Ikuti Blog ini

Ini Berita Baik, Kalau Kojol Terus Lagi Baik!!

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (Malaysia) Bhd telah mencatatkan kerugian pracukai RM10.682 juta untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September, 2010 berbanding keuntungan pracukai RM1.707 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Pendapatan kumpulan media itu telah merosot kepada RM244.564 juta daripada RM253.847 juta sebelumnya kerana sumbangan daripada pengiklanan kurang menggalakkan, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Untuk suku ketiga berakhir 30 September 2010, Utusan mencatatkan keuntungan pracukai yang rendah iaitu RM1.736 juta daripada RM10.128 juta dalam suku yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, pendapatan mengukuh kepada RM89.540 juta dalam tempoh bawah kajian daripada RM89.530 juta sebelumnya.
Utusan berkata, saingan yang sengit untuk perbelanjaan pemasaran pengiklanan, bukan hanya di kalangan media cetak, tetapi juga di kalangan semua saluran media telah menjejaskan prestasi kumpulan untuk tempoh di bawah kajian.
Faktor itu akan kekal sebagai cabaran kepada kumpulan berkenaan untuk baki tempoh 2010, katanya. ~ Mstar

KDYMM Tuanku Sultan rasmi Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu

http://www.wartakedah.net/images/puleh.jpg

JITRA - Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berperanan penting membantu proses pembangunan di negara ini dan PDRM telah dengan berkesan memenuhi tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang serta memastikan bahawa prinsip ketiga Rukun Negara dalam aspek kedaulatan undang-undang terus didokong.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah bertitah, dengan memastikan undang-undang terpelihara, kestabilan negara dapat dijamin bagi membolehkan aktiviti-aktiviti ekonomi dan komersial dapat berlangsung.

“Pada hari ini, anggota PDRM menghadapi tugas yang lebih mencabar, dengan kejadian-kejadian jenayah di samping bentuk dan corak jenayah yang berlaku juga turut memerlukan kepakaran yang lebih tinggi,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini.

Kompleks yang dibina pada 3 Julai 2006 dengan kos sebanyak RM71 juta itu siap sepenuhnya pada Oktober 2009. Kompleks tersebut dilengkapi dengan sebuah blok pentadbiran dan juga bangunan sokongan yang terdiri daripada stor transit dan stor awam, cawangan kenderaan, bengkel, unit kediaman dan kemudahan lain.

Baginda bertitah, pertambahan penduduk, pergerakan manusia yang lebih mudah dan pantas, kemajuan dari segi komunikasi, dunia tanpa sempadan, semuanya telah menunjukkan senario baru ‘trend’ kejadian jenayah.

Oleh itu, titah Baginda, adalah menjadi tanggungjawab PDRM untuk meningkatkan perhatian serta mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta penguasaan teknologi dalam mengekang dan menangani cabaran jenayah masa kini.

“Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu ini telah menyediakan ruang kerja yang lebih selesa kepada pegawai serta anggotanya dan masyarakat di sekitar Kubang Pasu juga akan mendapat manfaat melalui kemudahan-kemudahan yang disediakan di kompleks ini,” titah Baginda.

Baginda bertitah, masyarakat hendaklah memberi kerjasama dengan menyokong usaha-usaha pasukan PDRM untuk menguatkuasakan undang-undang.

“Dalam hal ini, anggota masyarakat hendaklah aktif, menjadi mata dan telinga Pasukan Polis dengan melaporkan kejadian-kejadian jenayah yang berlaku di kawasan mereka,” titah Baginda.

Baginda bertitah, bagi kawasan yang memperlihatkan kejadian jenayah yang tinggi, anggota masyarakat setempat wajib tampil ke hadapan melakukan tugas kawalan dan rondaan seperti skim rondaan sukarela, rukun tetangga dan skim kejiranan.

Turut hadir ialah Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak; Menteri Dalam Negeri, YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Pemangku Ketua Polis Kedah, Dato’ Asri Yusoff.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .