Ikuti Blog ini

TG Nik Aziz: Selagi Tuntutan Tidak Dipenuhi, Akan Tetap Ada BERSIH 4.0



Gombak - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata akan ada perhimpunan Bersih 4.0 jika isu-isu berkaitan dengan tuntutan pilihan raya bersih dan adil tidak diselesaikan dengan segera.

“Bila timbul masalah Bersih (perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu), Syeikhul Azhar, Mufti Mesir masa itu mengatakan perhimpunan yang berlaku di Mesir haram.

“Tetapi rakyat Mesir membandingkan dengan fatwa Dr Yusuf Al-Qardawi melalui buku ditulis beliau dan hasilnya tujuh juta rakyat Mesir turun ke jalan kerana fatwa Qardawi betul,” katanya.

Nik Abdul Aziz sebelum ini menggalakkan orang ramai khususnya ahli-ahli Pas agar menyertai Bersih 3.0 yang diadakan pada 28 April lalu. Malah beliau sendiri mengakui ada membiayai beberapa peserta perhimpunan itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Langkah Rakyat ke Putrajaya di Markas Tarbiah Pas Pusat Taman Melewar dekat sini, malam tadi.

Pada majlis itu, penyanyi popular bersuara lunak dan Juara Lagu 1990, Wan Aishah Wan Arifin menyerahkan borang keahlian menyertai Pas.

Ceramah itu turut dihadiri bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Jui Meng dan anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Tun Ghafar Baba.

Aishah ketika berucap pada majlis itu berkata, beliau mengambi keputusan menyertai Pas kerana merasakan ia fasa kedua dalam hidupnya selepas mendapat hidayah Allah.

“Saya merasa terharu kerana diberi peluang memberi borang keahliannya kepada Tuan Guru Nik Aziz dan inilah perkara yang ingin saya buat setelah mendapat hidayah Allah,” katanya.

Dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz berkata, rakyat negara ini perlu menukar parti yang memerintah Malaysia menerusi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan parti yang mendukung Islam.

“Tidak kisahlah kaum mana pun yang akan berada di Putrajaya itu, Melayu ke, Cina Muslim ke, India Muslim ke asal dia berasas Islam seperti yang di bawa Nabi Muhammad, Insya-Allah kita boleh selamat,” katanya. "Saya menyokong Bersih, itu baru 3.0, akan ada yang keempat lagi," kata beliau.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin PKR memberitahu Sinar Harian Online bahawa pihaknya tetap dengan pendirian untuk terus menyokong jika akan ada perhimpunan Bersih 4.0.

“Pihak kami belum berbincang apa-apa lagi mengenai perkara ini kerana belum ada sebarang pengumuman rasmi yang dibuat mengenai Bersih 4.0," kata Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Subang, Sivarsa Rasiah pula berkata, pihaknya juga akan terus menyokong tindakan Bersih kerana setakat ini, kerajaan belum memberi sebarang jaminan mengenai tuntutan-tuntutan Bersih.

“Saya juga akan terus menyokong kerana rakyat sendiri inginkan pilihan raya dibuat secara bersih, adil dan saksama,” katanya lagi.

Sebelum ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga pernah memberi amaran perhimpunan yang lebih besar akan diadakan jika kerajaan enggan memenuhi tuntutan agar disediakan persekitaran bagi pilihan raya yang bebas dan adil. -SH

Harta rakyat merupakan amanah Allah kepada kerajaan


Amanah merupakan sifat  wajib para Nabi dan Rasul. Amanah merupakan  taklif kepada setiap manusia. Imam Al-Qurtubi telah menyatakan bahawa amanah merangkumi  seluruh tugas agama. Allah telah menyenaraikan salah satu sifat mukmin yang berjaya dan menghuni  syurga Firdaus ialah “orang yang memelihara amanah-amanah dan janji-janji mereka.” Amanah dan janji  merangkumi segala perkara yang dipikul oleh manusia dalam urusan agama dan dunia samada perkataan atau perbuatan.  Rasulullah mengingatkan kita agama beramanah kerana tidak sempurna agama bagi mereka yang tiada amanah.

Allah menasihati manusia agar jangan menyerahkan harta anak-anak yatim kepada mereka yang tidak amanah. Amaran  Allah yang keras ini bertujuan untuk mengelakkan penjaga yang mengkhianati harta anak yatim dengan menganggap harta anak yatim  adalah harta mereka  sehingga mengurusnya untuk kepentingan mereka dan menadah terima kasih daripada anak yatim supaya mengenangi jasa mereka.

Allah menceritakan kisah Nabi Syuaib yang menasihati anak-anaknya agar memilih  orang yang amanah untuk mengurus kambing-kambing mereka. Tapi dunia seringkali  terbalik dengan melupai amanah dan pengertiannya. Bahaya akhir zaman ialah kekeliruan timbangan dan kerosakan nilai sehingga sampai ke tahap yang disifatkan oleh Rasulullah dengan sabdanya : “Tahun-tahun yang menipu akan datang kepada manusia. Pembohong akan dianggap benar, Orang yang benar akan dianggap bohong, orang yang amanah akan dianggap pengkhianat dan pengkhianat akan dianggap pembela amanah.”

Amanah akan disia-siakan pada akhir zaman sebagaimana Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah : Bagaimana mensia-siakan amanah, wahai rasulullah ? Rasulullah menjawab : Apabila urusan kehidupan di serahkan kepada orang yang tidak layak maka tunggulah masanya.” Ibnu Hajjar Al-Assaqalani menyebut dalam kitab Fathu Bari : Ibnu Battal berkata, maknanya ialah “pemimpin-pemimpin yang diamanahkan oleh Allah  ke atas hamba dan wajib mereka memberi nasihat kepada rakyatnya. Sewajarnya dilantik orang yang memahami dan menghayati agama tetapi apabila dilantik yang bukan berkelayakan dalam menghayati agama maka mereka telah mensia-siakan amanah yang Allah pilih mereka dengan amanah.”

Agama merupakan amanah Allah. Dunia dan kekayaan merupakan amanah Allah. Rakyat merupakan amanah kepada pemerintah. Harta rakyat merupakan amanah Allah kepada kerajaan. Memilih pemimpin merupakan amanah Allah kepada rakyat dan masyarakat Islam. Setiap orang akan ditanya dengan amanah masing-masing. Wallahua’lam

*** Artike adalah merupakan tazkiran dari Ustaz Mohd Nor Hamzah Ketua Pemuda PAS Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .