Ikuti Blog ini

Apa orang kata, PAS dan DAP bertaut juga

"MACAM-macam orang kata: PAS sudah diperalat DAP; PAS telah menggadai prinsipnya kerana bersekutu dengan DAP; tiada lagi PAS dihormati oleh muafakatnya dengan DAP; bahkan dengan persefahaman itu PAS dikatakan tiada lagi memperjuang Islam dan kepentingan orang Melayu.

Tiada dihirau oleh PAS. Bertambah kerap gambar kelihatan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama Lim Kit Siang. Dan Tok Guru Nik Abdul Aziz pula menolak berpecah PAS dan DAP sekalipun beberapa wakil rakyat PKR meninggalkan Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Kelantan itu sangat gembira dengan hubungan yang ada kerana ia membuka ruang dakwah orang bukan Islam, malah beliau merasakan DAP sudah tidak sensitif lagi dengan pandangan Islam yang dibawa oleh PAS.Jalinan yang ada itu mulanya justeru politik yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bolehlah dikatakan peranan dan kebijaksanaan Anwarlah yang merapatkan kedua parti itu boleh berada di bawah satu bumbung.

Dikenang kejadian lampau, seolah-olah tiada lorong bagi kedua parti pembangkang itu untuk bekerjasama malah untuk berdekat-dekat.

Pernah bertempur PAS pusat dengan Dewan Pemuda PAS pusatnya atas isu kemungkinan kerjasama PAS dan DAP. Di hujung kepimpinan Datuk Asri, pernah beliau menyebut kemungkinan kerjasama kedua parti itu apabila soalan itu ditanya wartawan.

Pemuda menolak sekalipun kenyataan Datuk Asri itu berlandas kepada teori kemungkinan. Bagi kumpulan popular PAS masa itu, teori kemungkinan tidak terpakai dalam isu itu. Bahkan ia dikatakan suatu yang mustahil.

Malah DAP sendiri tidak boleh dilihat bersua dan bertemu PAS. Akan payah ia menghadapi situasi apabila masyarakat Cina menempelaknya sudah bersekongkol dengan PAS.

Dalam majlis keramaian pemimpin DAP menjauhi pemimpn PAS dan pemimpin PAS mengelak dari berdekatan dengan DAP. Pemimpin kedua pihak hanya boleh berada dalam satu pentas forum di universiti saja.

Apabila Tengku Razaleilgh Hamzah yang memimpin S46 mengadakan hubungan dengan PAS dan DAP, Ku Li mengadakan pertemuan yang berasingan.

Hubungan yang seperti itu pun menyebabkan PAS dan DAP terpaksa memahamkan orang ramai bagi menjernihkan keadaan. Terpaksa PAS mengeluarkan kenyataan menyamakan keadaan itu seperti hubungan diplomasi antara Malaysia dengan Singapura.

Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Singapura ada hubungan itu dengan Israel. Tetapi ia tidak menghalang Malaysia meneruskan hubungan dengan Singapura.

DAP juga membuat penjelasan yang sama tetapi yang digunakan ialah hubungan Malaysia dengan Amerika. Boleh Malaysia mengadakan hubungan dengan Amerika sekalipun Amerika bersaudara dengan Israel.

Itulah situasai politik yang disusun oleh UMNO selama-lamanya. Tetapi ia sudah berubah. Kedua-duanya sudah bersama dan ziarah menziarahi. Adalah politik yang menimpa Anwar membuka medan baru bagi kedua PAS dan DAP.

Dengan hubungan yang ada, kalau ditakdirkan PKR tidak ada seperti yang diinginkan oleh UMNO, maka sudah boleh keduanya tidak menggunakan khidmat pihak ketiga.

Sekalipun yang terjadi pada Anwar itu satu musibah yang perit bagi Anwar dan ia satu tragedi kepada Malaysia, tetapi ia seperti memberi rahmat kepada PAS dan DAP. Jika Anwar tidak dibuang Dr. Majathir dari UMNO dan kerajaan, maka tidak diketahui apa yang memungkinkan PAS dan DAP berkawan seperti abang adik?

Apa yang ditunggu bagi mendekatkannya sedang gandingan antara DAP dan PAS itu adalah satu tuntutan yang penting bagi politik Malaysia untuk keluar dari kuasa politik satu parti?

Tidak tahu apa yang ada dalam otak Dr. Mahathir, dia membuang Anwar dari kumpulannya dan menyimpannya di Penjara Sungai Buluh. Apabila Anwar ditahan serta beberapa orang lagi penyokongnya, Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS ketika yang berada di Jalan Pahang, Kuala Lumpur bersama Mahfuz Omar (kini datuk) memanggil saya.

Perintahnya supaya kami memanggil parti-parti politik dan individu yang terkemuka dalam masyarakat termasuk DAP. Datang Lim Kit Siang dalam satu perjumpaan di Markaz Taman Melewar. Perjumpaan itu membentuk GERAK bagi menyatakan tentangan terhadap tindakan ke atas Anwar.

Geraklah yang menggerakkan permulaan hubungan antara DAP dan PAS. Markaz Tarbiyah itulah yang memainkan peranan tempat pertemuan kedua pihak dan nasib malang Anwar yang menemukan mereka.

Tempoh berbulan madunya tidak lama. Probokasi Dr. Mahathir dan UMNO menyebabkan muafakat Barisan Alternatif PAS-DAP itu tidak lama. Tinggallah Barisan Alternatif dengan PAS, KeADILan dan PRM sedang Anwar terus terbelenggu di Sungai Buluh.

Setelah beberapa tahun mahkamah membebaskan Anwar. Apabila Anwar berada di luar penjara, dia memainkan peranan membawa semula DAP dan PAS dalam satu jalinan baru bersama KeADILan yang sudah menjadi PKR.

Kerjasama ketiganya memukul terus Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 8 Mac, 2008 hingga BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, ia gagal menawan Kelantan dan ia merudum pula di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Ia juga kecewa di Wilayah Persekutuan.



Ia masih tiga parti tetapi tidak berlawan sama sendiri dalam pilihan raya. Lepas itu baru mereka membentuk parti kumpulan kedua yang dinamakan Pakatan Rakyat dan menjadikan Anwar sebagai ketua pembangkang pemimpin de fakto Pakatan itu.

Anwar cuba dibinasakan lagi sebagai usaha membinasakan Pakatan Rakyat. Peranan Anwar itu penting dan masih penting. Teori UMNO ialah jika Anwar binasa, PKR binasa dan Pakatan Rakyat juga binasa. Tetapi peranan Anwar itu sudah merapat kukuh muafakat PAS dan DAP.

Jika ditakdir Anwar dibinasakan, ia tidak lebih dari pemimpin boleh datang dan boleh pergi. Kit Siang, Ustaz Hadi, Tok Guru Nik Aziz juga boleh pergi, tetapi PAS, DAP dan PKR sudah berada pada rel yang selesa.


oleh:Subky Latif

HIMPUNAN AMAN CINTAI RASULULLAH SAW DAN BANTAHAN PEMBINAAN KUIL YAHUDI DI BAITULMUQADDIS


KENYATAAN MEDIA
24 MAC 2010

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

PARTI ISLAM Se MALAYSIA (PAS)

HIMPUNAN AMAN CINTAI RASULULLAH SAW DAN

BANTAHAN PEMBINAAN KUIL YAHUDI DI BAITULMUQADDIS

Dewan Pemuda PAS Pusat membantah sekeras – kerasnya tindakan akhbar di Sweden yang telah menghina Nabi Muhammad SAW. Sebelum ini beberapa karikatur Rasulullah telah dikeluarkan oleh Akhbar di Denmark dan kini pula di akhbar Sweden. Penghinaan seperti ini tidak boleh dipandang ringan oleh ummat Islam bahkan juga non muslim, justeru ia satu pencabulan terhadap kesucian agama.

Pemuda PAS juga memandang serius isu yang sedang berlaku di Baitulmuqaddis pada ketika ini. Berikutan pembinaan Kuil Al-Kharab di sebelah Barat Masjid Al-Aqsa yang mencemarkan kehormatan kota suci Ummat Islam. Pihak penjajah Zionis juga mengumumkan pembukaan kuil tersebut sebagai langkah permulaan untuk membina Kuil Haikal Sulaiman di atas tapak Masjid al-Aqsa yang akan diruntuhkan kelak. Ummat Islam di seluruh dunia diseru agar mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam dan bumi Israk Mikraj Rasulullah SAW.

Bagi membantah tindakan tersebut, Pemuda PAS akan mengadakan satu himpunan aman bagi membantah tindakan tersebut pada butiran berikut:

Tarikh : 26 Mac 2010 (Jumaat)

Masa : 01.15 pm - solat Jumaat di Masjid Tabung Haji.

: 02.00 pm - berkumpul dan berarak ke Kedutaan Sweden.

Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan agar semua rakyat Malaysia yang prihatin, sama ada muslim dan non-muslim serta seluruh NGO – NGO yang cintakan keamanan dapat bersama hadir membantah tindakan Akhbar Sweden dan Rejim Zionis yang mencabul kesucian agama Islam.

Semua para wartawan dijemput hadir untuk membuat liputan.

Al Fadhil Haji Nasrudin Hassan Al Tantawi

Ketua Pemuda PAS Pusat

Kelantan setuju lantik Tengku Razaleigh runding tuntutan royalti minyak

KOTA BHARU, 24 Mac: Kerajaan Kelantan bersetuju melantik mantan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) sebagai perunding untuk berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Petronas mengenai tuntutan royalti minyak.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa memberitahu, pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta dan surat rasmi mengenainya akan dihantar hari ini juga.

Menurutnya lagi, mesyuarat Exco hari ini yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengambil keputusan bersetuju melantik Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebagai wakil kerajaan untuk berunding menyelesaikan isu tuntutan negeri berhubung isu royalti minyak daripada Kerajaan Pusat.

Jelasnya, pelantikan itu tidak melibatkan apa-apa bayaran daripada kerajaan negeri kepada Razaleigh.

“Kita berharap Tengku (Razaleigh) akan bersetuju sebab sebelum ini Tengku ada menawarkan diri sebagai perunding dan orang tengah untuk menyelesaikan tuntutan itu,” ujarnya ketika ditanya sama ada veteran Umno itu bersetuju atau sebaliknya dengan pelantikan itu.

Ketika berucap di hadapan kira-kira 50,000 rakyat Kelantan dalam ceramah perdana tuntutan petroleum anjuran Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) di Stadium Sultan Mohamad ke-IV akhir Januari lalu berkata Kelantan berhak mendapat bayaran royalti sebanyak lima peratus.

Beliau sekali lagi menyatakan perkara itu ketika berucap pada satu program anjuran Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) di Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 18 Mac lalu tetapi tidak setuju isu tuntutan itu dibawa ke mahkamah. - Hrkh...

Sivarasa: KPN tipu kelayakannya

Satu laporan polis dibuat terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang didakwa memberikan pengakuan palsu berhubung kelayakannya pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Menurut laporan polis yang dibuat oleh peguam Anwar, R Sivarasa, Musa, pegawai penyiasat dalam kes itu memberitahu mahkamah ketika itu bahawa dia mempunyai ijazah sarjana muda dalam undang-undang.

Bagaimanapun, dalam satu lagi perbicaraan yang membabitkan kes rasuah bekas Pengarah Sisatan Jenayah Perdagangan, Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff pada tahun 2009, Musa memberitahu mahkamah dia memiliki “diploma dalam undang-undang dan pengajian pengurusan”.

“KPN telah memberikan kenyataan palsu dengan mengatakan dia memiliki ijazah undang-undang ketika disoal balas dalam kes Anwar, sedangkan hakikatnya dia hanya mempunyai diploma dalam undang-undang,” kata Sivarasa ketika dihubungi.-M'kini

Umno BN Terengganu Tidak Berkhidmat Kepada Rakyat - Lim Guan Eng




Rakyat Terengganu Kena Berterima Kasih Kepada PAS


KUALA TERENGGANU – Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Lim Guan Eng berkata, rakyat negeri Terengganu kena berterima kasih kepada kerajaan PAS yang memerintah negeri Terengganu pada tahun 1999.

Beliau berkata demikian kerana menurutnya, sebelum daripada PAS memerintah, kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak memberikan wang Ehsan sebnyak RM300 kepada rakyat negeri Terengganu walaupun mula menerima royalti Petroleum sejak tahun 1978.
(Gambar - Ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS Terengganu menyambut ketibaan YAB Tian Lim Guan Eng di Kag Tiong semalam)

“Kita bukan berterima kasih kepada Barisan Nasional, kita patut ucapkan terima kasih kepada PAS, kerana bila PAS jadi kerajaan (pada 1999) baru boleh dapat RM300,

“sebelum PAS perintah ada RM300 tak…….? Tak ada…..,”katanya ketika berucap dalam Majlis Minum Petang anjuran Badan Perhubungan PAS di Kampung Tiong disini semalam.

Menurutnya, kerajaan Umno/ BN Terengganu bukanlah kerajaan yang baik kerana katanya kerajaan yang baik itu mesti mendengar suara rakyat.

Selain itu, katanya, kerajaan baik itu mesti bekerja untuk rakyat dan memberikan harapan kepada rakyat.

Namun, kerajaan Umno/BN Terengganu gagal kerana tidak menggunakan hasil minyak yang banyak untuk menghapuskan golongan miskin tegar dikalangan rakyat negeri Terengganu.

“Adakah mereka mendengar suara rakyat? Rakyat minta gunakan royalty untuk hapuskan miskin tegar di Terengganu! Adakah kerajaan Tetrengganu laksanakan…… mana ada!,”tegasnya.

Katanya, dengan adanya begitu banyak hasil royalti minyak, kerajaan Terengganu sepatutnya sudah lama dapat menghapuskan golongan miskin tegar.

Oleh itu katanya, rakyat mesti berani membuat perubahan untuk kehidupan masa depan yang lebih baik.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, walaupun pengaruh DAP di negeri Terengganu tidak kuat, tapi hubungan erat dikalangan parti-parti Pakatan Rakyat adalah sangat penting.

Dengan mengekalkan hubungan itu, katanya, Pakatan Rakyat akan dapat meneruskan cita-cita untuk menang dalam pilihanraya umum yang akan datang, samada di negeri Terengganu mahu pun di di peringkat kerajaan Pusat. BO

Tolak p'raya PBT selepas Najib tolak bukti SPR tidak bebas - Guan Eng


Harakahdaily



KUALA LUMPUR, 24 Mac: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan membuktikan badan itu tidak bebas.

Ini kerana, SPR sekadar mengikut apa yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri sebelum ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Kita tidak harus terkejut dengan keputusan ini,” katanya.

“Jika tauke telah memberikan pandangannya, maka siapa yang akan memberikan jawapan bertentangan? SPR harus bertindak bebas, ini menunjukkan SPR tidak bebas,” kata beliau pada sidang media di lobi bangunan Parlimen.

Lim berhujah bahawa di bawah Artikel 113 (4) Perlembagaan Persekutuan ada dinyatakan bahawa undang-undang persekutuan dan negeri memberi kuasa kepada SPR untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Katanya kerajaan negeri akan mengkaji kandungan surat penolakan suruhanjaya untuk tindakan masa depan tetapi tidak akan mengubah kedudukan mereka dalam perkara itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula menyifatkan tindakan ini satu langkah penyekatan kepada demokrasi di negara ini.

“Ada baiknya jika SPR mula mempertimbangkan untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan di mana penduduk setempat boleh mengadakan hubungan baik dengan pihak berkuasa tempatan,” kata beliau kepada sebuah laman wab di bangunan Parlimen hari ini.

“Ini salah satu usaha untuk menjadikan amalan demokrasi negara ini lebih bersifat matang,” katanya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata barisan Exconya akan diberi taklimat tentang sebab SPR menolak rayuan kerajaan-kerajaan negeri PR.

Kedua-dua kerajaan negeri dimaklumkan keputusan SPR itu petang semalam.

Pagi tadi, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tiada “undang-undang yang membolehkan” pihaknya untuk mengembalikan undi ketiga menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.

Ia sekali gus menolak permintaan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor.

Beliau menjelaskan pilihan raya kerajaan tempatan telah dimansuhkan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Seksyen itu mengatakan bahawa “kesemua peruntukan dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan pilihan raya kerajaan tempatan telah dimansuhkan ataupun tidak lagi berkuat kuasa.”

MP BN Bidas Zahrain : Gemuk Dan Kenyanglah Kamu Selepas Melompat!




Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Ghafur Salleh mendakwa Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim semakin 'gemuk' dan 'kenyang' setelah beliau bertindak keluar KEADILAN dan menjadi anggota Bebas.

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan setelah beliau membidas Zahrain di dalam Dewan kerana menamakan nya sebagai salah seorang antara lapan Ahli Parlimen yang mahu melompat menyertai Pakatan Rakyat pada 16 September 2008, Ghafur berkata zahrain telah berbohong.

"Saya tidak pernah lompat parti dan ini bererti Zahrain tidak menggunakan fakta yang betul.

"Media seperti Berita Harian, Utusan dan TV3 kata Anwar umpan saya, saya nak tanya siapa yang umpan siapa?,Saya minta Zahrain dedahkan semua 32 nama pemimpin wakil rakyat daripada Barisan Nasional yang ingin melompat.

"Apa yang boleh dikatakan di sini, Zahrain nampaknya sudah gemuk apabila sudah menjadi Ahli Bebas.Saya nak beritahu Zahrain, jangan dengar cerita orang buat masyarakat di tempat saya keliru dan saya mahu tanya kenapa sudah dua kali 16 September, baru kali ini buat keputusan. Tarikh tersebut sudah menjadi sejarah kenapa sekarang baru dipersoalkan," kata Ghafur kepada media.

Ghafur berkata Zahrain perlu menamakan semua nama Ahli Parlimen yang mahu melompat jika dakwaan beliau itu benar dan mempunyai asas.

Sebelum ini Zahrain mendedahkan nama lapan orang wakil rakyat Barisan Nasional semasa perbahasan titah menjunjung kasih Yang DiPertuan Agong. -SK

Jutaan Ringgit Masuk Poket Yip Sun Onn?

Yip Sun Onn, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi dari MCA letak jawatan kerana dua sebab:

- Tidak puashati dengan kepimpinan MCA.
- Frust sebab digugurkan daripada menjadi exco negeri Perlis.

Rumusannya:
- - Gabungan parti dalam BN semakin bercelaru.

- - Wakil rakyat BN lebih pentingkan keuntungan peribadi daripada berkhiadmat untuk rakyat. Laungan rakyat didahulukan olih BN hanyalah retorik politik yang penuh dengan penipuan.

- - Bila Md Isa berkata pihaknya sedang merayu Yip untuk menarik balik hasratnya kerana bimbang diadakan pilihan raya kecil, pasti jutaan ringgit akan mengalir ke poket Yip....


berapa erk mamat ni dapat?

PAS ucap takziah kepada keluarga Sulaiman Daud





Najib Akan Diseret Ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan

Sidang Dewan Rakyat semalam gempar apabila cubaan pemerintah menyelewengkan fakta bagi menafikan royalti minyak kepada rakyat Kelantan dibongkar Pakatan Rakyat.

Semalam, Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub mendedahkan bahawa Perdana Menteri Najib Abdul Razak cuba menutup penyaluran wang royalti kepada negeri Terengganu sebagai wang ehsan.

Salahuddin bangun dengan mengemukakan usul tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) pagi tadi.

Dalam sidang media beliau berkata Najib diberi tempoh tujuh hari bagi membuat penjelasan dan jika tidak beliau boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Perdana Menteri pada sesi penggulungan November lalu didakwa telah menyelewengkan fakta berhubung hak Kelantan mendapat royalti atas alasan minyak tersebut berada di luar kawasan perairan negeri, iaitu tiga batu nautika seperti dirujuk pada Akta Ordinan Darurat 1969.

Beliau berhujah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969 sebenarnya telah pun dimansuhkan.

"Walaupun ordinan tersebut telah dimansuhkan kerajaan telah memperuntukan wang ihsan kepada negeri Terengganu dengan mengambil kira minyak di luar perairan negeri itu," kata Salahuddin.

"Meskipun peruntukan perundangan adalah jelas, kerajaan telah memperuntukan wang ehsan untuk negeri Terengganu dengan mengambilkira pengeluaran minyak di luar pesisir negeri tersebut.

"Dengan menggunakan perkataan wang ehsan, Perdana Menteri telah menyeleweng Dewan yang mulia kerana menurut satu surat yang ditulis oleh Petronas kepada Datuk Setiawangsa, Pegawai Kewangan Negeri di Pejabat Perbendaharaan Negeri Wisma Darul Iman Kuala Terengganu yang bertarikh 19 September 1978 menyatakan anggaran pembayaran wang royalti petroleum 1979.

"Begitu juga surat-surat daripada Petronas kepada kerajaan negeri Terengganu selepas itu termasuklah kepada Menteri Besar Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun 1999 telah jelas menyatakan wang royalti.

"Bagi saya jelas Perdana Menteri telah menyelewengkan Dewan dan dengan menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (12), saya memberi tempoh tujuh hari supaya Menteri membuat penjelasan", jelas beliau dalam sidang media yang diadakan di lobi parlimen.

Dalam pada itu, Speaker meminta tempoh seminggu untuk meneliti semua dokumen dan fakta dan Najib harus menjawab dalam masa tujuh hari dan jika tidak beliau boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .