Ikuti Blog ini

PAS Dapatkan Pandangan Penulis Blog Tentukan Calon



KUALA TERENGGANU, 17 Dis - PAS akan menilai pandangan daripada pelbagai pihak termasuk penulis blog sebelum menentukan calon untuk bertanding pada pilihan raya umum, 17 Jan depan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pemilihan calon yang benar-benar sesuai, adalah faktor yang paling penting dalam usaha mereka merampas kerusi tersebut daripada Barisan Nasional (BN).

"Kita akan lihat semua termasuk pandangan daripada penulis blog, malah surat layang juga kita akan lihat sebelum menentukan calon," katanya ketika ditemui di luar dewan selepas hari ketiga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-12, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Abdul Hadi, yang baru pulang mengerjakan ibadah haji dua hari lepas, berkata pada masa ini, pihaknya sedang membuat penelitian rapi terhadap calon yang boleh mendapatkan sokongan pengundi di Kuala Terengganu.

"Kita sedang tunggu laporan daripada PAS cawangan, kawasan dan negeri. Kajian terperinci perlu dilakukan bukan sahaja di kalangan penyokong PAS malah masyarakat keseluruhan di Kuala Terengganu," katanya.

Beliau berkata ketokohan seseorang pemimpin itu penting memandangkan pilihan raya kecil itu diadakan di sebuah bandar raya, dengan kemudahan infrastruktur bukan menjadi masalah kepada pengundi.

Abdul Hadi berkata Jawatankuasa PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat khas di sini, Sabtu ini dan agenda utama adalah membincangkan soal calon.

"Selepas nama calon dipilih, kita akan serahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian," katanya.

Beliau berkata daripada pemantauan awal yang dilakukan, parti itu yakin untuk merampas kerusi parlimen tersebut daripada BN.

Mengenai pandangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berharap Naib Presiden parti itu, Mohamad Sabu dikekalkan sebagai calon pada pilihan raya kecil itu, Abdul Hadi berkata setiap PAS negeri mempunyai pandangan mereka sendiri.

"Kita dengar semua pandangan. Sebagai presiden, saya tidak mempunyai halangan jika Mohamad Sabu dicalonkan. Tetapi, akhirnya keputusan dibuat oleh suara majoriti," katanya.


Tok Guru Nik Aziz Yakin Pas Akan Menang Besar Pilihan Raya Kecil Terengganu

KOTA BAHARU, 17 Dis - Belum pun penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diumumkan oleh mana-mana parti yang bertanding, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini berkata beliau begitu yakin Pas akan menang besar pada pilihan raya itu, 17 Januari depan.

Menteri Besar Kelantan itu berkata keyakinan itu berikutan calon Pas yang akan bertanding pada pilihan raya itu pastinya antara yang terbaik.

"Calon memang tak bahas lagi, tapi kita bercakap pada dasar dan kita yakin sangat akan menang, kalau tidak yakin macam mana nak jadi orang Islam kerana Islam memerlukan keyakinan.

"Bukan itu sahaja, segala apa yang Umno buat selama ini Pas juga boleh buat, pembangunan, Pas boleh buat, nak jaga Melayu, Pas boleh jaga, tak ada sebab langsung untuk Umno dipilih," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini.

Sebelum ini Nik Aziz sudah mempunyai calon pilihan iaitu Mohamad Sabu (Mat Sabu) untuk bertanding bagi kerusi tersebut.

Bagaimanapun, berlaku pergolakan di dalam jawatan kuasa Pas pusat menolak pilihan Nik Aziz itu kerana Mat Sabu dikatakan bukan calon sesuai biarpun pernah bertanding bagi kerusi parlimen itu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustapa Ali; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Batu Buruk, Doktor Syed Azman Syed Ahmad antara calon yang disebut-sebut akan bertanding dalam pilihan raya itu.

Pas akan mengumumkan secara rasmi calonnya pada 21 Disember ini.

Selain itu Nik Aziz berkata, rakyat daripada pelbagai kaum dan agama juga dilihat memberi sokongan penuh terhadap parti itu yang sentiasa mempertahan dan bertunjangkan kebenaran.

Beliau berkata, sokongan segenap lapisan rakyat itu turut terbukti apabila kaum Cina dan India telah secara sukarela menubuhkan kelab penyokong Pas.


20,000 nelayan hentikan boikot

Kumpulan 24 persatuan nelayan memberhentikan tindakan mogok ke laut, yang dilancarkan 12 Disember, selepas bertemu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan hari ini.

Keputusan jawatankuasa bertindak yang mewakili 20,000 nelayan di tujuh negeri dicapai petang ini selepas pertemuan dengan bekas setiausaha agung MCA itu di Hutan Melintang, Teluk Intan pagi ini.

Ong berjanji akan memperjuangkan tuntutan mereka - antaranya menurunkan harga minyak bersubsidi kepada RM1 seliter daripada RM1.30 yang berkuatkuasa semalam - dalam mesyuarat jemaah menteri, Jumaat ini.

fishermen nelayan protest 161208 04Jurucakap kumpulan nelayan itu Lu Shun Fok berkata mereka bagaimanapun akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan yang lebih serius sekiranya kabinet gagal menunaikan tuntutan mereka.

Tindakan terbaru nanti akan diputuskan dalam tempoh dua minggu lagi, tambahnya.

Persatuan-persatuan nelayan itu semalam berikrar meneruskan mogok walaupun kerajaan menurunkan harga minyak 13 sen daripada RM1.43.

Kelmarin, kerajaan tidak bersedia menurunkan harga petrol dan diesel bersubsidi seperti tuntutan nelayan.

"Nak puaskan hati semua pihak memang mustahil," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau menambah, selain meningkatkan kuota diesel sebanyak 4,000 liter sebulan sejak awal Disember, kerajaan turut menawarkan insentif pendaratan sebanyak 10 sen bagi setiap kilogram tangkapan bagi pemilik-pemilik kapal tunda serta elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan bagi anak-anak kapal.

Persatuan-persatuan nelayan itu turut menggesa insentif-insentif itu dihapuskan dan digantikan dengan peruntukan subsidi minyak dengan alasan ia bersifat "birokratik" dan sehingga kini elaun tersebut belum diserahkan kepada mereka.


Siasatan wakil BN boros RM26.6 juta

Jawatankuasa pilihan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kini sedang menyiasat pemborosan semua wakil rakyat BN sebanyak RM26.6 juta dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Menurut seorang anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), siasatan terhadap perbelanjaan besar ini antara dua kes yang dijalankan olehnya.

Satu lagi kes, yang sudah siap siasatan awal, melibatkan sumbangan jutaan ringgit kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) yang disalurkan oleh enam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sejak penubuhannya pada 1985.

Haniza Mohd Talha berkata, jawatankuasa khas itu masih lagi menyiasat penggunaan RM26,634,844 juta atau 90.6 peratus peruntukan untuk wakil rakyat di negeri itu menjelang pilihanraya umum Mac lepas.

Siasatan itu mengambil masa kerana membabitkan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN sesi lepas, tambahnya.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor tidak lama selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri antaranya untuk menyiasat kes pemborosan ini.

Dalam persidangan pertama dewan itu Mei lepas, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan butiran pemborosan tersebut (lihat carta) yang ditegur oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sewaktu majlis perasmian.

Peruntukan sebanyak RM500,000 bagi seorang wakil rakyat hanya berbaki RM2.9 juta sewaktu kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri, katanya.

Abdul Khalid dilaporkan berkata, Speaker DUN lalu Datuk Seri Onn Ismail yang bukannya seorang wakil rakyat BN sesi lepas turut membelanjakan RM600,000.

Jawatankuasa khas Selcat ditubuhkan tahun ini bagi memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan Selangor.

Speaker DUN Teng Chang Khim bertindak sebagai pengerusi badan itu.

Selain Haniza, jawatankuasa itu dianggotai lima lagi ahli DUN – Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).

haniza talha


Kebijaksanaan Harakah, Harakahdaily diperlukan untuk tingkat imej parti

KUALA LUMPUR, 17 Dis - Selaku 'Agen Penerangan' yang aktif, Harakah dan Harakahdaily.net perlu bijaksana dan mempunyai displin gerak kerja yang tinggi dalam usaha untuk meningkat imej PAS dan para pemimpinnya yang senantiasa diasak di pelbagai sudut oleh media, parti-parti pemerintah dan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pengarah Urusan Harakah Dato' Kamaruddin Jaffar berkata objektif utama kedua-dua medium itu mestilah sentiasa dilihat terbuka, bebas dan benar dalam menyampaikan laporan kepada masyarakat.

Selain itu kata Kamaruddin yang juga Setiausaha Agung PAS, Harakah dan Harakahdaiy mestilah berfungsi sebagi agen penerangan parti kepada semua pembaca khususnya rakyat Malaysia untuk mengetahui hakikat sebenar perjuangan PAS selama ini.

"Akhirnya kita mahu hasil daripada itu semua, para pengundi dan rakyat Malaysia mendekati dan mengundi PAS dalam setiap pilihan raya yang kita sertai seperti Pilihan Raya Kecil KUala Terengganu dan Umum yang ke -13 akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu merasmikan sesi 'brainstorming' dan 'post-mortem' Harakah 2 kali seminggu di salah sebuah hotel di ibu kota, dekat sini pagi tadi. Image

Turut hadir sama dalam diskusi tersebut ialah Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, Pengurus Pemasaran, Shuhaimi Embong, Pengurus Pengiklanan Mokthar Rozaidi dan kira-kira 50 warga kerja Harakah dari pelbagai jabatan dan beberapa wakil pengedar.

Dalam pada itu Kamaruddin beranggapan, walaupun terdapat kelemahan Harakah yang perlu penambahbaikan namun ianya bukanlah satu keadaan yang menjadkan institusi tersebut 'lumpuh' atau mengalami 'disaster' malah secara keseluruhannya pengedaran Harakah berada dalam keadaan baik.

"Walaupun ada kelemahan,kita akan perbaiki dengan sebaik mugkin. Harap tak ada yang baling kasut kepada saya pula," katanya berseloroh sambil merujuk insiden yang berlaku kepada Presiden Amerika George W. Bush yang 'dibenci' warga Iraq yang telah gagal dalam kempen memerangi peperangan. Image

Beliau berharap agar sesi diskusi itu akan memberi input yang sangat baik malah pengurusan Harakah menerima secara terbuka kritikan dan pandangan terhadap operasi Harakah dua kali seminggu yang telah dimulakan empat bulan yang lalu pada 15 Ogos 2008.

"Harus dingat bahawa Harakah bukan milik peribadi tetapi mesti mewakili parti yang akhirnya melakukan tugas untuk parti.

"Justeru saya berharap semua warga kerja mempunyai displin, stamina dan semangat yang tinggi dalam menjayakan objektif dan misi parti. Dalam masa yang sama saya merakamkan terima kasih kepada semua warga kerja yang telah memastikan Harakah sentiasa berada di tangga kejayaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.


Langgar Perjanjian Di China, Proton Disaman USD146 Juta Oleh Syarikat Terbabit !!

CHINA - Syarikat Automobil Malaysia iaitu Proton dikatakan telah melanggar satu perjanjian dengan sebuah syarikat di China bagi industri kenderaan di negara berkenaan. Menurut Agensi, syarikat China berkenaan Goldstar Heavy Industrial, telah menyaman Proton kira-kira USD 146 Juta. Kedua-dua syarikat berkenaan tdikatakan telah menjalankan usahasama bersama Proton, namun dilaporkan Dongguan China, Goldstar telah gagal untuk mendapatkan lesen bagi usaha sama berkenaan. Proton juga dilaporkan telah menandatangani satu perjanjian dengan sebuah lagi syarikat China Jinhua Youngman Automobile Manufacturing, untuk menjual kira-kira 30,000 model Gen 2 di China. Saman berkenaan telah dibuat difailkan di wilayah Guangdong bagi menuntut pampasan yang dikatakan kerugian kira-kira 1 Bilion Yuan.

[Dengan perkembangan terbaru ini, maka fahamlah kita kenapa kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 melambung tinggi seperti yang diwar-warkan sebelum ini. Agaknya, ia bagi menampung perbelanjaan membayar saman yang dibuat oleh syarikat terbabit. Sungguh memalukan bila Proton melanggar perjanjian yang telah dimeterai dengan syarikat China itu. Mungkin, inilah amalan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan dan badan korporat di negara ini bila "rasuah masih bermaharajalela". Justeru itulah kita tidak hairan, jika ada perjanjian yang telah dimeterai dipermainkan sesuka hati mereka. Inilah yang berlaku kepada negeri Trengganu, biarpun perjanjian pembayaran royalti oleh kerajaan pusat dengan kerajaan negeri telah dimeterai sekian lama. Namun, mudah sahaja dipermainkan oleh UMNO dan BN menjadi "wang ehsan" gara-gara PAS merampas negeri itu dulu. Kini, tatkala BN kembali memerintah dan menjelangnya pilihanraya kecil Kuala Trengganu tidak lama lagi, maka wang ehsan itu kembali ditukar menjadi wang Royalti].



PERINGATAN KEPADA ULAMA DAN WAKIL RAKYAT



ULAMA DAN WAKIL RAKYAT WAJAR MENGHAYATI AMANAT DUA PEMIMPAN UTAMA PAS

AMANAT AL-MARHUM PROF ZULKIFLI MUHAMMAD

Prof Zulkifli Muhammad adalah merupakan pimpinan PAS tulen yang telah mengorbankan seluruh kehidupannya kepada perjuangan Islam melalui wadah PAS di negara ini. Beliau telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya pada 6 Mei 1964 dekat Pekan Kuantan semasa perjalanan ke Kuala Kangsar iaitu selepas menyampai ucapan kepada wakil-wakil rakyat PAS Kelantan yang telah memenangi Pilihanraya tahun 1964.

Ucapannya telah dijadikan sebagai ‘Amanat Zulkifli Muhammad’ oleh penulis Amaluddin Darus yang telah membukanya pada tahun 1981 iaitu 16 tahun setelah beliau menemui PenciptaNya.

Antara lain beliau menegaskan,

“Inilah saudara-saudara (wakil rakyat), kedudukan kita pada hari ini, satu kedudukan yang sungguh dan benar. Satu kedudukan yang bukan dibuat-buat. Tetapi satu kedudukan yang memang kita kehendaki Tuhan berikan kepada kita. Makan janganlah kita lepaskan peluang ini dengan lengahan dan kelalaian, dengan kecuaian dengan lupa apa yang ada pada diri kita ini, dan menjadikan apa yang didapati sebagai satu nikmat yang hanya datang dari langit. Sebab kita saudara-saudara akan menghadapi Tuhan. Marilah kita jadikan kesungguhan sebagai motto hidup kita. Marilah kita jadikan perjuangan Islam tidak kerja main-main, tidak kerja pilihanraya bahkan tidak kerja Persatuan SeTanah Melalu tetapi kerja kita sebagai seorang Islam yang telah mendapat nikmat dari Tuhan bahawa kita dipercayai oleh rakyat untuk menjalankan tugas – tugas yang ditetapkan oleh Tuhan”.

"Kita tidak kurang tukang angguk, kita tidak kurang tukang geleng, tapi kita kurang orang yang nak membuat apa yang sudah diangguk, orang yang mencegah apa yang sudah digeleng."

"Lantikan (Exco, Wakil Rakyat dan Penjawat Kerajaan) inilah tempat-tempat ini subur dengan kuman-kuman yang membawa sengketa kepada kita apa yang akan kita buat diwaktu kita menghadapi ini semua yang akan kita buat adalah berpegang kepada keikhlasan kita, menyucikan tujuan kita kepada pelaksanaan dasar partai kita dan mengenepikan sebagai kepentingan yang lain dari itu."

Semoga boleh dijadikan panduan dalam mentadbir kerajaan negeri.

AMANAT ALMARHUM USTAZ FADZIL MOHD NOOR

Almarhum Dato’ Hj Fadzil Mohd Noor adalah Presiden PAS dan Ketua Pembangkang yang amat disegani dan dihormati oleh kawan dan lawan. Kebijaksanaannya menguasai pergolakan politik dalaman UMNO pada tahun 80an telah membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (PAS + S46) dan tahun 90an melahirkan Barisan Alternatif (PAS + DAP + ADIL).

Walaupun sibuk dengan kerja-kerja sebagai wakil rakyat dan Ketua Pembakang, beliau tidak pernah melupakan tanggungjawab dan peranannya untuk memajukan PAS yang menjadi wadah perjuangan Islam di Negara ini. Para ulama dan peranan mereka sentiasa diberi perhatian yang serius.

Al-Marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor telah kembali bertemu Rabb, pada 23 Jun 2002. Beliau meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman yang menyerangnya, susulan daripada pembedahan koronari di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada jam 10.30 pagi.

Dalam Ucapan Dasar Presiden 2002 (Terakhir) di Muktamar di PUTIK Kelantan, al marhum Ustaz Fadzil Mohd. Noor, beliau menyebut tentang peranan ulama.

Katanya,

Demi menjaga imej ulama, maka saya mengulangi seruan supaya ulama tampil dengan kehebatan menggali khazanah ilmu, menekuni dan menyelidiki perkara yang melibatkan keseluruhan masalah masyarakat, dan membuat ijtihad atas perkara-perkara yang perlukan pandangan terkini, termasuk dalam aspek politik, sosial, ekonomi dan muamalat. Ulama mesti memimpin masyarakat agar dapat keluar daripada kemelut kehidupan ini, dengan keyakinan bahawa setiap apa yang kita lakukan itu adalah benar dan mendapat keredhaan Allah s.w.t.'

Catatan ucapan kedua-dua tokoh dan pemimpin PAS ini boleh menjadi pandaun kepada semua wakil rakyat dan ulama yang masih hidup pada hari ini. Ingatlah bahawa kita semua akan bertemu Allah SWT kelak.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan menempatkan kedua-dua pemimpin PAS ini dikalangan orang yang soleh. Al-Fhatihah



ISU KERETA CAMRY dan ISTANA PERDANA MENTERI





Harga Minyak akan jatuh lagi, tapi BN nak buat harga Lantai

Harga minyak dunia dijangka akan turun lagi bagi enam bulan pertama tahun 2009 ekoran dari kelembapan ekonomi dunia. Krisis yang amat dirasai di Amerika kini sudah menular ke Eropah, dan Asia.

China dijangka antara negara terakhir yang bakal menerima kesan ini dimana, kejatuhan ekonomi China dijangka akan menyebabkan ekonomi dunia menjadi lebih buruk.

Proses berkenaan mengambil masa, tetapi jika dilihat pada hari ini, industri pembuatan yang memerlukan Minyak juga sudah mulai menjimatkan daya pengeluaran mereka walaupun harga minyak turun. Ini berlaku kerana produk akhir mereka sudah tidak mendapat tempat dipasaran lantaran persaingan harga yang semakin sengit.

Ini sekaligus akan memberikan impak jangka pendek buat harga minyak yang dijangka akan turun sehingga USD 25 setong sehingga Jun 2009 sebelum naik semula bagi separuh tahun yang berikutnya.

International Energy Agency (IEA) memperkirakan kadar permintaan global sepanjang 2008-2013 lebih rendah sehingga 1,2%. Ini sekaligus mempengaruhi peengeluaran minyak selepas separuh tahun 2009 yang mana syarikat carigali akan menghadkan pengeluaran dan meningkatkan stok simpanan bagi mendesak kenaikkan harga semula, disamping mengurangkan kerugian yang dialami sekarang.

Walaubagaimana pun, kenyataan Shahril Samad Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna tentang akan adanya harga lantai bagi harga minyak bertentangan dengan suasana semasa.

Harga minyak akan menjadi statik pada harga yang bakal diumumkan walaupun hakikatnya ia boleh menjadi lebih rendah dari itu dalam tempoh enam bulan akan datang.

Malangnya Kerajaan BN juga enggan mencadangkan harga siling sekiranya harga minyak naik lagi.

Harga lantai akan memberikan keuntungan pada Kerajaan dan syarikat Minyak tetapi harga siling jika diwujudkan akan memberikan kebaikkan buat rakyat.

Win-win situation tidak wujud kerana hanya rakyat sahaja terpaksa berkorban, sedangkan bila harga minyak Kerajaan BN lepas tangan dan membiarkan rakyat berurusniaga dengan pasaran semasa tanpa siling.

Oleh itu, rakyat kena sedar dan desak Kerajaan BN untuk tidak laksanakan dasar harga lantai bagi Minyak. Kalau buat juga, kenalah ada penetapan harga siling juga.




RTM gam lagu puisi Dr Asri 'Aku Bukan Musuh Harta'?

Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba saja 'Aku Bukan Musuh Harta', lagu dari nukilan puisi Dr Asri Zainul Abidin yang juga bekas Mufti Perlis tidak mendapat kelulusan dari pihak RTM untuk siaran.

Hal ini telah dimaklumkan oleh pihak pegawai perhubungan RTM kepada penerbit album Xifu Nasir semalam.

Lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' yang dinyanyikan oleh kumpulan Kopratasa difahamkan tidak mendapat kelulusan kerana liriknya.

Xifu berkata, beliau sendiri tidak diberitahu secara khusus dan terperinci kenapa lagu itu tidak lulus.

Lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' hasil nukilan tokoh agama Dr Asri Zainul Abidin khabarnya digam oleh RTM.

"Mereka cuma memberitahu kerana masalah lirik sahaja,"jelas Xifu Nasir.

Menurut beliau, hanya stesen RTM saja yang tidak meluluskan lagu ini sedangkan di stesen lain sudahpun mendapat kelulusan sepenuhnya.

Lagu ini merupakan salah satu dari 8 buah lagu puisi Dr Asri yang dimuatkan di dalam album 'Yang Benar Tetap Benar.'

Selain lagu 'Aku Bukan Musuh Harta', lagu title track 'Yang Benar Tetap Benar' juga masih belum lulus sepenuhnya kerana akan disemak semula disebabkan ahli panel tidak berapa arif tentang perkataan 'makar' yang digunakan dalam puisi tersebut.('Makar' adalah kalimah Arab dari Al Quran).

Album 'Yang Benar Tetap Benar' yang memuatkan 10 puisi nukilan Dr Asri Zainul Abidin.

Ketika dihubungi hari ini, Dr Asri melahirkan rasa kemusykilannya kenapa liriknya digam.

"Saya hairan mengapa lirik saya 'Aku Bukan Musuh Harta' digam oleh pihak berkenaan, sedangkan nilai moral dalamnya tinggi, ia tidak ditujukan kepada pihak tertentu, tetapi untuk sesiapa sahaja yang menyalahgunakan harta rakyat dan awam," jelas beliau dari kediamannya di Lampeter, United Kingdom.

"Dalam negara kita hari ini berbagai parti memiliki kerajaan, lagu tersebut mempunyai pengajaran untuk semua.

"Jangan anda menghalang sesuatu ungkapan umum atau pengajaran am yang akhirnya orang lain akan menuduh bahawa andalah orang khusus dari yang umum atau am itu," kata Dr Asri yang kini berada di UK untuk tempoh setahun bagi cuti sabatikalnya.

Lirik lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' tulisan Dr Asri atau Dr MAZA.

Katanya lagi,"Saya menulis lirik itu untuk mengingatkan sesiapa sahaja yang berurusan dengan harta awam dan rakyat. Apa ertinya perjuangan kerajaan menghapuskan rasuah jika lirik seperti itu pun diharamkan."

Dr Asri, bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut tentang kesukaran pihak panel RTM memahami perkataan 'makar' di dalam puisi beliau yang bertajuk 'Yang Benar Tetap Benar' itu.

"Semua pihak tahu bahawa saya bukan orang politik, maka ketika saya menulis lirik saya bebas dari kepentingan kerusi atau kepartian. Mereka silap jika bertindak demikian," kata tokoh agama yang terkenal kerana kelantangannya melontarkan idea tentang apa saja berhubung isu agama, politik, sosial mahupun hiburan.

Lagu-lagu puisi lain yang dimuatkan dalam album yang sudahpun berada di pasaran sejak bulan lepas itu ialah Aku Rela, Biarlah Aku Di Daerah Ini, Derita Hati Seorang Bonda, Islam Di Cina dan Dunia Yang Beredar.

Kesemua lagu telah disampaikan oleh penyanyi Aishah, Kopratasa, Dakmie dan band nasyid pertama di Malaysia iaitu Algebra.

Selain 8 buah lagu ini, album ini juga turut memuatkan puisi yang disampaikan oleh Dr Asri bertajuk, ‘Itulah Politik Namanya’ dan ‘Salah Menduga.’

Gabungan nama-nama besar dalam industri muzik antaranya Dakmie selaku Penerbit, Xifu Nasir, Eddie Marzuki, Adnan Abu Hasan, Zairi Ariffin, Ujang dan lain-lain menjadikan album ini cukup istimewa dan unik.

Album ini juga adalah terbitan dan edaran Nasyeed.Com.




Kalau Pak Lah Dibaling Kasut

Sekiranya kerajaan bertukar tangan, teringin rasanya untuk memaksa kerajaan baru meletakkan si Botak ni di dalam ISA. Biar dia rasa bagaimana kejamnya undang undang yang dia banggakan itu. Dasar UMNO gila kuasa - Umnomore

Sekiranya kerajaan bertukar tangan, teringin rasanya untuk memaksa kerajaan baru meletakkan si Botak ni di dalam ISA. Biar dia rasa bagaimana kejamnya undang undang yang dia banggakan itu. Dasar UMNO gila kuasa.

Kalau Pak Lah Dibaling Kasut… Confirm ISA

Sudah tentu pembaling itu akan ditahan dibawah ISA, kerana ia menganggu ketenteraman awam.Berapa tahun tak tahu, kerana bergantung kepada keadaan pembaling itu sendiri.Takut-takut dia keluar ISA nanti dia baling kasut pada Menteri-Menteri lain pula.

Sementara itu hamid berkata ISA hanya digunakan apabila tiada pilihan bagi mengelakkan perkara yang boleh memecahbelahkan keharmonian negara.Tambahnya lagi “Lebih tepat, lebih cepat dan lebih sempurna untuk menggunakan Akta ISA… penahanan di bawah akta itu adalah tindakan awal elak keselamatan rakyat di negara ini (terjejas),”

Kenyataan Hamid Albar lebih menyakitkan hati dari di tipu oleh British ketika zaman penjajah dulu. Kalau penjajah berkata sebegitu, kita tidak hairan. Yang peliknya orang kita sendiri memuji muji undang undang zaman batu hanya untuk kekal berkuasa.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .