Ikuti Blog ini

FAEDAH TAQWA KESAN IBADAH PUASA


Oleh Ust Idris Ahmad

Perkara utama yang akan diporolehi oleh hamba yang menunaikan puasa ialah taqwa. Firman Allah SWT “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa seperti mana yang diwajibkan keatas orang yang sebelum daripada kamu berpuasa semoga kamu bertaqwa”. Perkataan taqwa yang sering didengar setiap kali khutbah jumaat, kerana ia adalah merupakan satu rukun yang mesti dibaca oleh khatib.

Ibadat puasa yang terakhir untuk diperolehi ialah taqwa kepada Allah SWT. Taqwa ialah menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah dengan jalan melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan Allah. Imam Hassan Basri menyatakan taqwa ialah memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka. Ibn Abbas menghuraikan taqwa ialah orang yang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal serta taat kepada perintahnya. Kesimpulannya taqwa ialah menjunjung segala perintah Allah dengan penuh rasa perhambaan kepada Allah tanpa ada sedikit keraguan terhadap apa yang diperintah oleh Allah SWT.

Beberapa anugerah Allah yang akan berikan kepada mereka yang bertaqwa kepada Allah SWT. Sesungguhnya kita sebagai pejuang agama Allah perlu melipat ganda untuk mendapat darjat taqwa kerana ia akan menjadi bekalan yang cukup bermakna. Antara faedah taqwa yang akan diperolehi oleh hambanya ialah,

1.Allah memelihara orang yang bertaqwa

Firman Allah SWT

“Bertaqwalah (patuhlah) kepada Allah, dan ketahuilah bahawa Allah bersama-sama orang yang memelihara diri dari kejahatan” al-Baqarah:194

Mereka yang bertaqwa adalah mereka yang dikasihi Allah SWT ketika mereka hidup di dunia ini. Allah akan membantu hambanya yang bertaqwa. Allah tidak mensia-siakan hambanya yang mengikut telunjuk Allah SWT. Sebagai agggota jamaah Pas yang berusaha untuk menegakkan Islam secara syumul di atas muka bumi perlu kepada sifat ini untuk mendapat bantuan Allah SWT. Almaklum sahajalah kita berada dalam serba serbi kekurangan samaada dari segi tenaga, kewangan, ahli, kepakaran, media dan sebagainya. Sudah tentu kita memerlukan kepada bantuan Allah SWT dalam perjuangan kita. Kerana dengan bantuan Allah tidak ada mana kuasa yang dapat menepis dan menghalang kerja-kerja perjuangan Islam .

2.Mampu membezakan yang hak dan batil

Kita berada di dalam suasana negara yang penuh dengan kekeliruan. Golongan agama diperalat oleh penguasa negara. Mereka hanya dijadikan terompah kayu untuk diguna ketika berhadapan dengan Pas yang memperjuangkan matlamat yang suci. Kekeliruan ini boleh dijernihkan oleh orang yang dianugerahkan sifat taqwa oleh Allah SWT. Inilah doa yang kita selalu minta kepada Allah “Ya Allah tunjukkanlah hak itu hak, dan batil itu batil”. Mutaakhir hari ini kebatilan dianggap kebenaran, kebenaran dianggap kebatilan. Orang yang menyatakan hak dicaci, mereka yang menyokong kezaliman dipuji. Seluruh media diperalatkan untuk memfokoskan bahawa golongan Islam adalah jahat dan ganas. Firman Allah SWT

“Wahai orang-orang yang beriman, kiranya kamu takut kepada Allah, nescaya dia (Allah) akan mengurniakan kamu pengenalan untuk membezakan (antara hak dan batil) (Al-Anfal:29)

3. Menghapuskan dosa hambanya

Sebagai hamba yang tidak dapat lari dari kesalahan dan kesilapan dalam tindakan, ketika membuat keputusan sewaktu melaksanakan amanah Allah dalam jamaah. Hanya satu jalan sahaja yang membolehkan kita terlepas dari azab Allah ialah dengan kita memohon keampunan kepada Allah. Tidak ada nikmat yang paling berharga apabila kita dianugerahkan oleh Allah keampunan. Di dalam bulan Ramadhan di antara perkara yang nabi suruh kita perbanyakkan ialah beristighfar, mengucap kalimah tayyibah (lailahaillallah), minta supaya dijauhkan daripada neraka dan minta dimasukkan kedalam syurga. Hanya orang yang bertaqwa Allah akan memberikan keampunan. Firman Allah SWT

“Wahai orang-orang yang beriman, kiranya kamu takut kepada Allah, nescaya dia (Allah) akan mengurniakan kamu pengenalan untuk membezakan (antara hak dan batil) dan dihapuskan kesalahan kamu” (Al-Anfal:29).

4. Orang bertaqwa terpelihara daripada tekanan hidup

Mereka yang bertaqwa akan terpelihara daripada kesempitan hidup dan kesempitan rezki. Kerana Allah yang memiliki langit dan bumi. Allah yang bersifat al-Rahman, al-Rahim, al-Razzaq tidak pernah mengabaikan hambanya yang bertaqwa kepada Allah SWT. Allah maha mengetahui kedudukan hambanya yang berbakti kepadanya tanpa ada sedikit keraguan terhadap keupayaan Allah dalam segala hal. Maka layaklah Allah menganugerahkan kepadanya rezki yang tidak disangka-sangka. Allah membuka jalan keluar yang agak lapang kepadanya.

Tidak ada dalam sejarah perjuangan Islam orang papa kerana berjuang Islam. Tidak ada mereka yang lapar kerana berjuang di atas agama Allah, keran Allah lebih mengetahui segala apa keperluan hambanya yang hidup di atas muka bumi ini. Banyak kita melihat Allah anugerahkan kepada hambanya yang bertaqwa yang berjuang dalam Pas, mungkin mereka tidak kaya dengan harta, tetapi mereka diberi kepada mereka anak yang soleh dan anak yang bijak dan berjaya dalam pelajaran. Walaupun ibu bapa mereka ditekan dan dinafikan hak sebagai warga Negara. Mereka ditukar tempat kerja, dinafikan hak untuk berniaga, tidak dapat jalan raya dan bantuan yang sepatutnya. Tetapi dengan taqwa Allah menjadikan jalan keluar yang luas kepadanya. Firman Allah SWT

“Barangsiapa yang bertawa kepada Allah (dengan mematuhi segala perintahnya dan menjauhi larangannya) nescaya Allah akan mendorongkan baginya jalan keluar (dari kesulitan), dan Dia (Allah) akan memberikan rezki kepadanya dari (sumber) yang tidak disangka” al-Talaq:2-3

5. Balasan orang yang bertaqwa ialah syurga

Inilah harapan dan idaman kita yang berjuang di atas agama Allah, iaitu hidup kekal abadi dalam syurga yang dianugerahkan kelebihan yang tidak terlintas di dunia. Firman Allah SWT

“Itulah syurga yang kami hendak pusakakan kepada hamba kami yang bertaqwa” Maryam:63.

Berjuang dijalan Allah inilah idaman kita iaitu syurga yang tidak ada harga yang boleh dibayar. Kalau berjuang atas jalan lain daripada jalan Allah, yang dapat kalah atau menang, manakala syurga bukan impian dan cita-cita, sebaliknya dunia dan laba yang dihambat. Sempena dengan Ramadhan ini maka berdoalah kepada Allah supaya dianugerahkan syurga. Walau bagaimanapun syurga tidak dihampari dengan permaidani merah, sebaliknya ia dihampari dengan onar dan duri. Semua Nabi dan Rasul melalui jalan ini, mereka tidak melalui jalan mudah untuk ke syurga, baginda Rasulullah SAW merupakan orang yang banyak menerima dugaan dan cabaran.

6. Orang yang bertaqwa mendapat kemulian di dunia dan di akhirat.

Islam tidak memandang kepada rupa paras dan solekan di luar, tetapi yang dipandang ialah hati yang takut kepada Allah. Mereka yang bertaqwa akan dimulia oleh Allah dan juga makhluk. Walaupun manusia akhlaknya jahat, ia tahu menghormati orang yang bertaqwa kepada Allah. Allah melontarkan perasaan sayang dan hormat dalam hati orang yang jahat kepada orang yang bertawa kepada Allah.

Hendak mendapat kemulian daripada Allah bukan bergantung kepada status, darjat dan keturunan. Tetapi ia bergantung kepada amalan taqwa yang dilakukan oleh seseorang kepada Allah SWT. Firman Allah SWT;

“Sesungguhnya orang yang mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa” al-Hujurat:13

Kesimpulannya, taqwa adalah natijah daripada puasa seorang yang beriman kepada Allah SWT. Maka kita mengharapkan sebagai pejuang agama Allah dapat mencapai darjat ini dengan sebaiknya. Rebutlah peluang yang ada di dalam bulan Ramadhan terutama 10 terakhir nanti. Penuhilah ruang-ruang waktu Ramadhan dengan membanyakkan membaca al-Quran, tadarrus, iktikaf, bersedekah, memberi makan orang yang berbuka. Ini adalah amalan yang mendekatkan diri kita untuk menjadi mereka yang bertaqwa kesan daripada Ramadhan yang kita lalui. Semoga Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada sebelumnya.

Pelan 16 Sept.: Anwar umum formula Pakatan esok

PETALING JAYA: Pelan sasaran 16 September Pakatan Rakyat yang berusia enam bulan akan menjadi realiti esok?

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan mengumumkan butiran lanjut sasaran mereka termasuk jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah menyatakan hasrat untuk menyertai Pakatan Rakyat, esok.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Penerangan PKR, Tian Chua ketika dihubungi sebentar tadi.

"(Tarikh) 16 September jadi... semua perancangan sudah siap. Esok Datuk Seri Anwar akan membuat pengumuman secara rasmi melalui satu sidang akhbar khas," kata beliau yang baru sahaja pulang ke tanah air selepas terlibat dalam lawatan ke Taiwan untuk memancing beberapa Ahli Parlimen BN di negara, yang mengadakan lawatan sambil belajar.

Antara lain kata beliau, Anwar akan mengumumkan bahawa lebih 32 Ahli Parlimen BN telah mempersetujui untuk masuk Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat diumumkan secara rasmi pembentukannya pada 1 April lalu turut mengisytiharkan sasaran pelan mereka membentuk kerajaan persekutuan menjelang 16 September.

Malam ini Pakatan Rakyat mengadakan sambutan Hari Malaysia sempena pembentukan Malaysia di Kelana Jaya.

Bagaimanapun menurut Tian Chua, Anwar tidak akan membuat sebarang kenyataan mengenai pembentukan kerajaan baru malam ini.

"Kita semua sedang membuat persediaan akhir hari ini. Semua jentera sedang bergerak untuk pastikan semua berjalan lancar," katanya yang akan ke Sarawak malam ini bagi mengadakan perbincangan akhir dengan wakil di negeri itu.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan ketika dihubungi berkata, beliau yakin satu kejutan akan berlaku di Sabah mengenai beberapa orang Ahli Parlimen BN yanag akan lompat parti menyertai Pakatan Rakyat.

"Saya sudah terima panggilan dari mereka (Ahli Parlimen BN) minggu lalu untuk berbincang mengenai perkara ini.

"Sudah pasti mereka dari Sabah. Namun saya tak tahu berapa orang yang cakap dan berapa orang yang akan buat (lompat parti)," katanya.

Bagaimanapun beliau terus berkeyakinan bahawa akan berlaku perubahan sama ada pada esok ataupun luasa.

Ditanya mengapa Pakatan Rakyat seolah-olah menangguhkan tarikh pembentukan kerajaan baru hingga ke tarikh lain selain 16 September, beliau berkata: "Perkara penting begini perlu berhati-hati, jadi mungkin ambil masa."





Zaid serah surat letak jawatan


http://buletinonline.net/images/berita11/gelagat2menteri.jpg

Menteri Lawan Menteri - Sehari sebelumnya, Syed Hamid Albar menafikan dia mengarahkan tangkapan dengan ISA, “I did not order it,", Bila Zaid Ibrahim tidak bersetuju dengan penggunaan ISA dalam penahanan terbaru itu, Syed Hamid kata tindakannya meluluskan penahanan di bawah ISA itu adalah bagi pihak kerajaan yang memerintah !??

Datuk Zaid Ibrahim, yang mengkritik kerajaan kerana menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) minggu lepas, telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebentar tadi.

Menurut sumber, surat tersebut diserahkan kepada pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 2 petang.

Zaid melahirkan rasa tidak senangnya pada langkah kerajaan menangkap exco kerajaan Selangor dan juga ahli parlimen DAP Teresa Kok, pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng atas dakwaan mengancam keselamatan negara, Jumaat lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zaid gagal mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian Kota Bharu selepas tidak mendapat cukup pencalonan.

Beliau hanya mendapat 17 pencalonan, kurang tujuh daripada yang diperlukan.

Semua 116 cawangan telah mengadakan mesyuarat tetapi empat cawangan diarahkan bermesyuarat semula kerana masalah teknikal.

Berikutan itu, jawatan ketua Umno bahagian Kota Bharu dimenangi oleh bekas timbalannya Datuk Mohd Fatmi Che Salleh, pemangku jawatan tersebut sewaktu Zaid digantung keahlian selama tiga tahun kerana politik wang.

Ahli jawatankuasa Umno bahagian Che Mansor Adabi berkata, kegagalan Zaid itu kerana ahli mahukan perubahan kepada pucuk pimpinan bahagian.

"Ia mungkin ada kaitan dengan politik Umno yang sedang berlaku sekarang," katanya.

Mohd Fatmi kini setiausaha politik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


Dato' Seri Presiden Pas

Masjid Rusila Terengganu.

Dato' Seri Presiden mengimamkam solat jenazah.

Rumah Presiden Pas, Dato' Seri Hj. Abd. Hadi.

Dato' Seri Presiden di atas bot nelayan.




ISA: Zaid Ibrahim sanggup letak jawatan


Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Zaid Ibrahim yang menjaga hal-ehwal perundangan, sanggup meletak jawatan jika kerajaan terus menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkannya sebagai 'tidak adil'.

Ahli politik BN yang lantang bersuara itu juga mendesak supaya ahli parlimen DAP, Teresa Kok dan blogger Raja Petra Kamaruddin yang ditahan di bawah ISA dibebaskan segera.

Wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng turut ditahan di bawah ISA tetapi telah dibebaskan.

"Kita mempunyai sebuah kerajaan yang komited kepada undang-undang dan pembaharuan, kita tidak boleh menggunakan politik gaya lama atau bertindak mewujudkan ketakutan.

"Kita ada undang-undang dan mereka boleh didakwa di mahkamah.

"Saya sedang berusaha untuk bertemu Perdana Menteri (Abdullah Ahmad Badawi) minggu ini untuk menyatakan pendirian saya itu kepada beliau.

"Jika (beliau menganggap) pendirian saya itu tidak dapat dipertahankan, saya akan letak jawatan," katanya ketika dihubungi dari Kota Baru semalam.

Beliau telah mengadakan sidang akhbar di kediamannya di Kota Bharu di mana beliau becakap mengenai perkara yang sama.

Bernama memetik beliau Zaid sebagai berkata, penggunaan ISA hendaklah dikhususkan untuk pengganas, komunis dan pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan secara paksa.

"Tujuan asal (ISA), digunakan terhadap pengganas bersenjata, orang yang hendak menggulingkan kerajaan secara paksaan...komunis. Jadi, kita perlu tetap dengan itu," katanya.

Zaid berkata negara mempunyai banyak undang-undang yang boleh digunapakai bagi menangani isu-isu seperti ketegangan kaum dan mengancam keselamatan negara.

"Di dalam negara kita ada banyak undang-undang yang boleh digunakan oleh pihak polis untuk menahan mereka tanpa menggunakan ISA.

"Kita ada undang-undang Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan yang boleh menjelaskan kepada rakyat kenapa mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang tanpa menggunakan ISA," katanya.

Zaid juga berkata banyak lagi pendekatan yang boleh digunakan untuk mengurangkan perbezaan kaum atau isu perkauman termasuk melalui sesi dialog dan perbincangan secara aman.

Pakatan Adakan Perhimpunan Anti-ISA hari ini


Keutamaan adalah kestabilan politik. Ia bukannya isu penangguhan, kita mempunyai jumlah (yang cukup) untuk meneruskannya

Keutamaan adalah kestabilan politik. Ia bukannya isu penangguhan, kita mempunyai jumlah (yang cukup) untuk meneruskannya - DSAI

Pakatan adakan perhimpunan anti-ISA hari ini 15 sept. 08 - Polis telah meluluskan permit.

Pakatan Rakyat mengumumkan satu perhimpunan perdana akan diadakan di Stadium Kelana Jaya esok bagi membantah tindakan kerajaan membuat tangkapan di bawah ISA - sehari sebelum sampainya tarikh rancangan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil kuasa melalui penyertaan ahli Parlimen BN ke dalam Pakatan.

Semalam, Anwar berkata beliau telah mempunyai sokongan yang mencukupi untuk mengambil alih kuasa, tetapi peralihan kuasa yang dijadual Selasa ini, mungkin ditangguhkan ekoran operasi penahanan ISA.

“Keutamaan adalah kestabilan politik. Ia bukannya isu penangguhan, kita mempunyai jumlah (yang cukup) untuk meneruskannya,” katanya, sambil menambah, beliau juga mungkin menjadi sasaran penahanan di bawah ISA.

Anwar, bekas timbalan perdana menteri yang dipecat dan menjalani hukuman penjara sedekad yang lalu, memerlukan penyertaan 30 lagi ahli parlimen ke dalam Pakatan untuk mengambil alih kuasa dari Barisan Nasional.

Kemungkinan itu tidak terfikir sebelum pilihanraya umum Mac lalu, apabila barisan pembangkang itu mengejutkan negara apabila menafikan BN majoriti dua pertiga di Parlimen.

Sejak itu, BN bergoncang dan penahanan seorang ahli politik pembangkang, blogger terkemuka dan seorang wartawan, Jumaat lalu di bawah ISA, telah mencetuskan kebimbangan penangkapan besar-besar dilancarkan terhadap pembangkang.




Kuku Besi -menindas rakyat yang berani bangkit bersuara








Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, kerajaan Barisan Nasional yang diketuai Umno, menggunakan kuasa kuku besi untuk menindas dan membungkam rakyat Malaysia yang berani bangkit bersuara demi kebenaran dan integriti.

"Mereka teguh menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap segala penyalahgunaan kuasa, korupsi dan politik perkauman yang sering dimainkan oleh elit pemerintah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar turut mengulangi kecamannya terhadap ISA dan penggunaannya untuk menahan penulis blog serta aktivis terkenal Raja Petra Kamaruddin, Ahli Parlimen Seputeh yang juga exco kerajaan Selangor, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

"Pada 8 Mac dan kemudiannya pada 26 Ogos, rakyat Malaysia menyuarakan hasrat mereka agar terbentuknya sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mampu untuk memenuhi aspirasi rakyat.

"Barisan Nasional yang diketuai Umno sudah sekian lama mengabaikan tanggungjawab ini," kata Anwar yang juga penasihat PKR dan ahli Parlimen Permatang Pauh.

Bagaimanapun, tegas Anwar, mereka gagal untuk memenuhi tuntutan perubahan, malah sanggup untuk menggadaikan negara ini bagi menyelamatkan diri sendiri serta untuk mengekalkan kuasa mereka.

"Kita tertanya-tanya sejauh mana kerajaan ini sanggup untuk menidakkan keadilan, menghancurkan institusi kenegaraan dan mengadu domba rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

"Kami secara tegas menolak politik perkauman yang dimainkan oleh ahli politik Barisan Nasional yang diketuai Umno, apa yang berlaku jelas merupakan satu usaha mereka untuk mengalih perhatian rakyat
dari masalah dalaman Umno yang kian memburuk.

Masyarakat berbilang kaum

"Kami pimpinan Pakatan Rakyat bertekad serta berjanji bahawa kami tetap komited untuk membina masyarakat berbilang kaum yang teguh.

"Kami ingin menyorot pandangan semua kepada kenyataan Pakatan Rakyat yang dikeluarkan pada 8 September lalu.

"Kenyataan itu membuktikan iltizam kami untuk menjunjung jaminan yang termaktub di dalam Perlembagaan termasuklah kedudukan Islam sebagai agama rasmi, hak rakyat Malaysia untuk mengamalkan
agama masing-masing, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak kaum masing-masing untuk menggunakan bahasa ibunda mereka dan kedudukan Raja-Raja Melayu serta kedudukan istimewa
orang Melayu dan bumiputera lainnya.

"Kami menggesa kerajaan untuk memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa operasi yang bermotifkan politik ini sudah berakhir," katanya.

Anwar berkata, sebagai rakyat negara ini yang bertekad untuk mematuhi semangat keperlembagaan, "kita sudah tidak mahu lagi hidup di dalam ketakutan".

"Kami menggesa sesiapa sahaja yang ditahan dibawah ISA mestilah dibebaskan segera.

"Kami juga menawarkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada rakan-rakan kita yang ditahan serta keluarga mereka tatkala melalui saat-saat sukar ini," katanya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .