SELURUH anak Perak di perantauan khususnya para pengundi Parlimen Bukit Gantang yang berada di Lembah Klang diseru datang beramai-ramai mendengar amanat dan berdialog dengan pemimpin tertinggi PAS tentang isu-isu semasa dan tanggungjawab mereka untuk Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar.
Menurut Pengerusi Ikatan Anak Perak Perantauan, Mohd Ezam Ahmad beberapa pimpinan tertinggi PAS yang akan serta termasuk Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
Program akan dilangsungkan jam 3 petang Ahad, 22 Mac ini. Kata Ezam, semua penyokong dan pengundi Bukit Gantang diminta hadir pada program ini bagi memastikan kemenangan jitu Pakatan Rakyat di negeri Perak itu.
Selain itu, tegasnya, mereka yang hadir digalakkan mendaftar sebagai ahli Ikatan Anak Perak Perantauan (IAPP) bagi memudahkan penyelarasan apa jua urusan yang berkaitan dengan kepentingan mereka.