Ikuti Blog ini

Ugutan Bunuh: TGNA Tak Layan

TG Nik Aziz tak layan kenyataan ugutan bunuh

KOTA BARU, 2 Mei — Menteri Besar Kelantan, TG Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak akan melayan sebarang kenyataan yang menyentuh isu peribadinya termasuk ugutan membunuh dilaporkan dalam laman sosial Facebook.

Mursyidul Am PAS itu juga tidak mempedulikan apa sahaja kenyataan yang dibangkitkan oleh pihak tertentu termasuk kenyataan bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Syed Azidi Syed Aziz yang juga penulis blog yang dikenali sebagai Kickdefella.

Ketika ditanya pemberita TG Nik Aziz (gambar) hanya menyifatkan apa yang diperkatakan mengenainya berhubung kesemua isu itu tidak ada dalam pengetahuannya sama sekali.

“Saya tak ambil peduli (hal itu), saya anggap tak ada langsung (dalam kepala saya),” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan kira-kira 50 anggota rombongan Koperasi Takaful Ibnu Al-''Asr dari Thailand di kediaman rasminya di JKR 10, di sini, hari ini.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Pusat membuat laporan polis berhubung kenyataan ugutan terhadap TG Nik Aziz itu.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi di Balai Polis Chow Kit, Kuala Lumpur. — Bernama

Alhamdulillah. Sikap TGNA terpuji. GB telah dari awal menyatakan itu semua kerja budak-budak. Tak payah dilayan lebih baik.

Yang cuba ugut itu pun sebenarnya tak kenal TGNA. Mereka kenal TGNA hanya dari cerita-cerita dari media massa arus perdana.

Termasuklah kumpulan itu, kumpulan blogger UMNO yang bukan mengkritik, tapi menghina TGNA, siap dengan gambar-gambar lucah yang direka-reka untuk menjatuhkan maruah TGNA.

Namun maruah TGNA tidak jatuh lantarannya. Semakin hebat pula bantuan Allah kepadanya. -GB.

Ugut bunuh TG Nik Aziz, lagi laporan polis dibuat

PENGKALAN CHEPA, 2 Mei: PAS Kawasan Pengkalan Chepa, membuat satu laporan polis berhubung ugutan bunuh terhadap Mursyidul Am Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh seorang pemilik akaun facebook, yang dikenali sebagai Mohd Safuan Hilmi.

Setiausahanya, Hassan Mamat membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, dekat sini.

Kehadiran beliau ditemani hampir 30 penyokong PAS.

"Saya membuat laporan ini kerana berpendapat kenyataan penulis itu adalah satu tulisan ataupun komen yang berunsurkan provokasi terhadap keselamatan dan juga satu ugutan jenayah secara terbuka terhadap seorang ketua sebuah kerajaan.

"Oleh itu kami (PAS) pohon pihak polis dapat membuat penyiasatan penuh dan seterusnya mendakwa penulis terbabit sebagaimana peruntukan undang-undang bagi mengelakkan budaya mengugut yang mengancam keselamatan orang lain daripada terus berleluasa" katanya ditemui di luar pejabat IPD.

Mohd Safuan, melalui laman web sosial facebooknya dikatakan telah menulis "Belum lengkap lagi sbb (sebab) sekor (seekor) lagi barua x (tidak) mati iaitu nik aziz. Tggu (tunggu) aku p (pergi) bunuh nik aziz dulu baru lengkap. Setan tu x layak duk kt (dalam) muka bumi ini lagi.

"Senang bunuh org (orang), tikam je, aku snggup (sanggup) dihukum gantung jika aku dpt (dapat) bunuh nik aziz al dajjal tu" katanya semasa berkomunikasi dengan salah seorang daripada rakan facebook.

Facebook Safuan Hilmi bagaimanapun di tutup selepas perkara itu menjadi perbincangan orang ramai di laman web sosial tersebut.

Dalam profil sebelum ini, Safuan meletakaan ahli Umno pada bahagian pandangan pilitiknya.

Semalam juga, Dewan Pemuda PAS Pusat, turut membuat laporan sama bagi menggesa pihak polis menyiasat ugutan bunuh itu.

Ketuanya, Nasrudin Hassan semalam turut meminta supaya pergerakan Pemuda Umno menafikan bahawa Mohd Safuan ini adalah ahli mereka. -Hrkh

Musa Hassan Anggap PDRM Milik Peribadinya

Kematian Aminulrasyid Amzah ditembak polis kerana tidak berhenti setelah diarah pihak polis untuk berhenti. Suatu peristiwa tragis, sedih dan menyayat hati ibu bapa dan keluarga Allahyarham Aminulrasyid dan syahdunya turut dirasa oleh rakyat jelata. Kita masih dalam trauma kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam itu. Seribu satu pertanyaan belum terjawab dalam benak kita.

Menurut berita TV3 bahawa polis mengejar pemandu kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid dalam masa yang sama kononnya kereta itu menuju nak melanggar polis. Kalau mengikut istilah polis "mengejar" ertinya polis dibelakang kereta yang dipandu Amirulrasyid. Kalau dikatakan kereta yang dipandu Amirulrasyid "menuju ke arah polis" ini bererti polis dan kereta yang dipandu Amirulrasyid "bertentangan?" Yang mana satu cerita betul?

Kalau pun kereta yang dipandu oleh Amirulrasyid menuju ke arah polis, "daripada menembak mangsa tanpa lesen itu, polis punya pilihan untuk mengelak ketepi laluan?" Apakah mesti dihukum tembak kalau seseorang memandu tanpa lesen itu atau lari semasa diarah berhenti oleh polis?

Polis tentunya punya 'walkie talkie', boleh meminta bantuan peronda yang lain untuk mengejar Amirulrasyid daripada polis menggunakan senjata untuk membunuh budak yang baru berusia 14 tahun itu.

Berita TV3 melaporkan bahawa sudah 4 tahun polis meminta peruntukan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk membeli perakam video untuk merakamkan apa sebenarnya berlakusekiranya ada kejadian buruk berlaku tetapi kerajaan tidak ada wang peruntukan.

Kita sangat heran sikap kerajaan Umno-BN kalau dalam PRK Hulu Selangor beratus juta RM dapat diagihkan dalam sekelip mata tetapi sekadar membeli perakam video untuk merakamkan jenayah, kerajaan tiada wang peruntukan? Apa sudah jadi dengan kerajaan Umno-BN ini?

Kita dengar cerita cerita orang kedai kopi 1Malaysia sudah genap "Kugan mati dalam kawalan polis, Teoh Beng Hock mati dalam kawalan SPRM dan Amirulrasyid mati ditembak polis maka genaplah sudah slogan 1Malaysia". Ini cerita kedai kopi saya kurang yakin, saya tidak tahu apa perasaan pengundi 1Malaysia slogan Datuk Najib?

Memanglah IGP Musa Hassan mengugut rakyat, kita terbaca dalam Malaysiakini bahawa beliau akan arahkan anggota polisnya tidak mahu lagi menangkap Mat Rempit dan menjaga jenayah dikawasan kawasan tersebut. Musa Hassan berlagak macamlah dia yang bayar gaji anggota angota polis tersebut. Seolah-olah semua anggota polis itu, dia yang punya.

Kita difahamkan sebuah panel khas yang ditubuhkan, tidak akan menjalankan siasatan sendiri sebaliknya berfungsi memantau siasatan polis. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, yang mengetuai panel itu, berkata panel khas itu akan memastikan siasatan yang dijalankan polis dilakukan secara adil dan telus.

Boleh percaya kah siasatan polis yang dipantau oleh Menteri Umno-BN? Kenapa tidak bentuk Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang diketuai oleh Tan Sri Lee Lam Thye, Prof Khoo Kay Kim dan Prof Agus? Bukan apa, cuma wibawa polis ini sudah banyak dipertikaikan oleh rakyat. Bukan tidak yakin tapi masih kurang percaya imej polis ini belum sembuh sepenuhnya selagi Musa Hassan belum bersara kata orang kedai kopi. - Datuk Halik Zaman

Pengundi tak puas hati buat laporan polis


pengundi Hulu Selangor yang tidak puas hati hari ini membuat laporan polis berhubung pengagihan wang tunai yang didakwa tidak setara dalam pilihan raya kecil parlimen itu Ahad lalu.

Ditemui di ibu pejabat polis di Kuala Kubu Bharu, wakil pengundi itu, Othman Moin berkata seramai 10 Orang Asli dari pelbagai kawasan di parlimen tersebut telah membuat laporan polis tersebut.

"Hari ini mereka berada di sini kerana tidak berpuashati dengan cara pengagihan wang tunai diuruskan... aduan mereka menyentuh pelbagai perkara," kata Othman (kanan, berjaket).

Beliau menambah, ada dari kalangan mereka kecewa apabila wang tunai untuk mengundi pihak tertentu seperti yang diarahkan tidak ditunaikan dan ada juga datang ke situ kerana mereka diugut.

Othman memberitahu terdapat 10 laporan polis dibuat. Bagaimanapun hanya seorang sahaja yang kelihatan memegang salinan laporan polis itu.

Menurut Chambah Mohamad, 53, dari Kampung Orang Asli di Serendah pula, pihak pengurusan pengundian di kampungnya menjanjikan wang tunai sejumlah RM100 setiap orang selepas mengundi. - M'kini

Apco: PAS Pengkalan Chepa kemuka usul tergempar

PENGKALAN CHEPA, 2 Mei: Mesyuarat Agung PAS Kawasan Pengkalan Chepa kali ke-38 semalam menyaksikan satu usul tergempar dicadangkan berkenaan hubungan Malaysia dengan Israel.

Usul tersebut mencadangkan mufti Malaysia atau Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia mengeluarkan fatwa mengenai kedudukan hubungan kerajaan Malaysia dengan Israel atau syarikat yang berkepentingan Isarael.

Usul itu dibangkitkan ekoran dakwaan penglibatan syarikat perunding berkepentingan Israel, Apco Worldwide dalam bidang telekomunikasi Malaysia.

Timbalan Menteri Besar Datuk Haji Ahmad Yakob ketika merasmikan mesyuarat itu berkata, semua mesyuarat agung PAS kawasan wajar mengambil ketetapan sama dengan membuat usul tersebut.

"Bahkan saya amat bersetuju sekiranya mana-mana kawasan PAS mengambil ketetapan usul sebegitu," katanya yang juga timbalan ketua dewan ulama PAS pusat.

Selain itu, beliau menyatakan dewan ulama PAS pusat telah pun mengambil pendirian bersama ahli jawatankuasa PAS pusat membuat bantahan terhadap khidmat Apco Worldwide yang diguna oleh Kerajaan Malaysia.

"Kita membuat bantahan, dan menggesa kerajaan Malaysia membatalkan perjanjian dengan Apco. Selain itu, kita menyokong penubuhan satu suruhanjaya bebas, Suruhanjaya Diraja bagi menjalankan siasatan terhadap (pihak tertentu dan proses berkaitan penggunaan Apco oleh kerajaan Malaysia itu)," katanya.

Mesyuarat semalam berlangsung di Kompleks PURNAMA di sini. -Hrkh

Selain itu, Pas kawasan juga dinasihatkan terus memperkuatkan jentera parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, yang mungkin diadakan pada akhir tahun 2011.

"Ini penting oleh kerana pemerintah (yang didominasikan Umno-BN) mempunyai peluang menggunakan media massa dan jentera kerajaan bagi memenangi pilihan raya tersebut serta menabur janji yang banyak," katanya.

Tegur pemimpin parti biar beradab


Ahli-ahli PAS diiingatkan agar beradab ketika menegur pemimpin parti dengan menggunakan saluran yang betul dan bukan di alam maya.

Platform seperti muktamar atau mesyuarat agung parti merupakan tempat yang paling sesuai ketika menegur atau memberi pandangan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata ahli-ahli PAS boleh memberi pandangan dan teguran kepada pimpinan parti tetapi mesti menggunakan saluran yang betul.

“Kita (ahli PAS) boleh beri pandangan, teguran dan nasihat kepada pimpinan parti tetapi atas platform yang betul.

“Kritikan kita bukan di blog atau di alam maya yang boleh dilihat oleh semua orang termasuk musuh-musuh Islam,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu kali ke-41 di Dewan Banat, Rusila, hari ini.

Menurutnya, kecenderungan manusia menggunakan kemudahan teknologi maklumat mendorong kepada kritikan terbuka melalui blog-blog di alam maya.

Akhirnya, kata Ustaz Idris, perbuatan tersebut boleh mengundang perselisihan serta perpecahan sesama sendiri di dalam parti.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh, Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Khairil Nizam Khairuddin dan Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah. - Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .