Ikuti Blog ini

Al Fatihah: Allahyarham Roslan dikebumi jam 6.00 petang ini di Changkat Larang, Batu Gajah


Jenazah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum (gambar kecil) yang meninggal dunia dibawa keluar dari rumah mayat Hospital Batu Gajah untuk dibawa pulang ke rumah.


Al Fatihah


Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu kira-kira pukul 1.20 tengah hari bahawa jenazah berada di Hospital Batu Gajah.

Abang Roslan, Ahmad Najmi dipetik Bernama erkata, sebaik mengayuh basikal beberapa meter, beliau dikatakan terjatuh lalu dibawa ke Hospital Batu Gajah sebelum disahkan meninggal dunia.

Roslan, Pengerusi Yayasan Perak di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, adalah lulusan ijazah sarjana muda Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan memperoleh ijazah Sarjana Sains Pembangunan dan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia.

Sementara itu, Sofiah, 50, yang ditemui di Hospital Batu Gajah berkata, jenazah suaminya dijangka dikebumikan pada 6 petang ini di kampung Allahyarham di Changkat Larang, Lahat dekat Batu Gajah.

Pensyarah Institut Perguruan Ipoh itu berkata sebulan lepas, suaminya pernah pengsan semasa berada di Taiwan dan setelah menjalani pemeriksaan, doktor mendapati jantung Allahyarham besar dan kurang oksigen.

"Dia patut pergi pemeriksaan tetapi arwah pergi ke Gaza, Palestin dan hingga hari ini tak buat apa-apa pemeriksaan kesihatan," katanya kepada pemberita.

Anak perempuan Roslan, Norfatimah Zahra, 21, berkata bapanya keluar rumah untuk mencuci kereta pada 10 pagi ini.

Ketika ditemui pemberita di rumah mayat hospital berkenaan, Norfatimah Zahra berkata beliau mendapat maklumat bapanya jatuh pengsan setelah menunggang basikal untuk ke farmasi dan dibawa ke Hospital Batu Gajah sejam kemudian.

Norfatimah Zahra berkata, pada hujung minggu baru-baru ini, mereka sekeluarga bercuti ke Cameron Highlands selama dua hari dan pulang petang semalam.

"Ayah sihat dan mungkin kerana kurang rehat selepas bercuti dan sekembalinya dari Cameron Highlands petang semalam, dia dipanggil untuk menghadiri majlis di kediaman rasmi Menteri Besar Perak," katanya.

Beliau berkata, bapanya hanya tiba di rumah pada 1.30 pagi tadi.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Haji Roslan Shaharum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.00 tengah hari tadi ketika dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .