Ikuti Blog ini

PERINGATAN KEPADA ULAMA DAN WAKIL RAKYAT



ULAMA DAN WAKIL RAKYAT WAJAR MENGHAYATI AMANAT DUA PEMIMPAN UTAMA PAS

AMANAT AL-MARHUM PROF ZULKIFLI MUHAMMAD

Prof Zulkifli Muhammad adalah merupakan pimpinan PAS tulen yang telah mengorbankan seluruh kehidupannya kepada perjuangan Islam melalui wadah PAS di negara ini. Beliau telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya pada 6 Mei 1964 dekat Pekan Kuantan semasa perjalanan ke Kuala Kangsar iaitu selepas menyampai ucapan kepada wakil-wakil rakyat PAS Kelantan yang telah memenangi Pilihanraya tahun 1964.

Ucapannya telah dijadikan sebagai ‘Amanat Zulkifli Muhammad’ oleh penulis Amaluddin Darus yang telah membukanya pada tahun 1981 iaitu 16 tahun setelah beliau menemui PenciptaNya.

Antara lain beliau menegaskan,

“Inilah saudara-saudara (wakil rakyat), kedudukan kita pada hari ini, satu kedudukan yang sungguh dan benar. Satu kedudukan yang bukan dibuat-buat. Tetapi satu kedudukan yang memang kita kehendaki Tuhan berikan kepada kita. Makan janganlah kita lepaskan peluang ini dengan lengahan dan kelalaian, dengan kecuaian dengan lupa apa yang ada pada diri kita ini, dan menjadikan apa yang didapati sebagai satu nikmat yang hanya datang dari langit. Sebab kita saudara-saudara akan menghadapi Tuhan. Marilah kita jadikan kesungguhan sebagai motto hidup kita. Marilah kita jadikan perjuangan Islam tidak kerja main-main, tidak kerja pilihanraya bahkan tidak kerja Persatuan SeTanah Melalu tetapi kerja kita sebagai seorang Islam yang telah mendapat nikmat dari Tuhan bahawa kita dipercayai oleh rakyat untuk menjalankan tugas – tugas yang ditetapkan oleh Tuhan”.

"Kita tidak kurang tukang angguk, kita tidak kurang tukang geleng, tapi kita kurang orang yang nak membuat apa yang sudah diangguk, orang yang mencegah apa yang sudah digeleng."

"Lantikan (Exco, Wakil Rakyat dan Penjawat Kerajaan) inilah tempat-tempat ini subur dengan kuman-kuman yang membawa sengketa kepada kita apa yang akan kita buat diwaktu kita menghadapi ini semua yang akan kita buat adalah berpegang kepada keikhlasan kita, menyucikan tujuan kita kepada pelaksanaan dasar partai kita dan mengenepikan sebagai kepentingan yang lain dari itu."

Semoga boleh dijadikan panduan dalam mentadbir kerajaan negeri.

AMANAT ALMARHUM USTAZ FADZIL MOHD NOOR

Almarhum Dato’ Hj Fadzil Mohd Noor adalah Presiden PAS dan Ketua Pembangkang yang amat disegani dan dihormati oleh kawan dan lawan. Kebijaksanaannya menguasai pergolakan politik dalaman UMNO pada tahun 80an telah membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (PAS + S46) dan tahun 90an melahirkan Barisan Alternatif (PAS + DAP + ADIL).

Walaupun sibuk dengan kerja-kerja sebagai wakil rakyat dan Ketua Pembakang, beliau tidak pernah melupakan tanggungjawab dan peranannya untuk memajukan PAS yang menjadi wadah perjuangan Islam di Negara ini. Para ulama dan peranan mereka sentiasa diberi perhatian yang serius.

Al-Marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor telah kembali bertemu Rabb, pada 23 Jun 2002. Beliau meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman yang menyerangnya, susulan daripada pembedahan koronari di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada jam 10.30 pagi.

Dalam Ucapan Dasar Presiden 2002 (Terakhir) di Muktamar di PUTIK Kelantan, al marhum Ustaz Fadzil Mohd. Noor, beliau menyebut tentang peranan ulama.

Katanya,

Demi menjaga imej ulama, maka saya mengulangi seruan supaya ulama tampil dengan kehebatan menggali khazanah ilmu, menekuni dan menyelidiki perkara yang melibatkan keseluruhan masalah masyarakat, dan membuat ijtihad atas perkara-perkara yang perlukan pandangan terkini, termasuk dalam aspek politik, sosial, ekonomi dan muamalat. Ulama mesti memimpin masyarakat agar dapat keluar daripada kemelut kehidupan ini, dengan keyakinan bahawa setiap apa yang kita lakukan itu adalah benar dan mendapat keredhaan Allah s.w.t.'

Catatan ucapan kedua-dua tokoh dan pemimpin PAS ini boleh menjadi pandaun kepada semua wakil rakyat dan ulama yang masih hidup pada hari ini. Ingatlah bahawa kita semua akan bertemu Allah SWT kelak.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan menempatkan kedua-dua pemimpin PAS ini dikalangan orang yang soleh. Al-Fhatihah



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .