidak masuk akal dakwaan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bahawa beliau mengkritik Perdana Menteri kerana termakan tawaran daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya tidak termimpi pun mahu jadi Timbalan Perdana Menteri. Mungkin kerana saya lantang menyuarakan isu mengenai Sabah maka beliau (Khairy) boleh cakap apa aja.

"Kalau bukan kerana kemenangan cemerlang BN Sabah dan Sarawak...BN sudah jatuh dalam pilihanraya yang lepas. Jadi apa salahnya kita minta perhatian sedikit. Khairy seorang muda. Dia kena banyak belajar (dalam politik)," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Serbaguna Likas, dekat sini hari ini.

Semalam, Khairy berkata beliau difahamkan Yong akan dilantik jawatan nombor dua kerajaan sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri kelak.

Yong berkata beliau tidak tamak jawatan dalam kerajaan seperti yang diwar-warkan dalam media, demikian menurut laporan Bernama.

"Saya ditawarkan jawatan senator dan Wakil Khas berkaitan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) tetapi saya tidak terima kerana saya melihatnya sebagai "sogokan politik" supaya tidak terus menyuarakan isu-isu mengenai Sabah," katanya.

Yong juga ditanya sama ada SAPP akan mengambil tindakan terhadap Timbalan Presiden SAPP Datuk Raymond Tan yang tidak sehaluan dengan ahli Majlis Tertinggi SAPP dalam memutuskan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Menurut beliau, parti itu tidak bercadang berbuat demikian.

BPR nafi ugutan

Sementara itu, Bernama turut melaporkan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini menafikan dakwaan Yong bahawa tindakan BPR membuka kertas siasatan ke atasnya sebagai satu ugutan.

Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata badan itu tidak pernah mengugut sesiapa pun dan tindakan BPR itu tidak bermotifkan politik atau atas arahan mana-mana pihak.

"Sebagai sebuah badan penguatkuasa undang-undang, kita jalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Mengenai masa kertas siasatan itu dibuka iaitu sehari selepas Yong membuat kenyataan tidak percaya kepada pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ahmad Said berkata ia secara kebetulan sahaja kerana nama Yong disebut dalam perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kala Lumpur kelmarin.

BPR membuka kertas siasatan ke atas Yong kerana disyaki terlibat dalam satu kes rasuah membabitkan RM5 juta yang didakwa dilakukannya ketika menjadi Ketua Menteri Sabah.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Yong mengarahkan pembayaran wang lebih RM5 juta, iaitu hasil keuntungan jualan saham syarikat milik kerajaan negeri Sabah, kepada ejen-ejen pilihannya pada 1996.

Ahmad Said berkata BPR mengambil tindakan itu kerana wujud unsur-unsur rasuah ekoran keterangan bersumpah yang diberikan oleh saksi semasa perbicaraan itu.

Mengenai dakwaan Yong bahawa beliau telah memberikan keterangan kepada BPR berhubung kes bekas Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam yang didakwa terlibat dalam salah guna kuasa, Ahmad Said berkata: "Itu siasatan lain. Saya tak tahu siasatan dulu".

Beliau berkata adalah menjadi amalan biasa bagi BPR untuk membuka kertas siasatan ekoran keterangan saksi-saksi di mahkamah dan pihaknya banyak membuka kertas siasatan seperti itu, cuma akhbar tidak melaporkannya.

Katanya orang ramai akan mempersoalkan integriti BPR sekiranya ia tidak bertindak ekoran pendedahan keterangan saksi berhubung kes rasuah di mahkamah.

Ahmad Said berkata beliau tidak menerima tekanan atau arahan mana-mana pihak bagi membuka kertas siasatan itu, sebaliknya, katanya: "Saya sendiri yang mengarahkan pegawai saya membuka kertas siasatan itu,"

Beliau berkata kertas siasatan dibuka bukan sahaja terhadap Yong tetapi juga lapan orang lagi yang dinamakan sebagai penerima wang RM5 juta itu serta ke atas bekas Pengarah Briskmark Enterprise Sdn Bhd Datuk Wasli Mohd Said yang membuat keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung perkara itu.

Ketua Pengarah BPR itu juga menjelaskan kesalahan jenayah rasuah tidak mempunyai tempoh luput walaupun jika rasuah itu didakwa dilakukan suatu masa dahulu.

Pengunduran Abdullah mampu perkukuhkan semula BN - Husam

Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu mendesak Pengerusinya, Dato� Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Perdana Menteri melepaskan jawatannya.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, memberitahu perkara itu perlu bagi memperkukuhkan semula kedudukan BN dan negara selaku parti memerintah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mesyuarat Dewan Tertinggi BN 19 Jun lalu yang berakhir tanpa sebarang keputusan.

Menurutnya lagi, parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional sepatutnya mengambil langkah drastik mempertahankan masa depan kerajaan BN memandangkan pucuk pimpinan yang ada sekarang telah gagal berbuat demikian.

"Untuk tujuan itu, langkah paling mudah adalah meminta Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Barisan Nasional mengundurkan diri dengan serta merta.

"Pengunduran Dato' Seri Abdullah akan membolehkan perubahan teraju di dalam Barisan Nasional dan seterusnya perlantikan Perdana Menteri yang baru," ujarnya lagi.

Tambahnya, hanya dengan pertukaran kepimpinan sahaja akan berkemungkinan membantu wujudnya keyakinan terhadap usaha pengukuhan semula BN.

Husam menambah kata, pilihan raya ke-12 yang lalu telah menyaksikan bagaimana parti-parti komponen BN di Semenanjung Malaysia mengalami keputusan yang paling buruk di dalam sejarah gabungan parti itu.

Akibat kejadian itu, jelasnya parti komponen itu telah melakukan post-mortem dan juga mendengar keluhan akar umbinya.

"Hasilnya tidak dapat dinafikan, faktor utama yang menyebabkan prestasi buruk ini adalah berhubung rapat dengan penolakan kepimpinan Dato' Seri Abdullah oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokong serta pengundi-pengundi yang sebelum ini setia dengan Barisan Nasional.

"Oleh yang demikian, mekanisme perubahan dalaman boleh untuk sementara waktu meredakan masalah Barisan Nasional dan kekeliruan ahli-ahli parti komponen terhadap masa depan Barisan Nasional," ujarnya lagi.

Sidang tergempar BN tanpa keputusan konkrit juga katanya memperkuatkan lagi tanggapan bahawa Barisan Nasional tidak lagi mempunyai kekuatan untuk mendisiplinkan anggotanya dan berdepan dengan pilihan yang terhad dalam mempertahankan survivalnya.

Mempertimbangkan perletakkan jawatan Dato' Seri Abdullah adalah yang sepatutnya di dalam mesyuarat kelmarin dan bukannya bermesyuarat tetapi hasilnya hanyalah pengumuman satu keputusan yang longgar.

Impian Anwar




Kerajaan PAS Kelantan pada penggal lalu bertahan dengan perbezaan SATU kerusi saja dengan Barisan Nasional.
Namun Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim merasa pembangkang sudah hampir untuk menjejak kaki ke Putrajaya sekalipun memerlukan 28 kerusi lagi di Parlimen dari 30 sebelum ini.
Dua Ahi Parlimen SAPP sudah jelas tidur sebantal dengan pembangkang berikutan keputusan Majlis Tertinggi parti itu mengesahkan pendirian presidennya Datuk Yong Teck Lee yang tidak percaya lagi pada pimpinan Perdana Menteri Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi.
Di depan ribuan orangramai yang berhimpun di Stadium Shah Alam Jumaat malam merayakan majlis sambutan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kelantan,Anwar mengulangi dakwaannya Pakatan Rakyat dapat menubuhkan kerajaan pusat yang baru tidak lama lagi.
"Saya mahu mengajak semua ahli-ahli politik dari Barisan Nasional…mari kita selamatkan Malaysia, ekonomi Malaysia dan mari kita tumbangkan kerajaan UMNO Barisan Nasional," kata Anwar.
Bagi sesetengah pemerhati politik tindakan SAPP ini telah memberi anjakan kepada perang saraf Anwar mengenai tarikh 16 September.
Tandatanya sekarang apa lagi lepas ini.

Petra: Isteri Najib di 'lokasi jenayah'


Siapa lagi kalau bukan Raja Petra Kamaruddin - walaupun Datuk Seri Najib Razak beberapa kali menafikannya sebelum ini.

Kali ini pengendali blog Malaysia Today meningkatkan kredibiliti dakwaannya melalui satu akuan bersumpah di mahkamah tinggi Kuala Lumpur kelmarin - masih lagi mengaitkan isteri timbalan perdana menteri dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Seperti artikelnya awal bulan lalu yang menyeretnya ke mahkamah, yang pernah dijawab dan dijelaskan oleh setiausaha akhbar timbalan perdana menteri, akuan bersumpah ini diberikan perhatian serius oleh pihak Najib.

"Kami sedang meneliti perkara ini. Akuan bersumpah itu memang membingungkan dan mengelirukan," kata setiausahanya Datuk Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus bentuk-bentuk tindakan seterusnya yang bakal diambil.

Najib dan Rosmah telah berulangkali menafikan mereka ada kaitan dengan kes pembunuhan berprofil tinggi itu dan menyifatkan dakwaan tersebut tidak lebih daripada perbuatan untuk "memfitnah dan mereka-reka cerita".

Dalam akuan sumpahnya, Raja Petra menuduh Rosmah antara individu yang berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh pada 19 Oktober 2006.

Katanya, beliau mendapat maklumat yang boleh dipercayai bahawa antara kira-kira jam 10 malam 19 Oktober 2006 dan awal pagi berikutnya, malam mangsa dibunuh, terdapat tiga orang lagi di tempat kejadian.

Beliau menamakan dua individu lagi itu sebagai seorang kolonel, yang menurutnya seorang pakar bom 'C4' dan isterinya yang yang dikatakan pengawal peribadi Rosmah.

Laporan perisikan

Mayat Altantuya didakwa telah hancur dibom dengan 'C4' di sebuah kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam. Kes perbicaraan pembunuhannya masih berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam akuan itu, Raja Petra mendakwa kolonel itu yang memasang bom C4 di beberapa tempat di badan Altantuya, dengan disaksikan oleh Rosmah dan pengawal peribadinya.

Raja Petra mendakwa lagi, beliau membuat akuan itu kerana beliau mempunyai maklumat yang boleh dipercayai mengenai pembabitan orang-orang berkenaan yang sehingga ini belum dikaitkan atau dipanggil sebagai saksi oleh pihak pendakwaraya dalam kes perbicaraan kes tersebut.

Penulis blog sensasi itu berkata, beliau juga membuat akuan bersumpah tersebut kerana beliau sedar bahawa menjadi kesalahan jika tidak mendedahkan bukti-bukti yang boleh membantu polis dalam siasatan kes jenayah.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Raja Petra mengesahkan kandungan akuan bersumpah tersebut - yang kini dimuatkan di sebuah blog (bukan Malaysia Today).

Beliau juga mendakwa dalam akuannya itu bahawa beliau mendapat maklumat bahawa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyedari mengenai dakwaan pembabitan isteri Najib.

Raja Petra mendakwa lagi, Abdullah menerima satu laporan bertulis daripada pihak perisikan tentera, yang mengesahkan pendedahan beliau itu.

Laporan tersebut, dakwa Raja Petra, kemudiannya diserahkan kepada menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin untuk disimpan dengan selamat.

Selain Abdullah dan Khairy, dakwa Raja Petra, "seorang Sultan juga telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan menyedari tentang tuduhan berkenaan."

Dakwaan terbaru

Penulis itu bagaimanapun tidak mendedahkan beberapa nama yang didakwanya mempunyai maklumat tentang perkara itu.

Raja Petra berkata, beliau membuat akuan bersumpah itu untuk menggesa semua pihak berkenaan tampil bagi mendedahkan maklumat sebenar agar polis dapat menjalankan siasatan terperinci.

Dalam temubual melalui telefon, Raja Petra menjelaskan alasannya tidak melaporkan dakwaan terbarunya itu kepada polis.

Penulis blog berkata, memandangkan tiada tindakan diambil terhadap laporan polisnya pada 2001 - ketika beliau mendakwa dipukul oleh seorang pegawai polis berpangkat tinggi - beliau tidak yakin lagi untuk membuat laporan polis.

Polis telah menyiasat Raja Petra awal bulan lalu berhubung artikelnya bertajuk 'Let's send the Altantuya murderers to hell' - juga mengaitkan Najib dan Rosnah dalam kes pembunuhan kontroversi itu.

Penganalisa politik Abdul Razak Baginda - yang dikaitkan dengan menteri pertahanan itu - dan dua anggota polis pasukan khas UTK sedang dibicarakan berhubung pembunuhan wanita Mongolia itu.

Jika sabit kesalahan, ketiga-tiganya boleh dikenakan hukuman mati.

Desak PM undur boleh redakan ketegangan dalaman BN - Husam

Biar pun pemimpin Barisan Nasional (BN) mendakwa parti itu tidak tergugat dengan cabaran dibuat Parti Maju Sabah (SAPP), namun mesyuarat tergempar diadakan juga bagi membincangkan isu tersebut.

Tidakkah itu menggambarkan kenyataan Presiden SAPP, Dato' Yong Teck Lee kelmarin telah meletakkan Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kedudukan paling tidak selesa sekarang.

Mengulas perkembangan tersebut, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, biar pun mesyuarat tergempar BN diadakan namun tidak ada langkah konkrit diambil.

"Anggota parti kompenan BN sepatutnya mengambil langkah drastik mempertahankan kerajaan pakatan mereka dengan mendesak Abdullah berundur.

"Langkah seperti itu dilihat cukup penting bagi Umno dan BN kalau mereka mahu terus survive dalam politik dan dapat bertahan.

"Setidak-tidaknya pertukaran kepimpinan boleh membantu wujudnya keyakinan baru terhadap pengukuhan semula BN," katanya ketika dihubungi di Teheran, hari ini.

Semalam Perdana Menteri terpaksa memanggil mesyuarat tergempar Dewan Tertinggi BN membincangkan tindakan SAPP yang membuat kenyataan sudah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinannya.

Bagaimanapun mesyuarat tergempar itu tidak pula mengambil sebarang tindakan konkrit dan pengerusinya hanya membuat kenyataan akan bertindak ke atas SAPP selepas mendapat pendirian rasmi parti tersebut.

Malah kata Perdana Menteri, kenyataan Teck Lee yang sudah hilang kepercayaan terhadapnya tidak dibuat oleh parti SAPP sebaliknya pendirian presidennya sahaja.

Husam yang dalam rangka lawatan ke negara Timur Tengah berkata, mesyuarat tergempar BN tanpa keputusan konkrit, memperkuatkan lagi tanggapan parti itu tidak lagi mempunyai kekuatan untuk mendisiplinkan anggotanya.

Malah katanya anggota kompenan BN sedang berdepan dengan pilihan yang terhad dalam mepertahankan survival mereka.

Oleh itu kata beliau anggota BN perlu membuat desakan supaya pengerusinya berundur yang dianggap boleh meredakan sekurang-kurangnya untuk sementara waktu.

"Dato' Seri Abdullah sepatutnya diminta meletak jawatan dan bukannya mendengar keputusan longgar seperti diumumkan Perdana Menteri semalam," ujarnya yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan.

Bagaimanapun apa yang berlaku, pemimpin parti kompenan BN terus bersandiwara dengan membuat kenyataan menyokong Abdullah, biarpun ia sudah acap kali dilakukan.

Pemerhati politik berhujah mesyuarat tergempar Dewan Tertinggi BN itu sebenarnya bagi membolehkan 14 kompenan berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Kata mereka kenyataan menyokong Abdullah adalah langkah terdesak sekarang yang akhirnya akan menjadi sokong membawa rebah.

SAPP buat kejutan politik, Pakatan Rakyat kena bincang


Tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) membuat kejutan politik dengan mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan suatu perkembangan menarik di Malaysia hari ini.

Berikutan itu, Pakatan Rakyat disarankan membincangkan perkara tersebut agar sesuatu tindakan yang bakal dibuat mendapat natijah yang baik dan berkesan.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali berpendapat cadangan pihak tertentu bagi membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri perlu dihalusi terlebih dahulu.

Katanya, tindakan tersebut perlu dibuat dengan teratur dan berstrategi serta tidak perlu tergesa-gesa agar tidak menjadi sia-sia.

"Ini tidak boleh tergesa-gesa. Undi tidak percaya ini 'benda' (perkara) besar. Parti Pakatan Rakyat pun kena bincang perkara ini.

"Sebab, jika buat undi tidak percaya tetapi bilangan sokongan tidak cukup dan gagal. Itu akan jadi 'backfire', sebab undi tidak percaya bukan boleh buat tiap-tiap minggu," ujarnya ketika bercakap pada sidang media, di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, semalam.

Menurutnya, cadangan membawa usul undi tidak percaya juga terikat dengan peraturan Parlimen yang perlu dipatuhi dan tidak boleh dibuat selalu.

"Undi tidak percaya bukan boleh selalu buat dan dia ada 'time frame'. Maknanya, tidak boleh tergesa-gesa dan mesti dibincangkan dan diatur strategi macam mana, hendak pastikan bahawa bilangan paling kurang pun dengan 'simple' majoriti.

"Saya rasa mungkin tidak boleh dilakukan dalam masa sidang yang singkat ini sebab notis dua minggu diperlukan oleh Speaker Dewan," ujarnya.

Namun begitu katanya, jika tersilap langkah dan perhitungan tindakan parti SAPP tersebut diibaratkan mengejutkan 'singa' yang tidur.

Menurutnya, kesepakatan dan kerjasama diperlukan agar sesuatu tindakan yang bakal diambil tidak membawa kesan 'backfire' terhadap Pakatan Rakyat hari ini.

"Dari satu sudut jika tidak buat persiapan rapi dengan kenyataan yang macam ini seperti mengejutkan 'singa tidur' sebenarnya. Ertinya, BN akan melihat betul-betul ada ancaman dan Pakatan Rakyat kena bincang juga perkara ini," tegasnya.

Katanya, parti SAPP belum lagi bertindak keluar meninggalkan komponen Barisan Nasional (BN) tetapi sekadar akan menyokong usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Parti SAPP merupakan antara parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah yang diketuai oleh Presidennya, Dato' Yong Teck Lee.

Baru-baru ini presidennya telah mengumumkan dua Ahli Parlimennya iaitu Dato� Eric Majimbun (Sepanggar) dan Dato� Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Isnin ini.

MB dan Exco Negeri Sembilan didesak potong elaun 50 peratus

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook dalam satu kenyataannya baru-baru ini mendesak pemotongan elaun 50 peratus masing-masing bagi Menteri Besar, Dato' Seri Utama Mohammad Hassan dan anggota Exco Kerajaan Negeri Sembilan berkuatkuasa serta merta.

Loke menyatakan bahawa, cadangan pemotongan elaun itu wajar supaya MB dan Exco turut berkongsi penderitaan yang rakyat hadapi selepas kenaikan harga minyak yang cukup tinggi bermula 5 Jun lalu.

"Perdana Menteri dan menteri kabinet telah bersetuju memoting 10 peratus elaun dan mengurangkan percutian dalam negara Asean,

"Namun bagi saya ini tidak mencukupi kepada mereka yang menikmati elaun yang jauh lebih besar, namun saya tidak mahu mengulas soal ini, saya mahu fokus kepada isu di Negeri Sembilan," ujar Loke yang juga Ketua Pembangkang di Dun Negeri Sembilan.

Loke mendesak agar elaun perjalanan dan percutian ke luar negara MB dan Exco dipotong sejumlah 50 peratus dengan segera.

Loke seterusnya mendedahkan pendapatan Menteri Besar dan Anggota Exco kerajaan negeri bagi tempoh sebulan selain faedah lain yang diterima :


-Elaun Menteri Besar : RM14,175.15
-Elaun Adun : RM 4112.80
-Entertainment : RM5,500
-Pengerusi Exco : RM4,400

Jumlah tetap elaun MB setiap bulan : RM28,187.95

Kelebihan lain :


-Appointment allowance : RM10,000 (one-off) -Kediaman Khas.
-Elaun Perabut (sekali setahun) : RM5,000
-Orang gaji : Pembayaran bagi sebulan RM3000
-Air, elektrik, pemandu percuma selain dua orang pemandu rasmi.

Selain itu Menteri Besar juga menikmati kelebihan, boleh mendapatkan dua tiket penerbangan (tidak kira mana-mana destinasi) anggaran (Kuala Lumpur-London RM30,400).

Loke juga mendedahkan MB juga menikmati elaun penginapan RM500 sehari, elaun makan RM300 sehari selain elaun pakaian RM3000 (setiap tiga tahun sekali).

Sementara kata Loke, bagi anggota Exco pula, mereka memperolehi elaun tetap kira-kira RM15,222 selain menikmati percutian percuma sekali sepenggal.

Justeru Loke menegaskan perlunya pemotongan sejumlah 50 peratus ke atas elaun-elaun yang dinikmati Menteri Besar dan anggota Exco kerajaan negeri.

'Saya mohon maaf kepada PAS' - Roslan Aziz


Komposer terkenal Roslan Aziz memohon maaf kepada ahli PAS kerana kenyataannya yang dianggap menghina parti itu berhubung tindakan Dewan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu, sempena 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir negeri itu.

"Sebagai seorang manusia yang beragama Islam, (juga) bapa, suami dan anak yang masih menagihkan ilmu pengetahuan dan keredhaan-Nya, saya dengan merendah hati memohon maaf kepada semua muslimin dan muslimat khususnya ahli-ahli PAS atas perlakuan saya itu," kata Roslan dalam blognya Roslan Aziz Production (http://roslanaziz.blogspot.com) semalam.

Kelmarin, Roslan menyifatkan tindakan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu sebagai tindakan "ego" golongan agama dan bermotifkan politik.

"Orang yang tahu fasal agama, ego dia lebih tinggi. Cuba kita pergi kepada seorang ustaz dan kata kepada dia, hadis ustaz salah, sanad tak betul. (Awak) ingat dia boleh terima? Mereka ini hendak tunjuk suci," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan Pemuda PAS Selangor untuk mengadakan perhimpunan untuk membantah konsert tersebut yang dijadual 6 Julai di Shah Alam.

Dalam permohonan maafnya itu, Roslan mengaku tidak berfikir panjang sebelum menjawab soalan yang diajukan, sebaliknya menggunakan emosi dan "perasaan kecewa yang telah lama terpendam". "Sebagai seorang Islam dan bapa kepada anak-anak, saya tidak sepatutnya menjawab begitu yang menyebabkan ada pihak yang berasa terhina," kata beliau yang juga bekas pengetua Akademi Fantasia musim lalu.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak sama sekali berniat untuk menghina atau menimbulkan permusuhan.

"Saya tidak sama sekali berniat untuk menghina, jauh sekali untuk bermusuh sesama saudara (seagama)," katanya.

Permohonan maaf itu dipercayai dibuat berikutan banyak kritikan dibuat terhadap kenyataannya dalam blog-blog dan forum maya di internet.

Konsert itu, yang dilapor diadakan bersempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, akan diadakan sebelum perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor antara Singapura dengan pasukan negeri itu. _

BN tidak boleh bertindak membelakangi YDP Agong

Profesor Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengingatkan parti-parti politik supaya tidak bertindak membuta tuli dalam menghadapi kemelut politik negara dengan membubarkan Parlimen atau mengisytiharkan darurat.

Beliau menegaskan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan yang sangat penting di dalam mententeramkan keadaan politik yang tidak menentu sekarang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan apa yang akan berlaku, selepas Parti Maju Sabah (SAPP) yang dipimpin Dato' Yong Teck Lee mengisytiharkan partinya akan membawa atau menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang Parlimen yang akan bermula minggu depan.

Ekoran tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, pelbagai spekulasi telah timbul. Ini termasuklah tindakan mengadakan pilihan raya mengejut oleh BN untuk menyelamatkan dirinya.

Selain itu, tegas beliau, ada yang bimbang bahawa perisytiharan darurat akan dibuat bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan BN melalui undi tidak percaya di parlimen.

"Oleh kerana kemungkinan-kemungkinan itulah maka Perlembagaan secara idealnya memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak bebas dari nasihat atau pengaruh kerajaan yang memerintah," tegas Aziz.

Beliau yang juga pakar Perlembagaan, mengingatkan bahawa kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan tidak harus disamakan dengan cop getah yang perlu melaksanakan apa sahaja yang diminta oleh kerajaan.

"Raja berperlembagaan sebenarnya lebih merujuk kepada seorang raja yang bertindak selaras dengan tuntutan dan semangat demokrasi bukan mengikut nasihat membuta tuli", tambah beliau.

Mengenai pilihan raya mengejut Aziz berkata ia hanya boleh dilakukan sekiranya Yang di-Pertuan Agong berkenan dengan permohonan Perdana Menteri untuk membubarkan Dewan Rakyat.

Aziz berkata di bawah Perlembagaan kuasa itu adalah kuasa baginda dan Perdana Menteri tidak boleh memaksa Yang di-Pertuan Agong. "Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa ia adalah kuasa budibicara Yang di-Pertuan Agong," tambahnya lagi.

Dua minggu lalu Aziz berkata bahawa di dalam senario sekarang adalah tidak wajar untuk Yang di-Pertuan Agong membubarkan dewan bagi membolehkan pilihan raya semula diadakan.

Beliau menjelaskan, meskipun kuasa itu kuasa budibicara baginda diberi tanggungjawab untuk menilai keadaan dan mempastikan bahawa kepentingan negara dan rakyat mengatasi segala-galanya.

"Inilah sebabnya mengapa Suruhanjaya Reid meminta Yang di-Pertuan Agong melihat pengalaman negara-negara Komanwel yang lain," tegas beliau.

Aziz menjelaskan di dalam keadaan sekarang pembubaran dewan adalah tidak perlu kerana dua sebab.

"Yang pertama kita sudah mendengar hasrat untuk membawa usul undi tidak percaya di parlimen. Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong mesti menunggu sehingga usul itu dikemukakan dan melihat hasilnya. Sekiranya Yang di-Pertuan Agong berkenan membubarkan dewan maka baginda akan dilihat menyebelahi kepentingan Barisan Nasional dan ini tidak selaras dengan ideal Perlembagaan yang mahukan baginda bebas dari politik dan melindungi proses Perlembagaan," tegas Aziz.

Sebab yang kedua, bahasnya, wujudnya potensi pembentukan kerajaan baru tanpa melalui pilihan raya. Beliau menjelaskan sama ada melalui undi tidak percaya atau lompat parti, sebuah kerajaan baru sebenarnya boleh dibentuk.

"Cara ini jelas lebih murah dan lebih menjimatkan masa. Lagipun pilihan raya baru sahaja diadakan," ujarnya.

Bagaimanapun, Aziz berasa ragu sekiranya pilihan raya adalah satu pilihan yang sesuai ekoran kenaikan harga minyak kerana isu itu menyebabkan kerajaan yang memerintah sekarang tidak lagi popular.

Mengenai pemerintahan darurat di bawah Perkara 150, Aziz berkata ia adalah tidak baik kerana krisis politik yang ada sekarang boleh ditangani melalui proses dan prosedur biasa yakni undi tidak percaya dan seterusnya.

"Dalam soal ini Yang di-Pertuan Agong mesti menolak nasihat untuk mengisytiharkan darurat kerana ia akan menyebabkan Perlembagaan digantung dan kerajaan yang ada diberi kuasa untuk membuat undang-undang tanpa ke parlimen. Ini berbahaya", tegas Aziz.

Hanya Pada MU


Ya Allah
kenapakah hati ini begitu keras untuk mengingatiMU?
mungkihkah jiwaku sudah penuh dengan kekotoran?
setiap hari aku solat, membaca al-Quran
tetapi aku tidak dapat merasai kenikmatan
bagaimanakah akan kutempuhi hidup ini?
adakah jiwa ini akan dapat Engkau terima?


Ya Allah!
janganlah Engkau tinggalkan aku
janganlah Engkau biarkan jiwa ini ternoda
dengan kemaksiatan
apalah diri ini tanpaMU
aku begitu lemah untuk mengharungi
gelombang dunia ini

Ya Allah
kasihanilah jiwaku yang kerdil ini
aku sangat mengharapkan pimpinan-MU
aku sangat merindui belaian-MU
bantulah aku,Ya ALLAH!
bantulah aku Ya Rabbi!
lemparkan cahayaMU ke dalam jiwaku...

Ya Allah!
apalah erti kehidupan ini tanpa kehadiran MU
apalah gunanya segala yang kumiliki tanpa
rahmatMU

Ya Allah!
berikanlah petunjuk-MU kepadaku
aku tahu bahwa petunjuk-Mu
adalah mahal dan perluku bayar
aku redha, Ya Allah...

Engkau ambillah apa yang aku miliki
tetapi campakkanlah Nur MU ke dalam
jiwa ini...

Ya ALLAH!
aku malu untuk berhadapan denganMU
aku begitu kotor dan jijik
riya', tamak,sombong, dengki telah
membelenggu hidupku
jiwaku lemas

setiap kali cuba mengingatiMU setiap kali juga jiwaku menghalang
fikiranku berkecamuk
Ya Allah dimanakah cahayaMU?

Ya Allah!
hanya kepada Engkau
tempatku mengadu
hanya kepada MU tempat aku
mencurahkan perasaanku
kerana aku tahu hanya Engkau
yang dapat membimbing
jiwaku yang kerdil ini

maka bimbinglah aku Ya Allah
pimpinlah aku,pimpinlah aku
pimpinlah akuuu...Ya Allah!

MALAM PERTAMA ANDA


Malam itu ialah MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR! Pernahkah engkau melihat kuburan? Pernahkah engkau melihat gelapnya kuburan?Pernahkah engkau melihat sempit dan dalamnya liang lahat?Pernahkah engkau membayangkan kengerian dan kedahsyatan alam kubur?Sedarkah engkau bahawa kuburan itu dipersiapkan untukmu dan untuk orang-orang selain darimu? Bukankah telah silih berganti engkau melihat teman-teman, orang-orang tercinta dan keluarga terdekatmu diusung dari dunia fana ini ke kuburan?
Apakah Malam Pertama Kita di Alam Kubur Nanti Asyik dan Nikmat atau Penuh Derita dan Sengsara?"
Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur? Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama' serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza. "Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu (di dunia), dan ketenangan pun menghilang darimu. Bila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana ?" Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai, tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita, lilin-lilin yang menerangi dunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan, dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah. Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Itukah yang kita mahukan? Pastinya tidak bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!

Di dalam usahanya mempersiapkan diri menghadapi malam pertama tersebut, adalah diceritakan bahawa Rabi' bin Khutsaim menggali liang kubur di rumahnya. Bila ia mendapati hatinya keras, maka ia masuk ke liang kubur tersebut. Ia menganggap dirinya telah mati, lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia, seraya membaca ayat: "Ya Rabbku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan (dahulu)." (Surah Al-Mu'minun, ayat 99-100) Kemudian ia menjawab sendiri; "Kini engkau telah dikembalikan ke dunia wahai Rabi'.." Dan disebabkan hal tersebut, Rabi' bin Khutsaim didapati pada hari-hari sesudahnya sentiasa dalam keadaan beribadah dan bertaqwa kepada Allah! Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti? Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya. Oleh itu, carilah (kenikmatan) hidup yang tidak ada kematian di dalamnya. "Ya Allah, tolonglah kami ketika sakaratul maut!"
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .