Ikuti Blog ini

Ilpas: PAS persiap hadapi pilihan raya


HULU SELANGOR, 20 Jun: PAS melancarkan Institut Latihan Pilihan raya PAS (Ilpas) hari ini dengan harapan untuk mempersiapkan parti itu menghadapi pilihan raya yang disifatkan berbeza sama sekali dengan peperangan.

"Pilihan raya adalah memujuk orang bersama kita sedangkan perang untuk takluk dan halau orang," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika berucap melancarkan gerak kerja Ilpas di Batang Kali hari ini.

Sehubungan itu, beliau hari ini menyerahkan empat modul utama Ilpas kepada pengarah pilihan raya bagi setiap negeri.

Modul itu adalah dasar PAS, undang-undang pilihanraya, terknikal dan strategi pilihan raya.

Modul ini akan dijadikan asas latihan untuk petugas pilihan raya PAS bagi setiap negeri yang akan bermula minggu depan.

Jabatan Pilihan raya PAS (JPP) akan turun ke negeri-negeri di mana 50 peserta akan dipilih untuk dilatih dan dijadikan pakar pilihan raya bagi setiap negeri.

Pengarah Ilpas adalah Mohd Abdul Wahid Endut, timbalan ketua pengarah JPP yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau dibantu empat naqib atau ketua bagi setiap modul yang dibentuk itu.

Dengan pembentukan Ilpas, PAS dianggap paling ke depan dalam latihan pilihan raya.

Abdul Hadi berkata, melalui Ilpas, semua petugas akan dilatih agar memahami dengan baik apa yang diperlukan dalam sistem demokrasi.

"Kita kena faham, Islam adalah bersama dengan prinsip kuasa rakyat dan menentang diktator di samping menolak pemerintah yang zalim," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang dan Adun Ru Rendang.

Untuk melaksanakan perkara ini, sebagaimana zaman awal Islam, PAS membina ahli induk dahulu.

"Inilah yang PAS buat dan akan dibuat oleh Ilpas," kata Abdul Hadi.

Abdul Hadi menerangkan dengan jelas konsep demokrasi dan pemimpin yang perlu mendapat sokongan majoriti dalam ucapannya.

"Perlantikan khalifah Islam pertama Abu Bakar As Siddiq adalah melaliu prinsip ini kerana Islam sedar peri pentingnya pemimpin yang mendapat sokongan majoriti rakyat," katanya. -Hrkh

Tahniah Dr Mohd Asri Jika UMNO yang kamu pilih.... Semoga Berjaya di Dalam Sana..!!


100 Ulama Bakal Semarak, Segarkan Perjuangan UMNO

KUALA LUMPUR – Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin bersama 100 ulama berkelulusan tinggi, termasuk Phd akan menyertai UMNO, Jumaat depan menerusi UMNO Cawangan Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Ab Rauf Yusoh, percaya penyertaan mereka itu akan menyemarakkan keyakinan orang-orang Melayu dan Bumiputera kepada UMNO.

“Perkembangan itu akan menyemarakkan keyakinan Melayu kepada UMNO, kita akan menuju Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan UMNO yang lebih cemerlang,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi.

Ab Rauf yang juga Ketua Bahagian UMNO Bukit Bintang berkata, kemasukan ulama itu akan menjadikan UMNO lebih segar, “dibajai dengan ilmu-ilmu Islam dan seterusnya membantu kepimpinan negara membangunkan Malaysia.”

Menyentuh mengenai perkembangan syiar Islam, beliau berkata, buat pertama kali di dalam sejarah mulai Perhimpunan Agung UMNO, Oktober ini, perwakilan akan menggunakan kemudahan bersolat Jumaat di PWTC. Urusan itu sudah diatur dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang turut menyediakan khatib mulai minggu depan.


Datuk Seri Shahidan Kassim yang merasmikan persidangan itu memuji usaha UMNO Bukit Bintang untuk menarik 100 ulama menyertai UMNO.

“Saya berkawan dengan ulama ini sudah lama, tetapi tidak pernah saya dapat ajak mereka libat diri di dalam perjuangan (secara langsung di dalam parti) ini.

“Saya rasa kalau 100 ulama ini dapat kita terjemah sebagai 100 kekuatan luar biasa di dalam UMNO, Pas tidak akan tidur lena.” -MediaUMNO

kenyataan Media Dr. Asri

Mahasiswa Cabar Jamil Khir Buktikan Militan Di Mesir

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut serta semasa solat jenazah Ustaz Hassan.


Isu kewujudan militan di bumi Mesir semakin dipanaskan, tambahan pula perencahnya ditambah oleh seorang kakitangan kerajaan yang bernama Khairi. Maka, saya mencabar Dato Seri Jamil Khir Baharom untuk buktikan dua perkara :

1. Buktikan kewujudan militan di Mesir, kemudian...
2. Buktikan pengaruh militan yang boleh menyerap dalam pemikiran mahasiswa di Mesir

Sebelum ini, beliau berapi-api menyatakan di dalam akhbar kewujudan militan di Mesir dan bahayanya kerana boleh mempengaruhi mahasiswa di sini. Beliau menambah lagi bahawa “pegawai-pegawai” yang dihantar ke Mesir mampu mengawal dan memastikan perkara ini tidak berlaku.

Di dalam sebuah kenyataan yang disiarkan di akhbar 17 Jun :

"Di Mesir terdapat hampir 6,000 pelajar kita yang sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang terutama agama dan perubatan, sudah tentu mereka terdedah dengan pelbagai aliran dan fahaman perjuangan serta pergerakan atas nama Islam.

"Namun, kita mempunyai pegawai-pegawai yang sentiasa mengawasi dan berkerjasama dengan pelbagai pihak agar pelajar kita tidak terlibat dengan sebarang gerakan yang melampau," katanya.

Beliau berkata lagi :

Beliau diminta mengulas kebimbangan kemungkinan para pelajar terutama yang mengikuti pengajian di beberapa negara terutama Mesir, Jordan dan Syria terpengaruh dengan pergerakan ekstrem termasuk kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).

Saya mencabar beliau, sekiranya benar kenyataan ini dibuatkan berdasarkan bukti, silakan untuk membuktikan kedua-dua bukti tadi. Bertambah parah apabila kakitangan kerajaan di Mesir yang bernama Khairi, telah mendakwa bahawa Ikhwanul Muslimin adalah nama lama bagi JI. Beliau menulisnya di dalam Facebook beliau.

Khairi Jalalluddin : Jihad yang sering disalah ertikan oleh puak militan JI atau nama lamanya Ikhwan Muslimin.

Tuduhan-tuduhan mengarut seperti ini perlu dibersihkan. Sila buktikan kewujudan militan di Mesir, sila buktikan pengaruh militan yang boleh menyerap pemikiran Melayu di Mesir dan sila buktikan Ikhwanul Muslimin itu adalah nama lama bagi JI.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar.

oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .