Ikuti Blog ini

Kes umat Islam, hanya Mahkamah Syariah beri keadilan - Presiden


KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mahukan isu liwat yang dikait dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dibawa ke mahkamah syariah dan bukannya dibicarakan di mahkamah sivil.
Beliau berkata, kes liwat yang membabitkan orang Islam adalah perkara jenayah di dalam perundangan Islam sama seperti kes zina dan lain-lain maka ianya perlu dibawa ke mahkamah syariah.

"Negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor perlu menggubal perundangan tersebut kerana melalui mahkamah syariah sahaja keadilan dapat diperolehi," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Dewan SEAMO, RECSAM semalam.

PAS juga, tambah Dato' Seri Abdul Hadi, menolak sebarang bentuk campur tangan kuasa luar dalam penyelesiaan pertuduhan kes liwat terhadap Anwar.
"Kalau Amerika nak campur tangan, biar mereka selesaikan di Gautonama dulu" katanya.

Menurutnya lagi, pertuduhan liwat yang dikenakan terhadap Dato' Seri Anwar adalah satu kezaliman.
Ini kerana, ianya dilihat sebagai taktik Umno untuk memusnahkan masa depan politik mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

"Kita perlu bersimpati kepada mereka yang dizalimi walaupun kepada mereka bukan dari ahli parti kita," katanya.
Tambahnya lagi, menurut Islam seseorang itu tidak bersalah selagi dia belum didapati atau berjaya dibuktikan bersalah.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Mujahid Yusuf Rawa; Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man; Penyelaras Pilihan raya PAS Pusat di Permatang Pauh, Wan Rahim Wan Abdullah dan beberapa pemimpin PAS lain.

Misteri Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu 'hilang' berterusan


KUALA LUMPUR: Misteri 'kehilangan' Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar) dan khabar angin beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berterusan hingga pagi ini.
Hingga kini tiada pihak dapat memastikan sejauh mana kebenaran khabar angin yang mula tersebar sejak malam kelmarin itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika dihubungi sebentar tadi turut buntu dengan situasi ketika ini.
“Masih tiada perkembangan yang diperolehi. Khabar angin makin berterusan hingga ke hari ini,” katanya.

Hingga jam 10.30 pagi tadi beliau juga gagal untuk menghubungi Zulkifli dan ahli keluarganya bagi mengetahui kedudukan sebenar.
Kali terakhir beliau muncul di khalayak ramai ialah pagi kelmarin di ibu negara ketika menyertai perhimpunan membantah forum anjuran Majlis Peguam.

Sementara itu semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyifatkan berita itu sebagai khabar angin semata-mata.
Beliau menafikan berita yang tersiar dalam beberapa laman blog mengenai penahanan Zulkifli di bawah ISA.
"Mana ada beliau ditahan? Ini semua khabar angin dan ini merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak yang sengaja buat spekulasi.

Blog berkenaan memberitahu Zulkifli dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditahan di Kulim kira-kira jam 10 malam kelmarin dan tiada maklumat lanjut mengenai ke mana beliau dibawa polis.

Pada 29 September 1998, Zulkifli, 46, pernah ditahan di bawah ISA selama 60 hari kerana terlibat dalam gerakan reformasi bersama Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika Islam Tidak Dominan: PAS Wajib Tarik Diri


Ramai juga yang yakin bahawa Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan persekutuan pada 16 september ini . Saya sendiri beberapa kali diajukan pertanyaan apakah benar kerajaan ini akan dibentuk pada 16 september.
Saya hanya menjawab Wallahua'lam ( Allah swt. sahaja yang maha Mengetahui ) . Saya tidak mahu mendahului takdir Ilahi .
Sememangnya hati dan perasaan saya cukup tebal agar Kerajaan Barisan Nasional yang menganut faham sekular ini ditumbangkan bersama dengan koleksi kezaliman dan kekejaman yang mereka lakukan ke atas rakyat negara ini.

Tetapi sebagai seorang anggota gerakan Islam , saya juga tidak mahu kita meruntuhkan kerajaan jahiliyyah dan membina kerajaan jahiliyyah yang baru . Sebaliknya apa yang kita mahu ialah kita meruntuhkan kerajaan Jahiliyyah dan kita menubuhkan Kerajaan Islam yang menepati konsep Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbun Ghafuur .

Andai benar Pakatan Rakyat berjaya menubuh kerajaan persekutuan pada 16 sept ini , persoalan tertumpu kepada bagaimana bentuk kerajaan tersebut ?

Apakah kerajaan tersebut terdiri daripada majoriti ahli parlimen dikalangan bukan Islam ? apakah jawatan timbalan perdana menteri juga akan terdiri dikalangan bukan Islam ? Dengar khabarnya Perdana Menteri sudah pasti Dato' Seri Anwar Ibrahim dan beliau di katakan akan melantik 3 timbalan perdana menteri .

Saya tidak bersifat perkauman . Ertinya saya tidak kisah MP ( ahli parlimen ) terdiri dari kalangan bangsa / kaum Cina , India , Melayu atau lainnya , tetapi yang penting mestilah muslim dan mukmin.

Justeru itu , jika kerajaan Pakatan Rakyat yang dikatakan akan terbentuk pada 16 sept ini tidak didominasikan oleh MP dikalangan muslim , maka ia membawa maksud kerajaan itu bukan lagi kerajaan orang Islam ( jauh sekali kerajaan Islam ) .

Maksud yang sama juga ialah kuasa politik negara ini bukan lagi berada di tangan orang Islam. Tentu sahaja masa depan orang Islam di negara kita akan terus menghadapi hari - hari suram dan kelamnya.

Pada hemat saya , PAS sebagai sebuah Gerakan Islam tidak boleh membenarkan kerajaan yang menghakis kuasa politik orang Islam dibentuk dalam negara kita. Membenarkannya juga membawa erti kita telah melanggar dan bersalahan dengan semangat perlembagaan parti yang kita tubuh dan perjuangkan selama ini. Iaitu ke arah membentuk kerajaan yang terlaksana di dalamnya al amru bil makruf dan an Nahyu anil Mungkar pula menurut lunas syariat .

PAS mesti memastikan kuasa politk terus kekal ditangan orang Islam sekalipun ia bukan melayu . Namun secara sifir kasarnya orang Islam di dalam negara kita adalah terdiri ramai dikalangan orang melayu .

Pakatan Rakyat , khasnya Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri mestilah peka perkara ini . Kerajaan yang hendak dibentuk mestilah tidak meninggalkan kuasa politik orang - orang Islam khasnya dan orang melayu amnya.

Janganlah asal boleh menjadi Perdana Menteri, maka siapa sahaja ahli parlimen yang boleh bersama untuk membentuk kerajaan diterima lalu dibentuk kerajaan tanpa melihat di mana kuasa politk orang Islam dan dimana kuasa politik orang Melayu ?

Kebimbangan saya ini berasaskan maklumat bahawa 30 MP yang bakal melompat masuk Pakatan Rakyat adalah terdiri dari kalangan MP bukan Islam kecuali 2 orang sahaja .

Saya cadangkan PAS mesti keluar dari Pakatan Rakyat jika Pakatan Rakyat terus bermaksud ingin membentuk kerajaan persekutuan tanpa memastikan agar kuasa politik itu mesti didominasikan oleh orang Islam .

Saya rasa , semua orang Islam apatah lagi pendokong gerakan Islam boleh bersetuju dengan cadangan saya .

Kalau kita begitu terguris hati apabila PAS mengadakan muzakarah dengan UMNO kerana melihat UMNO adalah musuh politik , zalim , kejam dan segala najis mungkar bersamanya , saya yakin mereka ini akan lebih terguris hatinya ketika melihat kerajaan persekutuan yang bakal dibentuk pada 16 sept oleh Pakatan Rakyat nanti , didominasikan oleh golongan bukan Islam . Sekurang - kurangnya UMNO yang dibenci itu masih lagi ahli syahadah.

Kepada sahabat perjuangan , perkukuhkan amal Islami kita , perteguhkan gerak kerja amal tarbawi kita guna memacu perjuangan yang kini memasuki episod baru , membelah badai yang datang dari segenap arah untuk meranapkan cita - cita besar kita , yang mahu melihat tertegaknya Negara Islam di atas tanahair kita .

Hari ini , saya semakin faham kenapa Tok Guru Presiden terus bertegas untuk bermuzakarah dengan siapa sahaja individu , parti politik atau pun NGO demi masa depan Islam dan ummah agar kuasa politik terus ditangan ummat Islam dan ianya tidak terlepas.

Apa yang semakin saya pelajari dari skil politik Tok Guru ini ialah agar kita berhati - hati memacu perjuangan supaya tidaklah kita keluar dari mulut buaya ( Jahiliyyah ) dan kita masuk mulut harimau ( jahiliyyah )

Buaya meskipun ganas , keganasannya hanya terhad di dalam air ( sungai ) yang jarang - jarang sekali kita merentasinya. Apa yang lebih bimbang ialah Harimau , keganasannya adalah di darat sedang kita hidup didarat ini .

Semoga Allah selamatkan Perjuangan suci ini . Takbiiiirr !! ( 3 kali )

Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .