Ikuti Blog ini

Impian Anwar




Kerajaan PAS Kelantan pada penggal lalu bertahan dengan perbezaan SATU kerusi saja dengan Barisan Nasional.
Namun Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim merasa pembangkang sudah hampir untuk menjejak kaki ke Putrajaya sekalipun memerlukan 28 kerusi lagi di Parlimen dari 30 sebelum ini.
Dua Ahi Parlimen SAPP sudah jelas tidur sebantal dengan pembangkang berikutan keputusan Majlis Tertinggi parti itu mengesahkan pendirian presidennya Datuk Yong Teck Lee yang tidak percaya lagi pada pimpinan Perdana Menteri Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi.
Di depan ribuan orangramai yang berhimpun di Stadium Shah Alam Jumaat malam merayakan majlis sambutan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kelantan,Anwar mengulangi dakwaannya Pakatan Rakyat dapat menubuhkan kerajaan pusat yang baru tidak lama lagi.
"Saya mahu mengajak semua ahli-ahli politik dari Barisan Nasional…mari kita selamatkan Malaysia, ekonomi Malaysia dan mari kita tumbangkan kerajaan UMNO Barisan Nasional," kata Anwar.
Bagi sesetengah pemerhati politik tindakan SAPP ini telah memberi anjakan kepada perang saraf Anwar mengenai tarikh 16 September.
Tandatanya sekarang apa lagi lepas ini.

Petra: Isteri Najib di 'lokasi jenayah'


Siapa lagi kalau bukan Raja Petra Kamaruddin - walaupun Datuk Seri Najib Razak beberapa kali menafikannya sebelum ini.

Kali ini pengendali blog Malaysia Today meningkatkan kredibiliti dakwaannya melalui satu akuan bersumpah di mahkamah tinggi Kuala Lumpur kelmarin - masih lagi mengaitkan isteri timbalan perdana menteri dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Seperti artikelnya awal bulan lalu yang menyeretnya ke mahkamah, yang pernah dijawab dan dijelaskan oleh setiausaha akhbar timbalan perdana menteri, akuan bersumpah ini diberikan perhatian serius oleh pihak Najib.

"Kami sedang meneliti perkara ini. Akuan bersumpah itu memang membingungkan dan mengelirukan," kata setiausahanya Datuk Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus bentuk-bentuk tindakan seterusnya yang bakal diambil.

Najib dan Rosmah telah berulangkali menafikan mereka ada kaitan dengan kes pembunuhan berprofil tinggi itu dan menyifatkan dakwaan tersebut tidak lebih daripada perbuatan untuk "memfitnah dan mereka-reka cerita".

Dalam akuan sumpahnya, Raja Petra menuduh Rosmah antara individu yang berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh pada 19 Oktober 2006.

Katanya, beliau mendapat maklumat yang boleh dipercayai bahawa antara kira-kira jam 10 malam 19 Oktober 2006 dan awal pagi berikutnya, malam mangsa dibunuh, terdapat tiga orang lagi di tempat kejadian.

Beliau menamakan dua individu lagi itu sebagai seorang kolonel, yang menurutnya seorang pakar bom 'C4' dan isterinya yang yang dikatakan pengawal peribadi Rosmah.

Laporan perisikan

Mayat Altantuya didakwa telah hancur dibom dengan 'C4' di sebuah kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam. Kes perbicaraan pembunuhannya masih berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam akuan itu, Raja Petra mendakwa kolonel itu yang memasang bom C4 di beberapa tempat di badan Altantuya, dengan disaksikan oleh Rosmah dan pengawal peribadinya.

Raja Petra mendakwa lagi, beliau membuat akuan itu kerana beliau mempunyai maklumat yang boleh dipercayai mengenai pembabitan orang-orang berkenaan yang sehingga ini belum dikaitkan atau dipanggil sebagai saksi oleh pihak pendakwaraya dalam kes perbicaraan kes tersebut.

Penulis blog sensasi itu berkata, beliau juga membuat akuan bersumpah tersebut kerana beliau sedar bahawa menjadi kesalahan jika tidak mendedahkan bukti-bukti yang boleh membantu polis dalam siasatan kes jenayah.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Raja Petra mengesahkan kandungan akuan bersumpah tersebut - yang kini dimuatkan di sebuah blog (bukan Malaysia Today).

Beliau juga mendakwa dalam akuannya itu bahawa beliau mendapat maklumat bahawa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyedari mengenai dakwaan pembabitan isteri Najib.

Raja Petra mendakwa lagi, Abdullah menerima satu laporan bertulis daripada pihak perisikan tentera, yang mengesahkan pendedahan beliau itu.

Laporan tersebut, dakwa Raja Petra, kemudiannya diserahkan kepada menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin untuk disimpan dengan selamat.

Selain Abdullah dan Khairy, dakwa Raja Petra, "seorang Sultan juga telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan menyedari tentang tuduhan berkenaan."

Dakwaan terbaru

Penulis itu bagaimanapun tidak mendedahkan beberapa nama yang didakwanya mempunyai maklumat tentang perkara itu.

Raja Petra berkata, beliau membuat akuan bersumpah itu untuk menggesa semua pihak berkenaan tampil bagi mendedahkan maklumat sebenar agar polis dapat menjalankan siasatan terperinci.

Dalam temubual melalui telefon, Raja Petra menjelaskan alasannya tidak melaporkan dakwaan terbarunya itu kepada polis.

Penulis blog berkata, memandangkan tiada tindakan diambil terhadap laporan polisnya pada 2001 - ketika beliau mendakwa dipukul oleh seorang pegawai polis berpangkat tinggi - beliau tidak yakin lagi untuk membuat laporan polis.

Polis telah menyiasat Raja Petra awal bulan lalu berhubung artikelnya bertajuk 'Let's send the Altantuya murderers to hell' - juga mengaitkan Najib dan Rosnah dalam kes pembunuhan kontroversi itu.

Penganalisa politik Abdul Razak Baginda - yang dikaitkan dengan menteri pertahanan itu - dan dua anggota polis pasukan khas UTK sedang dibicarakan berhubung pembunuhan wanita Mongolia itu.

Jika sabit kesalahan, ketiga-tiganya boleh dikenakan hukuman mati.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .