
 
Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar didakwa melakukan 
promosi dengan memasang billboard secara haram di beberapa kawasan di 
daerah Kuala Selangor yang memaparkan wajahnya bersama Perdana Menteri, 
Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin 
berkata, hasil semakan dilakukan didapati terdapat tujuh billboard 
berkaitan yang dipasang secara haram di Tanjung Karang dan Kuala 
Selangor yang semuanya melanggar peraturan dan tanpa kebenaran Majlis 
Daerah Kuala Selangor (MDKS). 
Beliau berkata, tindakan Noh yang juga Menteri Pertanian dan Asas Tani 
itu jelas membelakangkan peraturan dan undang-undang yang menjadikan 
Tanjong Karang umpama pekan koboi dengan boleh dilakukan apa saja tanpa 
perlu merujuk kepada pihak berkuasa. 
“Mungkin Perdana Menteri tidak tahu perkara ini kerana Noh adalah orang 
kepercayaannya. Dengan pendedahan ini, kita pasti Najib akan merasa malu
 apabila gambarnya dipaparkan pada billboarad haram. 
“Jika undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pun tidak boleh 
dipatuhi, adakah rakyat Selangor rela menerima Noh sebagai calon Menteri
 Besar jika Umno-BN menang pada pilihanraya akan datang? Perdana Menteri
 sepatutnya berfikir 10 kali tentang perkara ini,” katanya dalam 
kenyataan media di sini hari ini. 
Faekah berkata, Kerajaan Negeri telah lama memberi peluang kepada Noh 
tetapi tidak mengambil inisiatif untuk berbincang dengan MDKS atau 
merujuk terlebih dahulu sebelum membina billboard tersebut. 
Sehubungan itu, katanya, arahan merobohkan semua billboard telah dikeluarkan kepada MDKS. 
Menurutnya, tindakan Noh itu amat dikesali kerana sebelum ini beliau 
mencerca Pakatan Rakyat (Pakatan) kononnya hanya tahu memacakkan 
billboard yang dikatakan tindakan tidak tahu diuntung. 
Tambahnya, Kerajaan Negeri menggunakan billboard di seluruh negeri ini 
untuk menyebarluaskan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk 
memberi manfaat kepada rakyat yang tidak mungkin mendapat maklumat ini 
menerusi media cetak arus perdana dan televisyen. 
“Kita meminta kebenaran untuk meminjam billboard milik PBT di seluruh 
negeri. Kita juga membina 56 billboard baru iaitu satu Dewan Undangan 
Negeri (DUN) satu billboard untuk mempromosikan MES selepas mendapat 
cadangan dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) dan diluluskan Majlis 
Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). 
“Projek ini dibuat secara tender terbuka dan pemilihan tapak dibuat atas
 nasihat PBT. Kita memastikan pembinaan billboard ini mematuhi semua 
garis panduan yang ditetapkan oleh PBT dan mengingatkan PBT supaya 
mengambil tindakan sekiranya kontraktor terlibat gagal mematuhi grsi 
panduan,” katanya. 
~selangorku