Ikuti Blog ini

MB Selangor Kunjungi Keluarga Sosilawati

Presiden KEADILAN, MB Selangor Ziarah Keluarga Sosilawati

Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengunjungi keluarga Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya bagi menyampaikan ucapan takziah daripada KEADILAN dan juga kerajaan negeri.

Kedua-dua pemimpin tersebut turut diiringi Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan pimpinan serta anggota parti.

Mereka tiba di rumah Allahyarhamah di Taman Harmonis di sini kira-kira pukul 2.30 petang dan meluangkan lebih sejam bertanya khabar kepada anak-anak Sosilawati serta memberikan mereka semangat sebelum mengadakan majlis tahlil.

Ketika bercakap kepada media, Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah sambil menyifatkan pembunuhan Sosilawati sebagai mengejutkan, kejam dan tidak berperikemanusiaan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada pihak polis bagi pihak kerajaan negeri Selangor dapat menyelesaikan kes pembunuhan ini dengan pantas dan kita berharap polis juga mampu membuat penyiasatan terperinci sehingga pihak yang bersalah dihadapkan ke pengadilan," kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid menganggap Sosilawati seorang usahawan wanita yang gigih dan berjaya dan kehilangan beliau amat dirasai terutamanya oleh ahli Dewan Perniagaan Melayu Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Sosilawati, 47, dan tiga lagi lelaki yang hilang sejak 30 Ogos dibunuh sebelum mayat mereka dibakar disebuah ladang ternakan di Telok Gadong berhampiran Tanjung Sepat, Morib pada tengah malam Sabtu lalu.

Jutawan kosmetik yang merupakan pengasas Nouvelle Visages hilang selepas dikatakan ke Banting atas urusan jual tanah. -SK


MB Selangor: Sosilawati Usahawan Berjaya, Disegani

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, yang dibunuh dengan kejam bersama tiga individu lain, merupakan usahawan berjaya dan disegani, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata Sosilawati, yang juga ahli Dewan Perniagaan Melayu Wilayah Persekutuan dan Selangor, mempunyai kebolehan dan keupayaan dalam bidang perniagaan.

Abdul Khalid berharap agar penyiasatan terhadap kes itu dapat dilakukan segera untuk mententeramkan kembali keadaan.

“Saya yakin pihak polis telah menjalankan kerja dengan sebaiknya dan setakat ini pun mereka telah menunjukkan kecekapan dalam mencari maklumat berikutan kes ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat ahli keluarga Sosilawati di Gombak dekat sini hari ini.

Menteri Besar Selangor itu berkata beliau sempat menemui mangsa semasa menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, dua hari sebelum Sosilawati dilaporkan hilang.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Pada Ahad, Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Kuala Langat. – Bernama

Polis geledah firma guaman milik peguam bergelar Datuk




Polis hari ini menggeledah pejabat firma guaman milik peguam bergelar Datuk di sini bagi mencari bukti penglibatannya dengan kes penipuan hingga membawa kepada pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Sepasukan polis dilihat tiba di pekarangan firma guaman, yang terletak di Jalan Kemboja 33, Off Jalan Sultan Alam Shah di sini kira-kira pukul 10.45 pagi, namun beredar lima minit kemudian apabila gagal membuka pintu pejabat berikutan kunci yang tidak sesuai.

Polis kemudiannya dilihat kembali ke firma itu kira-kira 30 minit kemudian bersama seorang lelaki, yang berpakaian lokap warna ungu, dipercayai peguam bergelar Datuk itu.

TG Nik Aziz: Pemasyhuran Sultan selesai kemelut Istana


Menteri Besar Kelantan TG Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap pelantikan Tuanku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru dapat menyelesaikan kemelut istana negeri ini. tengku faris kelantan 130910Sehubungan itu, beliau meminta segenap lapisan rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa, agar mendoakan semoga negeri ini selamat zahir dan batin serta dunia dan akhirat. Berikutan pemasyhuran itu juga, beliau tidak mahu ada lagi pihak yang mengungkit isu pelantikan Sultan Kelantan setelah Tuanku Ismail Petra gering sejak lebih setahun yang lalu, seperti kata pepatah 'rumah siap pahat berbunyi'. "Sekiranya ada lagi tukul dan pahat-pahat berbunyi, kita harap simpan dalam peti masing-masing," katanya kepada pemberita di Istana Negeri, Kubang Kerian di Kota Bharu, semalam. Beliau berkata demikian selepas majlis penghadapan dan penyerahan watikah pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru. TG Nik Abdul Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, berkata selama lebih setahun beliau menghadapi masalah untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai kemelut yang melanda istana Kelantan kerana beliau amat menghormati institusi itu. - Bernama
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .